Showing posts with label Supplemen Dan Anda. Show all posts
Showing posts with label Supplemen Dan Anda. Show all posts

Tuesday, 27 December 2011

Ubat penurunan berat badan : Apa yang anda perlu tahu?

Langkah terbaik untuk penurunan berat badan sememangnya melalui senaman konsisten dan pemakanan atau diet sihat. Meskipun begitu, terdapat individu yang mengalami masalah berat badan dan komplikasi perubatan, ubat penurunan berat badan mungkin membantu.

300190_298593200165482_217213104970159_1171884_1566420243_n[1]Siapa yang boleh mengambil ubat penurunan berat badan?
Ubat sebegini tidak sesuai untuk semua individu berlebihan berat badan. Ia adalah sebagai alternatif untuk individu:

  • Indeks Jisim Tubuh (IJT) melebihi 30
  • IJT melebihi 27 dengan masalah perubatan berkaitan obesiti (seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan sebagainya).
Ubat ini perlu digunakan bersama dengan kombinasi diet rendah kalori dan senaman konsisten.

Apakah jenis-jenis ubat yang terdapat di pasaran?
FDA mengkelaskan ubat penurunan berat badan kepada dua kumpulan utama : Penahan selera makan dan Perencat Penyerapan lemak.
Ubat penahan selera termasuk Phentermine (Adipex-P, Suprenza), Diethylpropion (Tenuate, Tenuate Dospan) dan Benzphetamine (Didrex). Ia hanya dipreskripsi untuk penggunaan jangka masa pendek (beberapa minggu atau bulan). Ia menggalakkan penurunan berat badan secara pengurangan selera makan atau meningkatkan rasa kenyang.
Kesan sampingan : meningkatkan kadar denyutan jantung, tekanan darah, kesukaran untuk tidur, kurang rehat, gemuruh, pening kepala, sembelit, dan kering mulut.

Manakala untuk ubat perencat penyerapan lemak pula, boleh didapati dengan nama generik Orlistat dan dikenali dengan nama Xenical or Alli. Alli adalah versi Xenical yang dikurangkan dos kekuatan serta dijualkan sebagai over the counter (OTC). Hanya ubat Orlistat yang diluluskan untuk penggunaan jangka masa panjang. Orlistat akan menghalang penyerapan sebahagian lemak yang dimakan dan dibuang melalui najis.

Jadi, ia mengurangkan pengambilan kalori dan menyebabkan penurunan berat badan. Orlistat perlu di ambil bersama dengan diet rendah kalori, rendah lemak. Disamping itu, individu juga disarankan untuk mengambil multivitamin kerana ia mengurangkan penyerapan vitamin larut lemak (A,D,E dan K).
Kesan sampingan : kekejangan usus, najis berlemak/minyak, cirit-birit, lemah badan, kekuningan pada mata dan kulit, pergerakan usus yang lebih kerap dan kesukaran untuk mengawal pergerakan usus.
Buat masa ini, FDA sedang menganalisa Orlistat akibat laporan kemungkinan risiko kecederaan hati. Hingga sekarang, masih belum terdapat bukti kaitan yang boleh dikaitkan.
Baru-baru ini, FDA juga menarik balik ubat yang diluluskan seperti Sibutramine (Meridia, Reductil) dari pasaran di beberapa buah negara kerana ia dikaitkan dengan risiko penyakit jantung (strok dan serangan jantung non-fatal).

Berapa jumlah penurunan berat badan yang dianggarkan?
Pengambilan ubat ini bersama dengan diet rendah kalori serta amalan bersenam konsisten akan mengurangkan berat badan sebanyak 5-10% dalam masa setahun. Kebanyakan penurunan berat badan akan berlaku dalam masa enam bulan pertama. Meskipun begitu, kebanyakan individu yang terlibat akan mengalami kenaikan berat badan setelah berhenti mengambil ubat tersebut.

sebelum anda mengambil sebarang ubat menurunkan berat badan, adalah dinasihatkan supaya berbincang dengan pegawai perubatan terlebih dahulu. Pegawai perubatan akan mengambil kira sejarah kesihatan, kesan sampingan dan kemungkinan interaksi ubat dengan ubat-ubatan lain yang di ambil.

Tuesday, 20 December 2011

5 cara mengenalpasti Diet Fad

Kebanyakan jenis diet popular masa kini hanya mengambil kesempatan terhadap keinginan kita untuk turun berat badan dalam masa singkat. Malangnya, diet sebegini tidak berkesan.
Berikut adalah 5 klu atau cara mengenalpasti fad diet yang menjanjikan janji kosong tanpa keputusan yang memuaskan:
Diet yang berdasarkan pengambilan kalori rendah secara drastik.
Diet jenis kebuluran ini memerlukan badan kita untuk berpuasa dan selalunya dijanjikan dengan keputusan penurunan berat badan yang segera. Tetapi, tubuh badan kita tidak dijadikan dengan kemampuan untuk menurunkan berat badan dengan segera. Bahkan, doktor mengatakan ia hampir mustahil untuk individu sihat dan aktif untuk hilang berat lemak lebih dari 2-3 pound (1-1.5kg) seminggu meskipun melalui diet kebuluran.
"Keberkesanan" diet rendah kalori bergantung kepada reaksi semulajadi tubuh kita apabila kebuluran. Iaitu pengeluaran cecair badan. Jadi, kebanyakan diet yang menjanjikan kehilangan berat badan segera adalah bukan kehilangan lemak- tetapi cecair!. Dan badan akan menyerap semula air seperti span setelah individu kembali makan secara normal.
Diet yang berdasarkan pengambilan pil istimewa, serbuk atau herba.
Kebanyakan cara ini hanyalah gimik semata-mata- anda hanya akan kehilangan berat poket anda berbanding berat badan sendiri.
Banyak pil diet mengandungi agen laksatif atau diuretik yang memaksa badan kita mengeluarkan lebih banyak air. Sepertimana diet rendah kalori, kehilangan berat badan bukan disebabkan pembakaran lemak tetapi pengeluaran air dari badan.
Terdapat juga supplemen yang diklaim mampu meningkatkan kadar metabolisma, menyekat selera makan atau menyekat penyerapan lemak, gula atau karbohidrat. Kebanyakan supplemen diet tidak mempunyai bukti kukuh yang menyokong. Dan doktor menyatakan ia berisiko untuk diambil oleh remaja kerana tidak diketahui sejauh mana kesan penggunaannya ke atas tumbesaran.
Diet yang menyarankan pengambilan makanan spesifik atau kombinasi makanan tertentu.
Tiada bukti saintifik mengatakan saranan di atas berkesan. Dan mengehadkan pengambilan makanan tertentu menyebabkan anda tidak mendapat nutrien atau nilai pemakanan tertentu.

Diet yang memerlukan anda membuang terus lemak, gula atau karbohidrat dari pemakanan harian.
Menyekat pemakanan kita dari kumpulan makanan penting adalah idea yang tidak sesuai (terutamanya bagi individu masih membesar). Lebih elok jika kita makan dalam porsi atau hidangan kecil tetapi seimbang (hidangan yang sempurna dengan karbohidrat, protein, lemak, sayuran dan buahan). Bila badan kita memperolehi nutrien seimbang, kita telah mengurangkan kebarangkalian mengidam makanan!. Makanan dalam porsi kecil juga membantu kita mengamalkan cara pemakanan sihat serta membantu mengekalkan berat badan ideal.
Diet yang memerlukan anda untuk tidak mengambil hidangan dan menggantikan dengan minuman istimewa atau bar makanan.
Seperti diet yang menghalang kumpulan makanan tertentu, meninggalkan atau menggantikan hidangan membawa maksud anda tidak mendapat nilai pemakanan yang diperlukan untuk menyokong kesihatan badan. Tambahan pula, anda akan kehilangan nikmat menikmati makanan bersama rakan atau keluarga.

Monday, 19 December 2011

Individu Obes Ambil Lebih Banyak Ubat

Kajian terbaru oleh Centers for Disease Control and Prevention mengemukakan bahawa individu dewasa obes di United States menggunakan ubat preskripsi lebih kerap berbanding individu dewasa yang memiliki berat badan normal.
Ubat-ubatan bagi merawat tekanan darah tinggi dan kolestrol mencatat rekod tertinggi. Secara kasarnya, satu pertiga individu dewasa obes berusia lebih 20 tahun menggunakan sekurang-kurangnya satu ubat menurunkan tekanan darah tinggi dan satu perlima menggunakan ubat menurunkan kolestrol, manakala 17% individu dewasa berat badan normal menggunakan ubat tekanan darah tinggi serta 10% menggunakan ubat kolestrol.
"Keputusan kajian ini sudah dijangkakan dan bukanlah satu isu yang mengejutkan, penyelidik hanya meletakkan nombor bagi keputusan yang sudah dijangkakan" kata Dr. G Caleb Alexander, internist am di University of Chicago.
Sampel kajian melibatkan 10,000 rakyat Amerika. Apabila penyelidik mengenalpasti ubat-ubatan dari kelas yang berbeza diantara tahun 2005 hingga 2008, lebih ramai individu obes mengambil 8 dari 10 ubat yang dikenalpasti.
Selain dari ubat darah tinggi dan kolestrol, ubatan lain ialah ubat kencing manis, asma dan masalah tiroid, disamping ubat anti-kemurungan dan tahan sakit juga diambil oleh sebilangan besar individu obes.
Hanya Hormon seks yang kurang di ambil oleh individu obes, dan sedatif digunakan sama banyak dengan individu dari kelas berat badan yang lain.
Selain itu, individu obes juga cenderung menggunakan pelbagai jenis ubat dalam satu masa, walaupun penyelidik mengenalpasti situasi yang sama berlaku dikalangan dewasa berusia lebih 65 tahun (dalam semua kelas berat badan).
Dikalangan semua wanita berusia melebihi 65 tahun, lebih dari 90% mengambil lebih dari satu ubatan, 65% mengambil tiga atau lebih ubatan dan 39% mengambil 5 atau lebih ubatan. Individu lelaki pada usia yang sama juga, mempunyai pengambilan ubat-ubatan lebih kurang sama dengan wanita berusia melebihi 65 tahun.

FAQ Vitamin D

Bagaimana supplementasi Vitamin D diberikan bagi populasi yang spesifik?
Vitamin D penting bagi membantu penyerapan kalsium yang baik di usus. Kekurangan vitamin D yang kronik akan menurunkan kalsium serum dan memberi kesan ke atas perembesan hormon paratiroid. Ini seterusnya akan membawa kepada Hiperparatiroidism sekunder, yang menyebabkan mobilasi atau pengeluaran kalsium dari tulang. Seterusnya, menurunkan kepadatan mineral tulang. Kekurangan vitamin D kronik juga membawa kepada masalah lemah otot dan peningkatan risiko patah osteoporotik, riket dan osteomalacia. Jadi, kebanyakan supplementasi diberi bagi populasi yang mengalami masalah kekurangan.
Vitamin D dalam bentuk manakah disarankan untuk penyakit buah pinggang kronik?
Vitamin D dihasilkan secara endogenous dalam kulit dan ditukarkan kepada metabolit aktif dalam hati dan buah pinggang. Pendedahan kepada radiasi ultraviolet menyebabkan pertukaran provitamin D3 (7-dihidrokolestrol) dalam kulit kepada previtamin D3 yang seterusnya terisomer ke vitamin D3 (kolekalsiferol). Vitamin D3, samada dihasilkan dalam kulit ataupun diperolehi melalui pemakanan, akan terhidroksi dalam hati menjadi 25-hidroksivitamin D (25-OH VD). Ini adalah bentuk major vitamin D bagi pengesanan masalah kekurangan vitamin D.
Proses hidroksilasi 25-OH VD akan berlaku di buah pinggang bagi membentuk 1,25-dihidroksivitamin D, bentuk vitamin D yang aktif secara biologikal. Juga dikenali sebagai kalsitriol. Jadi, bagi penyakit buah pinggang kronik, pembentukan kalsitriol lebih difokuskan berbanding Vitamin D2 dan D3 bagi perawatan kekurangan. Ini kerana proses hidroksilasi terakhir berlaku di buah pinggang.
Dalam kes penyakit buah pinggang kronik adalah penting untuk mengenalpasti kadar penapisan glomerular (GFR) dan menentukan serum 25-OH VD, kalsium, fosforus dan paras hormon paratiroid bagi pemilihan regim optimal.
Supplementasi Vitamin D memainkan peranan penting dalam pencegahan hiperparatiroidism sekunder di kalangan pesakit buah pinggang kronik. Berdasarkan National Kidney Foundation, supplementasi mestilah didasari oleh paras serum 25-OH VD, Tahap kegagalan buah pinggang, serta kewujudan hiperparatiroidism sekunder. Sebelum dan selepas supplementasi, kajian serum kalsium dan fosforus hendaklah dijalankan setiap 3 bulan. Jika paras mineral meningkat, supplementasi vitamin D mungkin perlu di berhentikan atau lakukan modifikasi dos.
Masalah hiperparatitoidism sekunder selalunya berlaku pada tahap 3 atau 4 penyakit buah pinggang kronik (GFR 30-59 mL/min dan 15-29 mL/min), agen supplementasi yang disarankan ialah vitamin D sterol aktif (cth: kalsitriol atau parikalsitol). Supplementasi dimulakan apabila paras 25-OH VD serum menurun bawah 30 ng/mL. Dos Vitamin D sterol bergantung kepada paras 25-OH VD serum, hormon paratiroid, kalsium dan fosforus. Manakala, bagi penyakit buah pinggang kronik tahap 5 (GFR < 15 mL/min dan pesakit dirawat dengan hemodialisis atau dialisis peritoneal), supplemen vitamin D sterol lebih digalakkan berbanding Vitamin D2 atau D3.
Walaubagaimanapun, jika masalah hiperparatiroidism sekunder tiada (selalunya bagi pesakit mempunyai GFR >60 mL/min atau hanya mengalami gangguan renal yang ringan), samada vitamin D2 atau D3 boleh diberikan. Kajian menyatakan bahawa vitamin D2 (ergokalsiferol) adalah kurang poten dan mempunyai reaksi jangkasmasa pendek berbanding D3 serta Vitamin D3 lebih berkesan dalam meningkatkan paras 25-OH VD.
Jadi, kolekalsiferol lebih digalakkan untuk pesakit yang mempunyai gangguan renal normal atau ringan (GFR > 60 mL/min) dengan paras hormon paratiroid yang normal.
Berapakah dos kolekalsiferol yang disarankan bagi mencegah masalah kekurangan?
Beberapa saranan telah dikemukan oleh organisasi kebangsaan yang melibatkan saranan pelbagai amaun vitamin D. Laporan konsensus oleh Institut Perubatan baru-baru ini telah dikemukakan. Saranan menyatakan bahawa kebanyakan pesakit disarankan mengambil 600-800 IU vitamin D sehari. Walaubagaimanapun, dos yang lebih tinggi diperlukan bagi merawat masalah kekurangan vitamin D seperti paras 25-OH VD kurang dari 20 ng/mL. Supplementasi vitamin D penting dalam situasi dimana risiko kekurangan wujud seperti tinggal di hujung latitud utara atau kurang pendedahan solar, masalah penyerapan usus, pengunaan kortikosteroid, masalah kekurangan pemakanan kronik serta semasa mengandung. Meskipun begitu, saranan masih tertakluk pada paras 25-OG VD.

Berapakah had pengambilan vitamin D?
Untuk supplemen pemakanan, pesakit tidak boleh mengambil lebih dari 4000 IU vitamin D sehari, meskipun dos yang lebih tinggi diperlukan bagi merawat masalah kekurangan. Kebanyakan kes toksisiti berkaitan dengan paras 25-hidroksivitamin D lebih dari 88 ng/mL, paras yang melibatkan pengambilan 40000 IU atau lebih Vitamin D sehari. Tiada perubahan signifikan dari paras kalsium serum atau pengeluaran kalsium melalui urin direkodkan bagi pesakit yang mengambil 4000 IU Vitamin D3 sehari selama 5 bulan. Tambahan lagi, 100000 IU kolekalsiferol diberi kepada pesakit setiap 4 bulan selama 5 tahun adalah selamat.
Penyediaan vitamin D yang manakah terdapat dalam cecair oral?
Vitamin D3 (kolekalsiferol) terdapat dalam cecair pekat dalam kadar 400 IU ke 4000 IU setiap titik. Vitamin D2 (ergokalsiferol) juga terdapat dalam pelbagai formulasi cecair tetapi terhad secara komersial akibat majoriti penggunaan kolekalsiferol. Kalsitriol, vitamin D strol aktif terdapat dalam 1-µg/mL cecair oral.

Sunday, 18 December 2011

Antioksidan

Antioksidan ialah bahan semulajadi yang mampu melindungi sel tubuh anda dari kesan radikal bebas. Radikal bebas ialah molekul yang dihasilkan apabila badan kita mencerna makanan, atau persekitaran seperti asap rokok dan radiasi. Radikal bebas boleh memusnahkan sel, dan berkaitan dengan penyakit jantung, kanser dan penyakit lain.
Bahan antioksidan termasuk:

Beta karoten
Salah satu pigmen dalam kumpulan merah, jingga dan kuning dipanggil karotenoid. Beta karoten dan karotenoid lain menyumbang kira-kira 50% Vitamin A yang diperlukan seharian. Beta karoten boleh ditemui dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Ia juga boleh dihasilkan dalam makmal.
Ia digunakan untuk mengurangkan simptom asma akibat bersenam, pencegah kanser, penyakit jantung, katarak dan Makular degenerasi berkaitan umur, dan rawatan AIDS, alkoholism, penyakit alzheimer's, kemurungan, sawan, pening kepala, pedih ulu hati, tekanan darah tinggi, kemandulan, penyakit Parkinson, rheumatoid artritis, schizophrenia dan gangguan kulit termasuk psoriasis dan vitiligo.
Lutein
Dipanggil vitamin karotenoid, ia berkait rapat dengan beta-karoten dan vitamin A. Makanan tinggi lutein termasuklah brokoli, bayam, kale, jagung, lada jingga, kiwi, anggur, jus oren, zuchini, dan squash. Lutein dianggap sebagai vitamin untuk mata untuk mencegah penyakit mata termasuk Makular degenerasi berkaitan umur, katarak dan pigmentosa retinitis.

Lycopene
Pigmen yang memberi warna merah kepada buah-buahan atau sayur-sayuran seperti tomato, grapefruit dan tembikai. Terdapat kajian yang mengatakan pengambilan makanan tinggi lycopene mempunyai kaitan dengan penurunan risiko kanser prostat dan penyakit kardiovaskular.
Lycopene tidak dihasilkan didalam badan, jadi ia hanya diperolehi melalui makanan. Tomato adalah sumber lycopene utama dalam makanan.


Selenium
Mineral yang ditemui dalam tanah. Wujud secara semulajadi dalam air dan beberapa makanan. Manusia hanya perlukan sedikit selenium bagi proses metabolism. Selenium dikatakan mempunyai elemen antioksidan yang mencegah kemusnahan sel.
Vitamin A (Retinoid)
Vitamin yang menjadi kunci kepada sistem imun serta pertumbuhan sel yang sihat. Terdapat dua jenis vitamin A. Kebanyakan perbincangan menfokuskan vitamin A aktif Retinoid dari produk haiwan. Beta karoten adalah jenis kedua vitamin A dari sumber tumbuhan.
Kebanyakan individu mampu mencapai keperluan vitamin A yang cukup melalui pemakanan harian. Dos antioksidan yang tinggi (termasuk vitamin A) menyumbang kepada kemudaratan berbanding manfaat. Supplemen vitamin A sahaja atau kombinasi dengan antioksidan yang lain dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian dari pelbagai sebab.

Vitamin C (Asid Askorbik)
Vitamin yang membantu dalam membaiki tisu badan dan tulang. Kebiasaannya, ia digunakan dalam rawatan selsema meskipun bukti berkaitan masih kurang. Kebaikan antioksidan Vitamin C masih kurang jelas, kebanyakan kajian tiada bukti kukuh tentang kaitan vitamin C dengan kanser, strok, asma dan penyakit lain. Bahkan, ada bukti kukuh yang membuktikan ia tidak membantu dala perawatan katarak atau tinggi kolestrol.

Vitamin E
Vitamin yang berperanan untuk menguatkan sistem imun serta kesihatan kulit dan mata. Kebelakangan ini, Vitamin E popular sebagai antioksidan yang mencegah kemusnahan sel. Tetapi kajian demi kajian dijalankan dengan keputusan yang mengecewakan, yakni vitamin E tidak mampu mencegah penyakit kanser, jantung, diabetes, alzheimer, katarak dan lain-lain lagi.


Antioksidan boleh ditemui dalam banyak makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin dan sebahagian daging, ayam dan ikan.

Thursday, 15 December 2011

Baik buruk antioksidan. Supplemen atau Diet?

Antioksidan popular secara umum dalam tahun 1990-an, apabila saintis mula memahami bahawa kemusnahan radikal bebas terlibat di tahap awal penyumbatan salur darah dan menyumbang kepada kanser, hilang penglihatan, dan punca kepada penyakit kronik yang lain.
Beberapa kajian menunjukkan individu yang mengambil sedikit antioksidan dari buah-buahan dan sayur-sayuran berisiko tinggi mendapat penyakit kronik. Percubaan klinikal dimulakan dengan mengkaji impak komponen seperti beta-karoten dan vitamin E sebagai senjata melawan penyakit jantung, kanser dan sebagainya. Bahkan sebelum keputusan kajian ini dikeluarkan, pusat membeli belah dan farmasi, serta media sudah dipenuhi dengan label kelebihan antioksidan. Beri sejuk beku, teh hijau dan makanan lain dilabelkan  sebagai makanan tinggi antioksidan. Pembuat supplemen mula menyatakan klaim bahwa produk mereka mampu mencegah penyakit.
Kebanyakan kajian melaporkan vitamin E dan supplemen antioksidan tidak mampu melindungi pengguna dari penyakit jantung atau kanser. Bahkan, terdapat kajian menunjukkan pengambilan beta-karoten mampu meningkatkan risiko kanser peparu di kalangan perokok serta penurunan kadar kognitif.
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan kadar risiko penyakit kanser kulit lebih tinggi dikalangan wanita yang mengambil vitamin C, beta-karoten, selenium dan zink.
Tetapi keputusan kajian sebegini tidak membantutkan syarikat dan penjual makanan serta supplemen dari menggembar-gemburkan kebaikan antioksidan.Keuntungan 500 million dollar direkodkan bagi penjualan supplemen antioksidan dan ia semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Selalunya klaim pasaran akan menokok-tambah data kajian.Tetapi, tidak dinafikan bahawa antioksidan, mineral, fiber dan komponen semulajadi dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh mampu melawan penyakit kronik. Tetapi, tidak semestinya dos antioksidan yang tinggi mampu bertindak sepertimana sepatutnya.

Wanita yang mengamalkan diet tinggi antioksidan mampu menurunkan risiko strok, terutamanya bagi individu tanpa sejarah penyakit kardiovaskular (CVD).
Kajian prospektif menemukan wanita tanpa sejarah CVD yang mengambil makanan tinggi antioksidan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, teh, bijirin penuh, dan coklat mempunyai 17% risiko mendapat CVD lebih rendah berbanding wanita yang makan makanan tersebut dalam jumlah yang sedikit. Antara wanita yang mempunyai sejarah CVD, wanita yang mengambil tinggi antioksidan mempunyai 45% risiko mendapat strok hemoragik lebih rendah.
Radikal bebas menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Pengambilan antioksidan tidak semestinya mampu menyelesaikan masalah kesihatan terutamanya apabila kita mengambilnya luar dari bentuk semulajadinya. Kajian sekarang masih belum cukup kuat untuk membuktikan supplemen antioksidan mampu memberi impak positif pada kesihatan.
"Kajian ini menyarankan pengambilan makanan kaya dengan antioksidan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran bagi pencegahan strok"- Stroke: Journal of the American Heart Association. 
jadi, saranan terbaik ialah untuk kita menikmati kepelbagaian makanan semulajadi atau dalam bentuk asal bukan terproses kerana itu adalah bentuk terbaik. Keberkesanan makanan dalam membantu pencegahan penyakit tidak semestinya bergantung hanya kepada satu komponen tertentu dalam makanan, ia mungkin melibatkan beberapa komponen yang melengkapi satu sama lain. 

Wednesday, 14 December 2011

Kalsium : Kesihatan Tulang atau Sakit Jantung?

Secara umumnya, pengambilan kalsium difokuskan pada kesihatan tulang. Pengambilan kalsium yang cukup adalah antara saranan pemakanan oleh kementerian kesihatan Malaysia (KKM), di mana kanak-kanak dan remaja 18 tahun ke bawah memerlukan 1300mg kalsium sehari, lelaki dan wanita dewasa (19-50 tahun) memerlukan 1000 mg sehari. Manakala, individu berumur lebih dari 50 tahun, institut perubatan menyarankan pengambilan kalsium yang lebih serta keperluan harian sekurang-kurangnya 1200 mg sehari. 
Tetapi, satu kajian memberi perhatian tentang kaitan pengambilan supplemen kalsium dan kesan sampingan penyakit jantung.
Kajian Dr. Mark Bolland dari Universiti Auckland, New zealand menemukan kaitan di antara supplemen kalsium (sekurang-kurangnya 500mg) meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak 30%. Antara mekanisma penyebab yang mungkin terlibat ialah peningkatan kelikatan darah dan penurunan fleksibiliti salur darah akibat pemendapan kalsium di dinding arteri. Kajian beliau yang lain melibatkan wanita menopos juga memberi bukti signifikan perkaitan risiko kardiovaskular.
Memandangkan kajian menyeluruh diperlukan untuk meyakinkan pengguna dalam isu ini. Adalah lebih elok untuk kita kembali kepada asas. Kebanyakan kita mengambil supplemen kalsium kerana khuatir akan kecukupan pengambilan kalsium harian kita. Kajian membuktikan pengambilan kalsium secukupnya melalui diet mampu mengelakkan risiko penyakit jantung. Jadi, asasnya ialah pengambilan kalsium dari makanan atau minuman perlu mencukupi dan seterusnya kita tidak perlu mengambil supplemen.
sebagai contoh, jika anda mahu mencapai keperluan kalsium 1000mg sehari dan anda ambil 3 hidangan susu atau soya, anda sudah hampir dengan sasaran keperluan. contohnya:
Susu (1 cawan, 8 oz) :300 mg kalsium ---> pilih susu rendah lemak tinggi kalsium.
Yogurt rendah lemak (1 cawan, 8 oz) : 400 mg kalsium
Keju (1 oz cheddar atau mozarella) : 200 mg
Susu soya diperkaya kalsium (1 cawan, 8 oz) : 400 mg

contoh di atas ialah dari sumber susu dan tenusu. Anda digalakkan untuk mendapatkan sumber kalsium dari sumber lain:

Sayur-sayuran  Jantung Pisang (1/4 biji) : 56 mg
kubis (1 cawan) : 59 mg
Brokoli (1 cawan): 180 mg
Bayam dimasak (1 cup): 240 mg
Buah-buahan Buah-buahan kering (1 cawan): 300 mg
jus oren diperkaya kalsium (1 cup [8 oz]): 400 mg
Jambu batu tanpa biji (1/2 biji): 50 mg
Limau manis (1 biji): 58 mg
Nangka(4 ulas tanpa biji) : 76 mg
kekacang  Biji bijan (1 oz): 280 mg
kacang almond (1 oz): 80 mg
kacang dhal mentah (1/4 cawan) : 62 mg
kacang panggang (3/4 cawan) : 67 mg
ikan Kembung (3 oz): 250 mg
Sardin (3 oz): 370 mg
lain-lain  Tau fu fah tanpa gula (1 bekas) : 243 mg
Tau hoo (2/3 silinder) : 131 mg
Tau kua (1 keping) : 105 mg
Kesimpulannya:
1) untuk kesihatan tulang, pengambilan supplemen kalsium bersama vitamin D (1000 IU) digalakkan. Tetapi pastikan bersama vitamin D.
2) Lebih digalakkan untuk mempertingkatkan pengambilan kalsium melalui pemakanan harian dan bukan dari supplemen.
3) supplemen kalsium mestilah diambil untuk mencukupkan saranan pengambilan harian bukan dijadikan untuk menggantikan keperluan harian (kalsium sitrat lebih digalakkan).
4) Kajian ini memfokuskan risiko penyakit jantung, tetapi jangan lupa risiko pembentukan batu karang. Tidak seperti supplemen, kasium dari makanan kurang menyebabkan pembentukan batu karang.

jadi, manfaatkan makanan segar ciptaan Allah s.w.t berbanding supplemen kalsium buatan manusia. Kajian ini adalah peringatan bahawa benda baik yang berlebihan tidak semestinya baik untuk kita, termasuklah kalsium.

Friday, 21 October 2011

Supplemen Vitamin E: Peningkatan Risiko Kanser Prostat

Jika kita taip info ubat mengenai vitamin E,kita mungkin akan dapat penyataan seperti dibawah:


"Vitamin E ialah salah satu antioksidan yang penting dalam pencegahan kanser dan penyakit kardiovaskular. Ia memperbaiki peredaran darah, yang mana perlu untuk memperbaiki tisu, dan sangat berguna dalam rawatan "premenstrual syndrome" dan penyakit fibrocystic buah dada. Ia memelihara pembekuan darah yang normal dan penyembuhan, mengurangkan parut yang diakibatkan oleh sesetengah kecederaan, mengurangkan tekanan darah, membantu dalam pencegahan penyakit katarak, meningkatkan prestasi atlit, dan mengendurkan otot kaki dari kekejangan. Vitamin E boleh meningkatkan pengeluaran air mani pada sesetengah lelaki. Ia juga mengekalkan kesihatan saraf dan otot dan di masa yang sama menguatkan dinding kapilari. Vitamin E menggalakkan kulit dan rambut menjadi sihat, dan membantu mencegah anemia dan "retrolental fibroplasia", sejenis gejala mata yang boleh menjangkiti bayi pramatang. Satu kajian yang dijalankan oleh National Cancer Institute pada tahun 1998 mendapati bahawa pengambilan vitamin E dalam jangka masa panjang dapat mengurangkan risiko kanser prostat di kalangan penghisap rokok. Lain-lain kajian megesyorkan bahawa vitamin ini dapat memperlahankan  perkembangan penyakit Alzheimer. Sepanjang ini diketahui bahawa vitamin E telah menunjukkan kesan pencegahan kepada lebih kurang 80 jenis penyakit."


Di atas adalah sedikit sebanyak mengenai vitamin E, dan antara klaim diatas belum tentu kesahihannya.


Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa persoalan mengenai risiko pengambilan Vitamin E samada di media massa atau di jurnal penyelidikan terbitan pelbagai pihak. Ini berpunca dari penerbitan jurnal sains perubatan mengenai potensi kesan sampingan supplemen vitamin E setelah sekian lama penduduk dunia mengambil supplemen ini.
Kenapa supplemen vitamin E popular?
Lebih 2 dekad lepas, beberapa saintis mengemukakan teori oksidan penyakit. Hipotesis yang dikemukan termasuk metabolisma oksidatif, dan radikal bebas yang merupakan mekanisma patofisiologi utama untuk penyakit degeneratif kronik seperti kanser dan penyakit kardiovaskular. Teori ini seterusnya menyentuh tentang pengambilan nutrien anti-oksidan seperti vitamin C, E, Karotenoid dan selenium yang mencukupi atau dos yang berlebihan mampu mencegah penyakit degeneratif. 
Pengambilan supplemen Vitamin E harian menjadi tabiat ramai individu meskipun dikalangan ahli perubatan. Kaji selidik yang dijalankan lima tahun lepas menunjukkan pengambilan kerap iaitu lebih dari 5 kali seminggu di kalangan populasi dewasa. Kebanyakannya, prevalens pengambilan meningkat dengan peningkatan umur dan juga dikalangan penghidap penyakit degeneratif kronik. Kebiasaannya, mereka mengambil dos 400mg atau lebih dalam sehari.

Kajian dalam tahun 1980-an dan awal 1990-an menunjukkan terdapat perkaitan di antara pengambilan kerap vitamin E dengan penurunan 30-60% penurunan risiko penyakit jantung koronari. Ia melibatkan pengambilan dos vitamin E yang tinggi, di mana pengambilan dos rendah hanya memberi kesan yang minima.
Walaubagaimanapun, apabila saintis cuba untuk melakukan kajian ini secara terkawal dengan menggunakan dua kumpulan iaitu kumpulan yang diberi supplemen vitamin E dan kumpulan yang diberi placebo. Kajian ini menunjukkan hal yang sebaliknya, yakni tiada kesan langsung (tidak memberi kebaikan mahupun keburukan). Disimpulkan, kajian demi kajian hanya membawa kepada kekeliruan tentang status keselamatan atau kebaikan pengambilan supplemen vitamin E.


Baru-baru ini saya menerima artikel terkini melalui Medscape yang menyentuh isu Vitamin E, iaitu perkaitan supplemen tersebut dengan risiko kanser prostat. Dikatakan, supplemen ini tidak menghalang kaum lelaki dari menghidap kanser prostat, bahkan mungkin meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit tersebut!
Laporan awal mengenai Pencegahan kanser dengan Selenium dan Vitamin E mendapati, selenium dan vitamin E tidak mampu mengurangkan risiko prostat kanser. Walaubagaimanapun, analisis terkini terbitan JAMA : The Journal of The American Medical Association menunjukkan bahawa pengambilan Vitamin E mampu meningkatkan risiko kanser prostat secara signifikan.
Lelaki yang menerima dos biasa dan formulasi Vitamin E(400 IU sehari) mengadapi 17% peningkatan risiko kanser prostat berbanding individu yang menerima placebo. Penemuan ini sangat mengejutkan, tambahan pula  penerangan secara biologikal tidak dapat dikenalpasti.
Seterusnya, dalam laporan ini juga penyelidik menyatakan vitamin E tidak mampu merawat mana-mana kanser sekalipun, begitu juga ia tidak mampu membantu dalam kesihatan kardiovaskular sepertimana yang digembar-gemburkan.
"Tiada bukti yang menyokong klaim yang dibuat, tetapi beribu bahkan berjuta lelaki mengambil vitamin E sebagai supplemen", Dr Baker, DO, Professor of Internal Medicine And Pharmacology di University of Michigan,Ann Arbor.
Meskipun begitu, kajian lanjut diperlukan bagi meneliti isu keselamatan pengambilan Vitamin E. Pada mulanya, supplemen ini bukanlah bertujuan untuk mencegah kanser prostat atau penyakit-penyakit lain secara khusus, tetapi untuk membantu individu dalam mendapatkan keperluan seharian vitamin E. Jadi, hal ini terjadi kerana terdapat klaim dari pihak-pihak tertentu yang belum tentu kesahihannya.




Jadi, perlu ke pengambilan vitamin E? ia perlu bagi individu yang berisiko mengalami masalah kekurangan vitamin E seperti individu yang mengalami malnutrisi, individu yang menghadapi penyakit hati, celiac dan cystic fibrosis, serta pesakit kegagalan buah pinggang yang menerima rawatan dialisis kronik. Untuk individu sihat, amalkan pemakanan seimbang untuk memastikan pengambilan nutrien yang mencukupi.
Makanan tinggi vitamin E?
Kebanyakan kekacang, minyak sayuran dan sayuran. Makanan yang kaya dengan vitamin E termasuklah minyak germa gandum, bijirin gandum, kacang, soya, minyak jagung, avokado dan minyak zaitun. Buah-buahan seperti anggur, pic, dan beri hitam serta sayuran seperti tomato, brokoli, dan taugeh. Telur juga mengandungi kandungan vitamin E yang tinggi. Makanan yang segar dan mentah mengandungi kandungan vitamin paling tinggi. Pendedahan makanan terhadap cahaya dan kepanasan akan mengurangkan kandungan vitamin dan mineral yang terkandung, jadi makanan yang terlalu masak dan makanan yang tidak disimpan dengan rapi perlu dielakkan. Begitu juga sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipotong akan meningkatkan pendedahan terhadap cahaya, jadi memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam bentuk asal lebih digalakkan.

Thursday, 13 October 2011

Supplemen Vitamin meningkatkan risiko kematian.

Tentu ramai diantara kita yang tertanya-tanya tentang kebenaran tajuk di atas. Ini mungkin menjadi kontroversi, memandangkan banyak syarikat supplemen dan ubat-ubatan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Mungkin lebih kontroversi kerana pertambahan individu yang bergantung kepada supplemen sepertimana meraka bergantung kepada makanan. Nanti dulu! Kita lihat kajian yang akan dikupaskan.

Oktober 10, 2011 - Wanita berumur di antara 55 hingga 69 tahun antara populasi yang kerap menggunakan supplemen diet dan mineral terutamanya zat besi, di mana ia dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian, berdasarkan penemuan baru kajian Iowa Women's Health.
Meskipun tidak semua supplemen vitamin dikaitkan dengan risiko ini, tetapi masih terdapat beberapa yang perlu dikhuatirkan pengambilannya seperti multivitamin, vitamin B6 dan asid folik, seta supplemen mineral seperti zat besi, magnesium, zink dan copper.
Jaakko Mursu,PhD dari Department of Health Sciences, Institute of Public Health and Clinical Nutrition di University of Eastern Finland, Kuopio Findland dan rakan penyelidik melaporkan penemuan mereka di dalam Archives of Internal Medicine.


" Supplemen digunakan secara meluas, dan dengan ini kajian mengenai kesan terhadp kesihatan sangat diperlukan" Dr Mursu menulis dalam laporannya. " Tambahan lagi, sangat sedikit maklumat mengenai kesan jangka masa panjang pengambilan multivitamin apatah lagi supplemen yang jarang digunakan seperti zat besi dan mineral lain". Kajian melibatkan 38,772 orang wanita berusia di antara 55-69 tahun, dengan purata berumur 61.6 tahun pada tahun bermulanya kajian iaitu tahun 1986. Direkodkan penggunaan supplemen pada tahun 1986, 1997 dan 2004.

Total 15,594 kematian (40% dari peserta) direkodkan pada December 31, 2008. Pengambilan multivitamin dikaitkan dengan 2.4% peningkatan risiko kematian (hazard ratio 1.06, 95% confidence interval, 1.02-1.10). Kebanyakan wanita yang menggunakan supplemen mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, aktif secara fizikal dan juga menerima terapi penggantian hormon estrogen.

Vitamin B6, asid folik, zat besi, magnesium dan zink dikaitkan dengan 3-6% peningkatan risiko kematian, manakala copper atau kuprum pula 18% apabila dibandingkan dengan peserta yang tidak menggunakan supplemen.
Sebaliknya, wanita yang mengambil supplemen kalsium dikaitkan dengan 3.8% penurunan risiko kematian (hazard ratio, 0.91; 95% confidence interval, 0.88 - 0.94).

Walaupun terdapat kebaikan dalam penggunaan supplemen seperti menaikkan kualtiti hidup dan sebagainya, kajian ini menyatakan kebimbangan tentang kesan jangka masa panjang pengambilan supplemen ini.
Dalam kajian berkaitan, Goran Bjelakovic, MD, DMSc, and Christian Gluud, MD, DMSc, dari Centre for Clinical Intervention Research, Cochrane Hepato-Biliary Group, Rigshospitalet, Copenhagen University Hospital, Denmark, menegaskan tentang kebimbangan penyelidik tentang pertambahan bukti-bukti yang menunjukkan supplemen antioksida seperti vitamin E, vitamin A dan Beta-carotene adalah berbahaya".

Saranan pengambilan vitamin dan mineral adalah tidak digalakkan sebagai langkah pencegahan, sekurang-kurangnya untuk populasi yang cukup nutrisi. Supplemen tidak mampu menggantikan atau menambah kebaikan yang diperolehi dari pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran serta is juga mampu memberi kesan negatif terhadap kesihatan.

Nota: Ruginya apabila kita beli sebotol vitamin dengan harga RM50-100, sedangkan dengan nilai wang tersebut kita boleh beli pelbagai makanan sihat dan segar. Atau kita sudah malas atau tiada masa untuk makan secara sihat dan seterusnya mengambil jalan pintas dengan memakan pil supplemen?

Fikir-fikirkan~