Showing posts with label Terapi diet. Show all posts
Showing posts with label Terapi diet. Show all posts

Tuesday, 9 October 2012

Terapi Makanan untuk Masalah cirit birit

Salam semua, masih ingat lagi artikel pemakanan untuk masalah sembelit? Sekarang, kita ingin mengupas mengenai terapi makanan untuk masalah cirit birit. Apabila cirit birit melanda, ada antara kita hanya pasrah, dan menahan sakit memulas. Ada juga yang prihatin dan terus ke klinik untuk dapatkan rawatan, habis-habis pun ada yang mengambil ubat di farmasi atau tabib cina. Di sini, saya ingin membantu anda untuk menangani masalah melalui pemakanan.

Makanan tercerna akan bergerak melalui usus dan membawa bersama cecair, jadi apabila sampai di kolon, tekstur sisa akan menjadi berair. cecair berlebihan ini akan diserap semula masuk melalui kolon. Tetapi apabila terdapat rangsangan dari bakteria atau virus yang mengganggu proses, dinding usus akan meradang menjadikannya sukar untuk menyerap lebihan air pada sisa. Hasilnya, masalah cirit-birit.

Anda disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor jika cirit-birit berterusan selama dua hari, jika anda mengalami cirit-birit berdarah atau jika anda kehilangan banyak air melebihi kemampuan anda untuk minum. Ini penting terutamnya bagi individu berumur dan kanak-kanak.

Jadi, preskripsi makanan adalah seperti dibawah:

1) Jus epal, air dan cecair jernih lain.
Cirit-birit akan mengurangkan kandungan air dalam badan dan seterusnya menyebabkan dehidrasi. Pengambilan air yang mencukupi akan menggantikan air yang hilang, begitu juga dengan cecair jernih yang lain seperti jus epal, sup yang juga akan menggantikan garam dan mineral yang hilang.

Sasaran: Bermula dengan pengambilan beberapa teguk cecair dan teruskan dengan pengambilan secawan setiap setengah jam.

2) Teh
Teh akan membantu badan menyerap cecair sementara mengurangkan keradangan pada saluran usus. Pastikan air teh yang disediakan tidak terlalu panas, kerana air panas akan merangsang pengecutan usus. Pilih teh yang mengandungi teh sebenar bukan sekadar perisa, serta teh yang kurang kafein. Ini kerana kafein menyebabkan dehidrasi lebih teruk.


Sasaran: 3-4 cawan sehari


3) Cecair rehidrasi
Apabila cirit-birit berterusan selama berhari-hari, ia akan mengganggu keseimbangan elektrolit badan terutamnya natrium dan kalium. Minuman kecergasan mampu menggantikan elektrolit yang hilang tetapi selalunya ia tidak mengandungi natrium yang mencukupi untuk penyerapan maksima. Ia juga tinggi kandungan gula yang menyebabkan cirit-birit lebih teruk. Pilih cecair rehidrasi oral yang boleh diperolehi di kaunter farmasi dan bukanlah minuman kecergasan seperti gatorade atau 100 plus. 
Anda juga boleh menyediakan cecair rehidrasi sendiri dengan mencampurkan 1 liter air, 1/4 sudu teh garam, 1/4 sudu teh soda bikarbonat dan 2 sudu makan madu, kacau sehingga sebati.

Sasaran: Gunakan cecair dehidrasi yang dibeli mengikut arahan yang diberikan. Minum secara kerap untuk pengambilan 3 litre sehari.

4) Nasi putih
Nasi putih selalunya rendah kandungan serat, ia akan melambatkan cirit-birit. Nasi juga akan membantu usus menyerap lebih banyak air, menghasilkan sisa yang lebih pejal.

Sasaran: Makan sekurang-kurangnya 1/2 cawan sehidangan.

5) Pisang
Pisang senang untuk dicerna, menjadikannya snek yang terbaik semasa menghadapi masalah cirit-birit. Pisang juga kaya kandungan kalium, kanji dan serat larut, yang membantu menghasilkan sisa yang lebih pejal.

Sasaran: 1-2 hidangan sehari.

6) Epal
Buah epal kaya kandungan pektin, iaitu sejenis serat larut. Bagi mengurangkan kesan rangsangan usus, makan epal yang telah dikupas. 

Sasaran: 1/2 epal bagi setiap jam.

7) Yogurt dengan kultur hidup.
Pengambilan yogurt atau minuman yogurt berkultur mampu mencegah dan merawat cirit-birit yang disebabkan oleh bakteria 'jahat'. Jika cirit-birit disebabkan oleh antibiotik yang membunuh kedua-dua bakteria baik dan jahat. Adalah penting untuk menggantikan bakteria baik yang hilang.

Sasaran: 1/2 cawan dua kali sehari.

'OFF THE MENU" ~
1) Berhenti makan,atau minum
ketika episod cirit-birit, penyembuhan akan lebih perlahan jika kita menghadkan pengambilan makanan. Cuba makan semampu mungkin, secara seimbang dan jangan terlalu berpantang.

2) Makanan tinggi lemak, gula dan kandungan sorbitol.
Lemak menyukarkan pencernaan, dan gula pula menjadi 'makanan kegemaran' bakteria. Manakala sorbitol yang terkandung dalam makanan tertentu seperti mint dan gula-gula getah akan menyebabkan cirit-birit berlanjutan.

3) Susu dan produk tenusu
Jika anda menghidap alahan laktosa, produk tenusu akan menyebabkan cirit-birit. Gula dalam susu juga akan menyebabkan cirit-birit makin teruk meskipun tanpa alahan. Cuba minum susu soya sebagai alternatif.

4) Alkohol,kafein dan tablet vitamin C
Alkohol dan kafein bersifat diuretik dan akan menyebabkan masalah dehidrasi lebih teruk. Dos vitamin C yang tinggi (sekitar ribuan miligram) akan merangsang cirit-birit.


Semoga bermanfaat!

Friday, 14 September 2012

Pemakanan untuk masalah sembelit

"Adoi...sembelit lagi....." seringkali kita mendengar rungutan masalah sembelit dan sudah tentu individu yang mengalami masalah ini mahukan penyelesaian secepat mungkin. Membayangkan nikmat 'melepaskan' segala sisa yang terpendam..tentu sekali kita menarik nafas lega dan tersenyum lebar.. Alhamdulillah!
Tetapi, kebanyakan kita terus-menerus mengalami masalah sembelit tanpa memikirkan bagaimana untuk mengelakkan masalah ini dari terus berulang. Kebanyakan sudah lali dan bersedia dengan pil 'membuang' jika masalah muncul, sedangkan terdapat cara untuk mengelakkannya.

Jika pengambilan serat dari buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh menjadi punca utama, maka penyelesaiannya ialah pemilihan makanan yang lebih baik dan pengambilan cecair yang banyak.
Atau tekanan dan masalah pencernaan menjadi kebiasaan? Kita akan tunjukkan cara pantas dan penyelesaian segera.
Jika tidak dapat diselesaikan, langkah terbaik ialah untuk berbincang dengan pegawai perubatan untuk mengenal pasti punca permasalahan.

Jadi, preskripsi makanan yang berikut akan membantu mengelakkan masalah sembelit:

1) Buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, legum dan bijirin penuh

Selain dari menjadi salah satu elemen penting dalam piramid makanan, kumpulan makanan ini juga kaya dengan serat larut mahupun serat tidak larut. Serat adalah kunci utama kesihatan sistem pencernaan. Apabila ia memasuki sistem pencernaan, ia akan menyerap cecair dan melembutkan sisa buangan. Ini akan membantu pergerakan sisa di sepanjang usus.
Kandungan serat tinggi di bahagian kulit, stem dan daun buah-buahan atau sayur-sayuran, jadi makan epal bersama kulitnya, jangan dibuang batang brokoli atau kangkung. Kenapa perlu dibuang sedang boleh dimakan?

Disamping itu, sayuran hijau gelap seperti kangkung, brokoli, kailan dan sebagainya kaya dengan kandungan magnesium yang bersifat laksatif. Bukan sekadar tinggi serat tetapi juga tinggi nutrien yang menggalakkan pencernaan efektif.

Sasaran: 25 - 35g serat sehari. Boleh dicapai dengan pengambilan 2 sajian buahan dan 3 sajian sayuran berserta pengambilan bijirin penuh dari kumpulan karbohidrat.


2) Buah prun dan buahan kering lain
Buah prun bertindak sebagai agen laksatif ringan, dengan merangsang otot usus untuk menolak keluar bahan buangan. 5 biji prun membekalkan 3g serat, tetapi kajian menunjukkan keberkesanannya bukan hanya terletak pada serat tetapi juga pada kandungan sorbitol serta komponen lain.
Selain prun, anda mungkin boleh mencuba buah tin, kismis, kurma dan buah-buahan kering lain.
Sasaran: secawan prun (tambah sesudu perahan jus lemon untuk menambah kesan) atau 4 biji prun sehari.

3) kopi dan minuman panas lain.
Sebahagian individu akan terus 'membuang' setelah menikmati kopi. Antara faktornya ialah minuman panas akan membantu pergerakan usus. Kandungan kafein dalam kopi juga akan merangsang pergerakan dan pengecutan otot usus. Tetapi ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang, kerana pengambilan kafein secara berlebihan akan menyebabkan masalah kesihatan lain pula.
Atau anda mungkin boleh mencuba air panas dibancuh bersama sesudu jus lemon atau limau.

Sasaran: secawan dua kopi atau sekole air panas bersama 2 sudu jus lemon atau limau.

4) Air
Serat memerlukan air untuk berfungsi sepenuhnya. Jika tidak meminum air secukupnya, badan akan menyerap balik air dalam bahan buangan, dan seterusnya akan menyebabkan sisa tersebut mengeras. Jika anda jenis susah untuk menelan air kosong, cuba tambah perisa seperti perahan limau, hirisan buah-buahan dan sebagainya.

Sasaran: minum 8-11 gelas (250ml segelas) atau 2-3 liter sehari.

5) Linseed dan psyllium
Kedua-dua tumbuhan ini mampu melembutkan bahan kumuh. Anda boleh dapati dalam bentuk mentah, terproses atau mungkin sekali bersama dengan bahan lain di pasaran. Boleh cuba campurkan susu panas dengan linseed yang telah dihancurkan, minum sebelum tidur. Atau boleh tambahkan dalam minuman lain, atau yogurt, salad, smoothie, bijirin pagi dan sebagainya. Anda juga boleh cari bijirin yang menjadikan psyllium sebagai bahan utama.

Sasaran : 1-2 sudu teh sehari berserta pengambilan air yang mencukupi.

6) Probiotik
Usus memerlukan tindakan probiotik dari bakteria dan prebiotik iaitu serat untuk menjalankan proses pencernaan, penyerapan, dan perkumuhan secara efisien. Kita boleh mendapati sumber probiotik dari makanan harian terutamanya dari makanan yang ditapai seperti tempeh, yogurt, makanan beryis dan minuman probiotik.

Sasaran: 1 hidangan makanan atau minuman kaya dengan probiotik sehari. Mungkin boleh amalkan minuman probiotik sekali sehari tetapi selalunya ia tinggi gula, jadi pastikan pilih yang kurang gula.

7) supplemen jika perlu

Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang selalunya mencukupi untuk mengatasi pelbagai masalah kesihatan tetapi saranan pengambilan supplemen mungkin membantu individu tertentu. Antara supplemen yang disarankan ialah:
a) magnesium
Magnesium adalah nutrien yang bersifat laksatif. Jika anda liat untuk mengambil kekacang, biji-bijian atau sayur berdaun hijau gelap, supplemen magnesium mungkin boleh membantu.
Dos: 150-300mg dua kali sehari.

b) serat
Jika anda tidak mencapai pengambilan serat dari makanan seperti yang disarankan, supplemen serat berasaskan psyllium akan membantu anda mencapai sasaran pengambilan serat harian.
Dos: mulakan dengan sesudu teh supplemen bersama dengan 300ml air sehari. Tingkatkan dos mengikut saranan label makanan.

HADKAN!

1) pengambilan susu lembu atau produk tenusu secara berlebihan.
Kekadang alahan pada protein susu akan menyebabkan sembelit. Kajian menunjukkan, 68% dari subjek kanak-kanak yang mengalami sembelit kronik sembuh apabila pengambilan susu lembu ditukar kepada susu soya. Jadi, jika anda sudah mengambil serat dan air yang cukup tetapi masih sembelit, cuba kurangkan pengambilan susu atau tenusu selama 2 minggu bagi mengenalpasti perbezaan. Tetapi, pastikan anda mengambil makanan sumber kalsium secukupnya dalam tempoh ini.

2) pengambilan protein berlebihan
Diet tinggi protein terutamanya daging merah boleh menyumbang masalah sembelit. Anda hanya perlu 65-100g sehidangan 3-4 kali seminggu. Sekurang-kurangnya sekali seminggu cuba makan makanan vegetarian, anda mungkin mampu mengubah masalah kekurangan serat dan sembelit.

3) Roti putih, nasi putih dan pasta putih
Putih..putih... Bermaksud yang sudah ditapis,diproses dan seratnya dibuang. Jadi, jika anda sememangnya hanya mampu telan nasi putih, pastikan anda mengambil sayuran dan buahan secukupnya. Roti mil penuh juga menyelerakan jika hendak dibandingkan dengan roti putih. Jangan lupa mengambil kekacang, biji-bijian yang sememangnya kaya dengan serat.

4) alkohol
Bagi peminum arak, (haram bagi muslim untuk meminum arak), alkohol akan memperlahankan pergerakan otot usus dan ia juga bersifat diuretik. Jadi anda memerlukan lebih air.

Tuesday, 5 June 2012

Pemakanan Untuk Masalah Jerawat

Jika anda fikir makanan bergoreng dan coklat adalah punca permasalahan kulit berjerawat. Fikir semula. Masalah jerawat biasanya disumbangkan oleh keturunan dan hormon. Sepanjang tempoh baligh, peningkatan hormon lelaki androgen (wanita juga tidak terkecuali) meningkatkan penghasilan sebum, yang bertanggungjawab memelihara kelembapan kulit, serta keratin, yang diperlukan oleh rambut. Apabila penghasilan berlebihan, maka terjadilah sumbatan pada folikel rambut atau bulu, dan jerawat muncul.
Pengambilan makanan yang penuh berminyak, mungkin tidak memberi sebarang perubahan signifikan pada anda, tetapi apa yang boleh memberi perubahan ialah pengambilan positif seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan lain yang membantu kestabilan hormon dan melawan keradangan/inflamasi.

Ambil pen dan kertas! Mula mencatit. Di bawah ialah antara vitamin dan mineral yang dipreskripsi:

1) Selenium
Selenium ialah sejenis antioksidan yang berkuasa yang mampu membantu permasalahan kulit berjerawat, dengan melindungi sel-sel kulit dari kerosakan akibat keradangan serta mengekalkan fleksibititi kulit. Selenium bekerjasama dengan vitamin E dan A, jadi makanlah kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna merah/jingga yang kaya dengan vitamin tersebut.
Antara makanan yang kaya dengan selenium ialah kacang brazil, makanan laut, daging ayam, telur, daging merah, biji bunga matahari, cendawan butang/shitake/crimini, bawang dan bijirin penuh.

2) Zink
Tiada siapa yang tahu, tetapi pengambilan zink mampu meminimakan masalah jerawat. Mungkin kerana zink membantu pengawalan produksi hormon androgen. Zink juga membantu badan menyerap vitamin A, yang juga merupakan penting dalam mengekalkan kesihatan kulit.
Sasaran: Purata keperluan bagi lelaki ialah 12 mg dan wanita pula 7 mg. 6 ekor tiram (~90g) membekalkan 40mg total zink, manakala 100g daging merah membekalkan sekitar 4-5mg zink.
Vegetarian yang tidak mengambil sebarang produk haiwan mungkin memerlukan nasihat pakar pemakanan dan supplemen.

3) Asid Lemak Omega-3
Ahli dermatologi berpendapat asid lemak omega-3 mengawal keradangan, dan dalam masa yang sama membantu pengawalan masalah jerawat. Ikan berlemak seperti salmon, sardin, dan ikan air tawar kaya dengan asid lemak omega-3. Sumber lain seperti kanola, linseed, dan kacang walnut juga kaya dengan asid lemak omega-3.
Sasaran: Ambil ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3 sekurang-kurangnya 2 hidangan seminggu. Jadikan walnut dan kekacang lain yang kaya dengan asid lemak omega-3 sebagai snek harian.

4) Beta-karoten
Beta karoten kebanyakannya ditemui dalam buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna kuning, merah dan jingga. Beta karoten ditukarkan kepada vitamin A dalam badan-- dan meningkatkan kebaikan selenium pada kulit.
Sasaran: sekurang-kurangnya 1/2 cawan sayur-sayuran berwarna jingga/merah/kuning sehari.

5) Vitamin E.
Anti-oksidan Vitamin E membantu penyembuhan kulit dari kerosakan dan parut jerawat. Tidak mudah untuk mendapatkan vitamin E melalui pemakanan rendah lemak kerana sumber terbaik vitamin E ialah minyak sayuran, lemak daging/ayam dan ikan serta kekacang. Bijirin penuh dan sayuran berdaun hijau juga mengandungi vitamin E dalam kadar sederhana.
Sasaran: Saranan pengambilan harian ialah 7-10mg. 1 sudu makan minyak kanola membekalkan 4mg vitamin E, 100g sardin pula mempunyai 3mg vitamin E.
 
6) Vitamin C
Vitamin C akan melindungi kulit dari kesan parut jerawat. Bioflavonoid yang selalu bersama dengan vitamin C bertindak sebagai anti-keradangan semulajadi yang seterusnya meningkatkan potensi penyembuhan pada vitamin C.
Sasaran: makan makanan tinggi Vitamin C secukupnya sekurang-kurangnya 250mg, sebolehnya 500mg sehari. 1/2 cawan lada benggala membekalkan 150mg, manakala sebiji strawberi membekalkan 110mg.

7) Sayur-sayuran dan buah-buahan segar, Bijirin penuh
Apabila saintis melaksanakan kajian pemakanan remaja di Pulau Kitavan, New Guinea dan Kawasan Ache Paraguay, di mana tiada satu pun kes jerawat ditemui. Mereka menyimpulkan ia kerana pemakanan remaja disana yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran segar seperti keladi dan sayuran hijau, serta rendah makanan terproses seperti gula putih dan gandum putih, penyebab peningkatan hormon. Apabila remaja yang memiliki gen yang serupa berhijrah ke kawasan barat dan mula mengambil makanan terproses, mereka mula mengalami masalah jerawat buat pertama kali.
Penyelidik dari RMIT di Melbourne menkaji belia lelaki yang mengalami masalah jerawat, membandingkan tipikal pemakanan barat iaitu makanan terproses dengan makanan rendah indeks glisemik (lebih bijirin tidak terproses, buah-buahan dan sayur-sayuran serta lebih protein). Mereka mendapati selepas 3 bulan, masalah jerawat belia yang mengambil makanan rendah GI berkurangan sebanyak 50%, yang bermaksud pengambilan makanan yang kurang terproses memberi kesan berbeza pada kesihatan kulit.
Sasaran: Sekurang-kurangnya 9 hidangan buah dan sayur sehari. Sehidangan secara amnya bersamaan dengan 1 biji buah bersaiz sederhana, 1 cawan sayur mentah, 1/2 cawan buah/sayur masak/tin. Pilih bijirin penuh seperti beras perang, roti bijirin penuh, pasta bijirin penuh, oat berbanding dengan pilihan terproses.

Supplemen Nutrien:
1) Multivitamin/mineral
Beberapa nutrien, termasuk vitamin E dan Selenium adalah penting dalam pengawalan jerawat. Anda akan dapati kedua-duanya dalam kebanyakan multivitamin.
Dos: Sebiji sehari
* klik link untuk mendapatkan alternatif supplemen.

2)Kromium
Sebahagian pakar pemakanan mungkin menyarankan pengambilan kromium untuk mengatasi masalah jerawat. Terdapat bukti yang mengaitkan kromium dengan penggunaan insulin yang lebih baik dan terdapat juga bukti yang mengaitkan masalah jerawat dengan kekurangan sensitiviti insulin. Kerana kromium akan menggalakkan reaksi rendah gula darah, periksa dengan doktor sebelum mengambil supplemen.
Dos: 200mcg sehari

Rujukan: Food Cures, Breakthrough Nutritional Prescriptions For Everything From Colds To Cancer, 2010