Tuesday 31 July 2012

Pemakanan semasa berpuasa

Ramadhan kareem!

Selamat berpuasa buat semua. Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesempatan untuk melaksanakan ibadah di bulan puasa. Moga ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya.
 
Berbicara soal pemakanan semasa berpuasa. Sekiranya kita diberi pen dan kertas untuk menyenaraikan kriteria makanan atau hidangan semasa berbuka mahupun bersahur, apa agaknya rupa senarai kita? Fitrah manusia sukakan makanan yang nampak lazat, rasa yang sedap serta makan sehingga kenyang. Fitrah manusia sememangnya sukakan hal sedemikian, tapi dengan iman dan amal menjadi landasan supaya kita tidak makan mengikut nafsu.

Sempena meraikan ramadhan, bulan suci yang mana setiap ibadah dijamin pahala berlipat kali ganda. Marilah sama-sama kita jadikan makan serta minum sebagai ibadah. Sungguh! Setiap yang diniatkan kerana Allah s.w.t akan menjadi ibadah. Malulah jika kita jadikan waktu berbuka dan bersahur sebagai tempat membelai nafsu makan.

Secara amnya, kita memerlukan kalori mengikut keperluan masing-masing. Semasa berpuasa, rata-rata hanya mengambil dua pertiga dari kalori harian. Dan tidak bermakna mengambil hanya dua pertiga kalori akan memudaratkan kita, bahkan ia baik untuk individu yang mengalami masalah berat badan serta penyakit yang berkait dengan berat badan berlebihan seperti darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi dan sebagainya. Jadi usah risau, makan sekadar perlu, berhenti sebelum kenyang! InsyaAllah apa yang kita makan cukup untuk membantu badan kita dalam menjalankan fungsinya.

Untuk memendekkan perbicaraan kita mengenai pemakanan semasa berpuasa, saya rangkumkan kepada 4 tip pemakanan utama:

1) Makanan halal lagi baik.
 
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah,ayat 168,
" hai manusia, makanlah barang yang halal lagi baik dari apa yg ada dibumi dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu"

Adalah menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk menitik-beratkan status halal atau haram sesuatu makanan yang ingin diambil. Semestinya banyak makanan yang halal, tapi belum tentu makanan tersebut baik. Sebagai contoh, ayam goreng halal, tetapi jika sentiasa di ambil dalam kuantiti yang banyak mungkin memudaratkan dalam jangka masa panjang, akibat kandungan lemak tepu dan trans yang tinggi. Dan haram sesuatu makanan pula bukan sekadar dari segi jenis makanan tersebut, ia juga termasuk cara penyediaan, kandungan dalam makanan serta sumber pendapatan untuk memperolehi makanan tersebut. SubhanAllah! Demikianlah betapa telitinya ajaran islam.

2) Pemilihan makanan seimbang dan sihat.
 
Setelah dikenal pasti kehalalan makanan atau minuman, kita perlu memilih jenis makanan yang mana membawa manfaat, seimbang serta sihat. Cuba kita bayangkan, kita hanya ada masa berbuka, bersahur, dan moreh untuk menikmati makanan, jika kita pilih makanan yang kurang nilai nutrisi maka badan akan mengalami kekurangan nutrien. Tidak perlu khuatir akan nilai kalori, selalunya cukup atau mungkin berlebihan. Kandungan nutrien penting untuk membantu sistem badan untuk berfungsi dengan cekap. Kekuatan fizikal perlu untuk kita menjalani ibadah semasa berpuasa.

Jadi, bagaimana caranya memilih hidangan yang seimbang? Jika kita lihat pada pinggan kita, seharusnya separuh dari pinggan adalah untuk diisi dengan sayuran, seperempat dengan lauk-pauk dan seperempat lagi dengan makanan berkarbohidrat seperti nasi. Senang cerita, setiap kali berbuka banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan, makan makanan sumber protein dan karbohidrat secara sederhana. Minuman manis sewajarnya diambil secara sederhana, sediakan juga air kosong bagi mengelakkan pengambilan kalori berlebihan pada satu masa. Badan yang berpuasa, akan terbeban untuk mencerna dan memproses makanan yang banyak pada satu masa.

Selain itu, waktu sahur juga perlu dititikberatkan supaya badan mampu bertahan sepanjang tempoh berpuasa. Tidak semestinya pengambilan makanan dengan kuantiti yang banyak akan membantu menahan lapar lebih lama. Makan dalam kuantiti sederhana sepertimana berbuka, perut kita tidak seharusnya dipenuhi dengan makanan. Bersahur dengan karbohidrat kompleks akan melambatkan pencernaan makanan, tenaga dapat diproses dengan lebih perlahan dan kita akan tahan lapar lebih lama jika hendak dibandingkan dengan pengambilan karbohidrat ringkas. Makan juga makanan sumber protein serta sedikit lemak yang baik bagi melengkapkan pengambilan kalori, protein, lemak dan nutrien penting. Tidak lupa akan sayuran dan buahan, pengambilan makanan tinggi serat juga membantu proses pencernaan dan pengeluaran tenaga yang lebih efisien.

3) kuantiti makanan.
 
Tip ini sudah dikongsikan bersama tip di atas. Kata kuncinya ialah sederhana. Sederhana membawa maksud mencukupi dan tidak berlebihan. Badan kita akan merasakan bahawa makanan yang dimakan sudah mencukupi apabila mula terasa kenyang, jadi jika kita makan meskipun telah kenyang ia membawa kepada makan secara berlebihan. Sepertiga perut kita hendaklah diisi dengan makanan, sepertiga dengan minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan. Sayanglah, jika kita ingin menunaikan ibadah wajib mahupun sunat dalam keadaan mengantuk, semput dan mengah kerana makan berlebihan.

Teori pinggan yang saya kongsikan sebelum ini perlu dipraktikkan dalam mana-mana hidangan sekalipun. Tidak kira makanan seperti nasi goreng, mee hailam, bihun sup, setiap hidangan seeloknya ada karbohidrat, protein, sedikit lemak serta sayuran.

Air manis serta sejuk menjadi kegemaran bagi orang berpuasa kerana ia menghilangkan dahaga. Tiada masalah bagi orang yang sihat tanpa masalah kencing manis untuk mengambil air manis. Tapi biarlah berpada-pada, jika boleh minum segelas air manis disertai air kosong. Jika mahu minum banyak lebih dari segelas, kurangkanlah penggunaan gula semasa membancuh. Alternatif lain ialah, air jus buah tanpa gula tambahan, air kelapa segar tanpa gula, dan sebagainya.

Kuih-muih dan hidangan sampingan juga dinikmati secara sederhana. Kalau tidak dibeli atau dimasak tiadalah yang dimakan. Semasa membeli, hadkan kepada 2 jenis bukan 10 jenis, dan beli kuantiti sedikit bagi mengelakkan pembaziran. Bagi yang menyediakan kuih-muih dirumah juga perlu berjaga-jaga supaya tidak diikutkan kehendak nafsu.

4) waktu makan
 
Antara faktor lain yang penting dalam penjagaan pemakanan semasa berpuasa ialah waktu makan. Waktu makan bersahur seharusnya sebelum subuh atau di awal pagi, bukanlah semasa lewat malam. Ini kerana metabolisma kita tinggi diwaktu pagi dan rendah diwaktu malam, apabila ini berlaku pengambilan makanan lewat malam akan menyebabkan makanan tidak dapat diproses secara efektif dan aturan tenaga hasil pencernaan juga tidak efisien. Dan kebarangkalian untuk tenga diproses dan ditukar ke lemak lebih tinggi. Jadi, pengambilan makanan sahur seperti sunnah Rasullullah s.a.w haruslah dipraktikkan.

Makan berbuka pula seeloknya di awal-awalkan, bukanlah awal bermaksud sebelum waktunya tetapi di awal waktu yang dibenarkan berbuka. Melambatkan waktu berbuka, mungkin akan menyebabkan kita makan berlebihan akibat terlalu lapar. Dan seperti yang saya katakan, metabolisma akan menurun di waktu malam. Jika mahu melaksanakan solat maghrib terlebih dahulu, sunnah untuk kita berbuka sekurang-kurangnya dengan buah kurma atau kudapan lain.

Usai terawih, selalunya kita disajikan dengan hidangan moreh. Seeloknya makan dua jam sebelum tidur, dan selalunya kita akan tidur setelah berterawih supaya dapat bangun di awal pagi. Jadi, ringankan makanan moreh, jangan diberatkan. Kerana makanan mengambil masa dua jam untuk diproses sedangkan badan perlu berehat.



Demikianlah, empat tip am pemakanan sihat semasa berpuasa. Moga dapat dipraktikkan!
Badan sihat, ibadah mantap!

Sunday 15 July 2012

Hikmah berpuasa dari sudut kesihatan

Ahlan ya Ramadhan! Setiap tahun umat islam menantikan kedatangan bulan ramadhan, bulan yang diberkahi dan penuh hikmah. Sayangnya bagi individu muslim yang menantikan kehadiran syawal melebihi kedatangan ramadhan terlebih dahulu. Usah dibicarakan mengenai hikmah ramadhan dari sudut spiritual atau rohani terutamanya bagi yang benar-benar memahami pengertian ramadhan.
Dalam surah al baqarah ayat 183 Allah s.w.t berfirman: " Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana telah diwajibkan keatas umat sebeluM kamu, moga kamu menjadi orang yang bertakwa" Dengan harapan, ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya bukan sekadar mengejar ganjaran berlipat kali ganda bahkan hikmah yang terang mahupun tersembunyi dengan berpuasa di bulan ramadhan diantaranya manfaat ke atas tubuh badan.

 Hikmah terhadap tubuh badan terlalu banyak dan panjang untuk dihuraikan. Cukup sekadar saya memberi ulasan ringkas dengan harapan kita merasa izzah atau bangga dengan salah satu amalan yang di syariatkan Allah s.w.t. InsyaAllah. Pertamanya, mari kita sama-sama bayangkan sebuah enjin kereta, kereta adalah kenderaan gunaan harian, hari demi hari, tahun demi tahun digunakan.. Bagi pemilik yang bertanggungjawab dan peka.. Dia akan memastikan keretanya di baiki jika rosak dan lagi baik jika dilakukan "maintainance" bagi mencegah kerosakan yang lebih teruk. Sepertimana enjin kereta, sistem tubuh badan yakni sistem penghadaman, sistem aliran darah, sistem hormon yang setiap satu saling berkait. Sistem tubuh kita tidak pernah berhenti menjalankan tugas masing-masing. Setiap sistem, organ, tisu dan sel menurut sunnatullah atau ketetapan Pencipta, sejak dari kita dalam rahim ibu sehingga kita dewasa.
Demikian, berpuasa adalah salah satu amalan untuk membaiki sistem tubuh sekurang-kurangnya setahun sekali. Prof.Bruce copen dalam buku 'Diet and Nutrition' ada memberi huraian bahawa jika sesuatu enjin hendak dibaiki, mestilah enjin perlu dihentikan terlebih dahulu bagi memudahkan mekanik melakukan kerja pembaikian. Uniknya, badan manusia bukan berhenti sepertimana enjin, kerana badan juga mempunyai mekanisma membaik pulih selaku mekanik. SubhanaAllah, Allah s.w.t menciptakan sistem badan kekal berfungsi meski tanpa bahan bakar yakni makanan.

 Semasa berpuasa, tiada makanan mahupun minuman masuk ke dalam sistem badan. Ketika inilah, saluran dapat dibersihkan. Tukang cuci, tukang vakum n tukang-tukang yang lain akan keluar dan menjalankan proses pembersihan atau nyahtoksik. Hikmah puasa disini, ialah kita membolehkan sistem badan kita berehat dan membaik pulih setelah penat bekerja. Proses nyahtoksik atau pembuangan toksin berbahaya hasil dari amalan pemakanan atau kehidupan seharian akan dibuang ketika berpuasa. Selain dari toksin, penyakit yang melibatkan penghasilan mukus berlebihan seperti asma, selesema, resdung dan sebagainya akan berkurangan hasil dari proses membaik pulih. Malah, penyakit yang melibatkan lebihan sebatian atau bahan seperti kalsium, purin terutama pada bahagian otot, tulang dan sendi juga berkurang.

 Lagi, bagi penggemar "masakan tiga rasa" iaitu paras gula, kolestrol dan tekanan darah tinggi juga akan terkawal semasa berpuasa. Terdapat satu persidangan di casablanca yang melibatkan 50 kajian berkaitan amalan berpuasa menyimpulkan bahawa amalan berpuasa sama sekali tidak memudaratkan orang yang sakit. Bahkan, berpuasa seharusnya menjadi salah satu saranan dalam langkah perawatan penyakit terutamanya penyakit kencing manis tahap ringan ke sederhana, stabil dan tanpa insulin, pesakit obes, darah tinggi dan lain-lain berkaitan. Tetapi dikecualikan bagi pesakit kencing manis yang tidak stabil, penyakit kronik, dan batu karang yang sememangnya memudaratkan jika berpuasa.

 Kenapa bulan puasa seharusnya menjadi bulan yang membantu dalam pengurusan berat badan bukan sebaliknya? Satu, bulan ramadhan seharusnya menyebabkan pengambilan kalori harian hanya 2 per 3 dari keperluan harian. Pengurangan kalori akan membenarkan proses pembakaran lemak berlaku bagi menggantikan penghasilan tenaga semasa berpuasa. Kadar metabolisma juga akan menurun semasa berpuasa kerana badan perlu menyesuaikan sistem dalam situasi berpuasa. Jadi, ironinya bagi orang yang makan berlebihan pada satu masa yakni sahur, berbuka dan mungkin moreh, mereka akan menyimpan lebih lemak akibat ketidak seimbangan jumlah kalori berbanding dengan kadar metabolisma, Apabila berpuasa, makanan sewaktu sahur akan dibakar menjadi tenaga terlebih dahulu kemudian simpanan glikogen dan lemak akan digunakan bagi menghasilkan tenaga bagi aktiviti harian. Disini, kita sepatutnya akan membakar sejumlah lemak secara berperingkat dan bermanfaat untuk penurunan berat badan.Bahkan, proses mobilisasi lemak juga akan membawa keluar sekali toksin yang melekat pada lemak.

Seterusnya, hikmah lain ialah saiz perut akan mengecil semasa berpuasa akibat ketiadaan makanan atau minuman. Jadi, seharusnya bulan puasa iaitu bulan mengawal nafsu juga menjadi bulan untuk kita konsisten dalam melestarikan matlamat menguruskan badan. Kerana selepas bulan puasa,perut masih mengecut dan kecenderungan untuk makan berlebihan akan kurang. Semua ini dengan satu syarat, iatu makan seimbang dan sederhana. Bukan sampai kenyang, biasa kita mendengar sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan. Jika keseluruhan perut dipenuhi makanan, hilanglah hikmah pada kesihatan melainkan sedikit sahaja.

 Kesimpulannya, terlalu banyak hikmah berpuasa ke atas kesihatan samada dalam pencegahan penyakit mahupun perawatan penyakit. Tetapi satu yang pasti, kita berpuasa kerana diwajibkan ke atas kita berpuasa, janganlah kita niatkan puasa kerana hendak kurus atau mahukan kelebihan-kelebihan terhadap kesihatan semata. Hikmah adalah janji Allah s.w.t kepada kita, itulah sunnatullah bagi orang yang mengikuy syariat Allah s.w.t. Terang lagi jelas dalam surah yunus " Allah tidak menganiayai kita, bahkan kitalah yang menganiyai diri sendiri". Moga dengan penjagaan makanan semasa ramadhan akan menggiatkan ibadah kita dibulan berkah ini dan bulan-bulan mendatang. InsyaAllah Wallahua'lam.