Tuesday, 31 July 2012

Pemakanan semasa berpuasa

Ramadhan kareem!

Selamat berpuasa buat semua. Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesempatan untuk melaksanakan ibadah di bulan puasa. Moga ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya.
 
Berbicara soal pemakanan semasa berpuasa. Sekiranya kita diberi pen dan kertas untuk menyenaraikan kriteria makanan atau hidangan semasa berbuka mahupun bersahur, apa agaknya rupa senarai kita? Fitrah manusia sukakan makanan yang nampak lazat, rasa yang sedap serta makan sehingga kenyang. Fitrah manusia sememangnya sukakan hal sedemikian, tapi dengan iman dan amal menjadi landasan supaya kita tidak makan mengikut nafsu.

Sempena meraikan ramadhan, bulan suci yang mana setiap ibadah dijamin pahala berlipat kali ganda. Marilah sama-sama kita jadikan makan serta minum sebagai ibadah. Sungguh! Setiap yang diniatkan kerana Allah s.w.t akan menjadi ibadah. Malulah jika kita jadikan waktu berbuka dan bersahur sebagai tempat membelai nafsu makan.

Secara amnya, kita memerlukan kalori mengikut keperluan masing-masing. Semasa berpuasa, rata-rata hanya mengambil dua pertiga dari kalori harian. Dan tidak bermakna mengambil hanya dua pertiga kalori akan memudaratkan kita, bahkan ia baik untuk individu yang mengalami masalah berat badan serta penyakit yang berkait dengan berat badan berlebihan seperti darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi dan sebagainya. Jadi usah risau, makan sekadar perlu, berhenti sebelum kenyang! InsyaAllah apa yang kita makan cukup untuk membantu badan kita dalam menjalankan fungsinya.

Untuk memendekkan perbicaraan kita mengenai pemakanan semasa berpuasa, saya rangkumkan kepada 4 tip pemakanan utama:

1) Makanan halal lagi baik.
 
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah,ayat 168,
" hai manusia, makanlah barang yang halal lagi baik dari apa yg ada dibumi dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu"

Adalah menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk menitik-beratkan status halal atau haram sesuatu makanan yang ingin diambil. Semestinya banyak makanan yang halal, tapi belum tentu makanan tersebut baik. Sebagai contoh, ayam goreng halal, tetapi jika sentiasa di ambil dalam kuantiti yang banyak mungkin memudaratkan dalam jangka masa panjang, akibat kandungan lemak tepu dan trans yang tinggi. Dan haram sesuatu makanan pula bukan sekadar dari segi jenis makanan tersebut, ia juga termasuk cara penyediaan, kandungan dalam makanan serta sumber pendapatan untuk memperolehi makanan tersebut. SubhanAllah! Demikianlah betapa telitinya ajaran islam.

2) Pemilihan makanan seimbang dan sihat.
 
Setelah dikenal pasti kehalalan makanan atau minuman, kita perlu memilih jenis makanan yang mana membawa manfaat, seimbang serta sihat. Cuba kita bayangkan, kita hanya ada masa berbuka, bersahur, dan moreh untuk menikmati makanan, jika kita pilih makanan yang kurang nilai nutrisi maka badan akan mengalami kekurangan nutrien. Tidak perlu khuatir akan nilai kalori, selalunya cukup atau mungkin berlebihan. Kandungan nutrien penting untuk membantu sistem badan untuk berfungsi dengan cekap. Kekuatan fizikal perlu untuk kita menjalani ibadah semasa berpuasa.

Jadi, bagaimana caranya memilih hidangan yang seimbang? Jika kita lihat pada pinggan kita, seharusnya separuh dari pinggan adalah untuk diisi dengan sayuran, seperempat dengan lauk-pauk dan seperempat lagi dengan makanan berkarbohidrat seperti nasi. Senang cerita, setiap kali berbuka banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan, makan makanan sumber protein dan karbohidrat secara sederhana. Minuman manis sewajarnya diambil secara sederhana, sediakan juga air kosong bagi mengelakkan pengambilan kalori berlebihan pada satu masa. Badan yang berpuasa, akan terbeban untuk mencerna dan memproses makanan yang banyak pada satu masa.

Selain itu, waktu sahur juga perlu dititikberatkan supaya badan mampu bertahan sepanjang tempoh berpuasa. Tidak semestinya pengambilan makanan dengan kuantiti yang banyak akan membantu menahan lapar lebih lama. Makan dalam kuantiti sederhana sepertimana berbuka, perut kita tidak seharusnya dipenuhi dengan makanan. Bersahur dengan karbohidrat kompleks akan melambatkan pencernaan makanan, tenaga dapat diproses dengan lebih perlahan dan kita akan tahan lapar lebih lama jika hendak dibandingkan dengan pengambilan karbohidrat ringkas. Makan juga makanan sumber protein serta sedikit lemak yang baik bagi melengkapkan pengambilan kalori, protein, lemak dan nutrien penting. Tidak lupa akan sayuran dan buahan, pengambilan makanan tinggi serat juga membantu proses pencernaan dan pengeluaran tenaga yang lebih efisien.

3) kuantiti makanan.
 
Tip ini sudah dikongsikan bersama tip di atas. Kata kuncinya ialah sederhana. Sederhana membawa maksud mencukupi dan tidak berlebihan. Badan kita akan merasakan bahawa makanan yang dimakan sudah mencukupi apabila mula terasa kenyang, jadi jika kita makan meskipun telah kenyang ia membawa kepada makan secara berlebihan. Sepertiga perut kita hendaklah diisi dengan makanan, sepertiga dengan minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan. Sayanglah, jika kita ingin menunaikan ibadah wajib mahupun sunat dalam keadaan mengantuk, semput dan mengah kerana makan berlebihan.

Teori pinggan yang saya kongsikan sebelum ini perlu dipraktikkan dalam mana-mana hidangan sekalipun. Tidak kira makanan seperti nasi goreng, mee hailam, bihun sup, setiap hidangan seeloknya ada karbohidrat, protein, sedikit lemak serta sayuran.

Air manis serta sejuk menjadi kegemaran bagi orang berpuasa kerana ia menghilangkan dahaga. Tiada masalah bagi orang yang sihat tanpa masalah kencing manis untuk mengambil air manis. Tapi biarlah berpada-pada, jika boleh minum segelas air manis disertai air kosong. Jika mahu minum banyak lebih dari segelas, kurangkanlah penggunaan gula semasa membancuh. Alternatif lain ialah, air jus buah tanpa gula tambahan, air kelapa segar tanpa gula, dan sebagainya.

Kuih-muih dan hidangan sampingan juga dinikmati secara sederhana. Kalau tidak dibeli atau dimasak tiadalah yang dimakan. Semasa membeli, hadkan kepada 2 jenis bukan 10 jenis, dan beli kuantiti sedikit bagi mengelakkan pembaziran. Bagi yang menyediakan kuih-muih dirumah juga perlu berjaga-jaga supaya tidak diikutkan kehendak nafsu.

4) waktu makan
 
Antara faktor lain yang penting dalam penjagaan pemakanan semasa berpuasa ialah waktu makan. Waktu makan bersahur seharusnya sebelum subuh atau di awal pagi, bukanlah semasa lewat malam. Ini kerana metabolisma kita tinggi diwaktu pagi dan rendah diwaktu malam, apabila ini berlaku pengambilan makanan lewat malam akan menyebabkan makanan tidak dapat diproses secara efektif dan aturan tenaga hasil pencernaan juga tidak efisien. Dan kebarangkalian untuk tenga diproses dan ditukar ke lemak lebih tinggi. Jadi, pengambilan makanan sahur seperti sunnah Rasullullah s.a.w haruslah dipraktikkan.

Makan berbuka pula seeloknya di awal-awalkan, bukanlah awal bermaksud sebelum waktunya tetapi di awal waktu yang dibenarkan berbuka. Melambatkan waktu berbuka, mungkin akan menyebabkan kita makan berlebihan akibat terlalu lapar. Dan seperti yang saya katakan, metabolisma akan menurun di waktu malam. Jika mahu melaksanakan solat maghrib terlebih dahulu, sunnah untuk kita berbuka sekurang-kurangnya dengan buah kurma atau kudapan lain.

Usai terawih, selalunya kita disajikan dengan hidangan moreh. Seeloknya makan dua jam sebelum tidur, dan selalunya kita akan tidur setelah berterawih supaya dapat bangun di awal pagi. Jadi, ringankan makanan moreh, jangan diberatkan. Kerana makanan mengambil masa dua jam untuk diproses sedangkan badan perlu berehat.



Demikianlah, empat tip am pemakanan sihat semasa berpuasa. Moga dapat dipraktikkan!
Badan sihat, ibadah mantap!

No comments:

Post a Comment