Friday 14 September 2012

Pemakanan untuk masalah sembelit

"Adoi...sembelit lagi....." seringkali kita mendengar rungutan masalah sembelit dan sudah tentu individu yang mengalami masalah ini mahukan penyelesaian secepat mungkin. Membayangkan nikmat 'melepaskan' segala sisa yang terpendam..tentu sekali kita menarik nafas lega dan tersenyum lebar.. Alhamdulillah!
Tetapi, kebanyakan kita terus-menerus mengalami masalah sembelit tanpa memikirkan bagaimana untuk mengelakkan masalah ini dari terus berulang. Kebanyakan sudah lali dan bersedia dengan pil 'membuang' jika masalah muncul, sedangkan terdapat cara untuk mengelakkannya.

Jika pengambilan serat dari buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh menjadi punca utama, maka penyelesaiannya ialah pemilihan makanan yang lebih baik dan pengambilan cecair yang banyak.
Atau tekanan dan masalah pencernaan menjadi kebiasaan? Kita akan tunjukkan cara pantas dan penyelesaian segera.
Jika tidak dapat diselesaikan, langkah terbaik ialah untuk berbincang dengan pegawai perubatan untuk mengenal pasti punca permasalahan.

Jadi, preskripsi makanan yang berikut akan membantu mengelakkan masalah sembelit:

1) Buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, legum dan bijirin penuh

Selain dari menjadi salah satu elemen penting dalam piramid makanan, kumpulan makanan ini juga kaya dengan serat larut mahupun serat tidak larut. Serat adalah kunci utama kesihatan sistem pencernaan. Apabila ia memasuki sistem pencernaan, ia akan menyerap cecair dan melembutkan sisa buangan. Ini akan membantu pergerakan sisa di sepanjang usus.
Kandungan serat tinggi di bahagian kulit, stem dan daun buah-buahan atau sayur-sayuran, jadi makan epal bersama kulitnya, jangan dibuang batang brokoli atau kangkung. Kenapa perlu dibuang sedang boleh dimakan?

Disamping itu, sayuran hijau gelap seperti kangkung, brokoli, kailan dan sebagainya kaya dengan kandungan magnesium yang bersifat laksatif. Bukan sekadar tinggi serat tetapi juga tinggi nutrien yang menggalakkan pencernaan efektif.

Sasaran: 25 - 35g serat sehari. Boleh dicapai dengan pengambilan 2 sajian buahan dan 3 sajian sayuran berserta pengambilan bijirin penuh dari kumpulan karbohidrat.


2) Buah prun dan buahan kering lain
Buah prun bertindak sebagai agen laksatif ringan, dengan merangsang otot usus untuk menolak keluar bahan buangan. 5 biji prun membekalkan 3g serat, tetapi kajian menunjukkan keberkesanannya bukan hanya terletak pada serat tetapi juga pada kandungan sorbitol serta komponen lain.
Selain prun, anda mungkin boleh mencuba buah tin, kismis, kurma dan buah-buahan kering lain.
Sasaran: secawan prun (tambah sesudu perahan jus lemon untuk menambah kesan) atau 4 biji prun sehari.

3) kopi dan minuman panas lain.
Sebahagian individu akan terus 'membuang' setelah menikmati kopi. Antara faktornya ialah minuman panas akan membantu pergerakan usus. Kandungan kafein dalam kopi juga akan merangsang pergerakan dan pengecutan otot usus. Tetapi ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang, kerana pengambilan kafein secara berlebihan akan menyebabkan masalah kesihatan lain pula.
Atau anda mungkin boleh mencuba air panas dibancuh bersama sesudu jus lemon atau limau.

Sasaran: secawan dua kopi atau sekole air panas bersama 2 sudu jus lemon atau limau.

4) Air
Serat memerlukan air untuk berfungsi sepenuhnya. Jika tidak meminum air secukupnya, badan akan menyerap balik air dalam bahan buangan, dan seterusnya akan menyebabkan sisa tersebut mengeras. Jika anda jenis susah untuk menelan air kosong, cuba tambah perisa seperti perahan limau, hirisan buah-buahan dan sebagainya.

Sasaran: minum 8-11 gelas (250ml segelas) atau 2-3 liter sehari.

5) Linseed dan psyllium
Kedua-dua tumbuhan ini mampu melembutkan bahan kumuh. Anda boleh dapati dalam bentuk mentah, terproses atau mungkin sekali bersama dengan bahan lain di pasaran. Boleh cuba campurkan susu panas dengan linseed yang telah dihancurkan, minum sebelum tidur. Atau boleh tambahkan dalam minuman lain, atau yogurt, salad, smoothie, bijirin pagi dan sebagainya. Anda juga boleh cari bijirin yang menjadikan psyllium sebagai bahan utama.

Sasaran : 1-2 sudu teh sehari berserta pengambilan air yang mencukupi.

6) Probiotik
Usus memerlukan tindakan probiotik dari bakteria dan prebiotik iaitu serat untuk menjalankan proses pencernaan, penyerapan, dan perkumuhan secara efisien. Kita boleh mendapati sumber probiotik dari makanan harian terutamanya dari makanan yang ditapai seperti tempeh, yogurt, makanan beryis dan minuman probiotik.

Sasaran: 1 hidangan makanan atau minuman kaya dengan probiotik sehari. Mungkin boleh amalkan minuman probiotik sekali sehari tetapi selalunya ia tinggi gula, jadi pastikan pilih yang kurang gula.

7) supplemen jika perlu

Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang selalunya mencukupi untuk mengatasi pelbagai masalah kesihatan tetapi saranan pengambilan supplemen mungkin membantu individu tertentu. Antara supplemen yang disarankan ialah:
a) magnesium
Magnesium adalah nutrien yang bersifat laksatif. Jika anda liat untuk mengambil kekacang, biji-bijian atau sayur berdaun hijau gelap, supplemen magnesium mungkin boleh membantu.
Dos: 150-300mg dua kali sehari.

b) serat
Jika anda tidak mencapai pengambilan serat dari makanan seperti yang disarankan, supplemen serat berasaskan psyllium akan membantu anda mencapai sasaran pengambilan serat harian.
Dos: mulakan dengan sesudu teh supplemen bersama dengan 300ml air sehari. Tingkatkan dos mengikut saranan label makanan.

HADKAN!

1) pengambilan susu lembu atau produk tenusu secara berlebihan.
Kekadang alahan pada protein susu akan menyebabkan sembelit. Kajian menunjukkan, 68% dari subjek kanak-kanak yang mengalami sembelit kronik sembuh apabila pengambilan susu lembu ditukar kepada susu soya. Jadi, jika anda sudah mengambil serat dan air yang cukup tetapi masih sembelit, cuba kurangkan pengambilan susu atau tenusu selama 2 minggu bagi mengenalpasti perbezaan. Tetapi, pastikan anda mengambil makanan sumber kalsium secukupnya dalam tempoh ini.

2) pengambilan protein berlebihan
Diet tinggi protein terutamanya daging merah boleh menyumbang masalah sembelit. Anda hanya perlu 65-100g sehidangan 3-4 kali seminggu. Sekurang-kurangnya sekali seminggu cuba makan makanan vegetarian, anda mungkin mampu mengubah masalah kekurangan serat dan sembelit.

3) Roti putih, nasi putih dan pasta putih
Putih..putih... Bermaksud yang sudah ditapis,diproses dan seratnya dibuang. Jadi, jika anda sememangnya hanya mampu telan nasi putih, pastikan anda mengambil sayuran dan buahan secukupnya. Roti mil penuh juga menyelerakan jika hendak dibandingkan dengan roti putih. Jangan lupa mengambil kekacang, biji-bijian yang sememangnya kaya dengan serat.

4) alkohol
Bagi peminum arak, (haram bagi muslim untuk meminum arak), alkohol akan memperlahankan pergerakan otot usus dan ia juga bersifat diuretik. Jadi anda memerlukan lebih air.

8 comments:

  1. Kenapa minum susu tak bagus ye, i.e boleh sebabkan sembelit? Saya baru je cuba minum susu Anlene+Vico sebab saya accident dan patah tulang paha jadi minum untuk tambah kalsium.

    ReplyDelete
  2. bukan susu tak bagus.. tapi pengambilan berlebihan akan menyebabkan masalah sembelit bergantung kepada individu. untuk dewasa 2-3 hidangan susu dan produk tenusu sudah mencukupi yakni segelas susu,sekeping keju, dan 2 scoop ais krim.

    susu mengandungi opiod peptide iaitu bahan yang sukar untuk dicerna oleh individu dewasa dan bahan ini melambatkan pergerakan usus. Jadi sembelit mudah terjadi. Tapi tidak semua orang memberi respons yang sama pada bahan ni.

    boleh terus minum susu untuk keperluan kalsium dan dalam masa yang sama ambil sumber kalsium dari bijirin penuh, biji-bijian dan kekacang.
    sumber selain dari susu, tidak hanya mengandungi kalsium tapi serat yang diperlukan untuk mencegah sembelit.

    memandangkan cik/puan mengalami patah tulang dan menyukarkan pergerakan, sembelit mungkin terjadi kerana kurang pergerakan. jadi disarankan untuk mengambil makanan secara seimbang bagi mencegah n merawat dalam masa yang sama.

    Boleh baca info sembelit pada link ini :
    http://digestive.niddk.nih.gov/ddiseases/pubs/constipation/

    harap membantu.

    ReplyDelete
  3. Encik dan Puan Dietitian,
    Nak tanya lagi:
    1) Boleh ke saya buat Anlene campur dengan kopi. 3 sudu besar Anlene, 1 sudu gula, 1 tablespoon Indocafe serbuk. Adakah akan mengurangkan khasiat susu tersebut?
    2) Minta pandangan anda mengenai diet cara HerbaLife, iaitu perbanyakkan protein, dan skip meals dengan minum minuman HerbaLife tersebut. Boleh ke macam tu? Sebab saya ingat nak beli, dah gemuk ni...
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. salam...boleh cube produk organik MELILEA....

    ReplyDelete
  5. best entry nih. terima kasih atas info tersebut.

    ReplyDelete
  6. Encik dan Puan Dietitian,

    saya nak tau, adakah susu penyebab sembelit ? sebab saya jenis yg mengamalkn minum susu rendah lemak setiap hari sbgai sarapan atau minum malam. pada mulanya saya dapati, bila minum sgelas susu sblum tidur, pada esok harinya saya senang utk buang air besr. sebab itu saya amalkn. selepas lebih kurang 3 buln saya amalkn, sekarang ni jadi lain pulak. saya susah nk buang air. saya minum air putih cukup 2-3 liter sehari. saya mkn sayur2an. cuma buah2an tu jarang di ambil . jd saya masih tertanya2 apakah punca sebenr mslh sembelit saya ni. sampai 1 tahap, saya terpakse makan pil utk melancarkan pembuanagn air. harap dapat bantu utk beri cadagan atau pandagan. TQ

    ReplyDelete
  7. entri yang bagus

    www.rahsiaummi.com

    ReplyDelete

  8. Artikel yang menarik mengenai kebaikan probiotik. Memang probiotik dapat memstabilkan koloni bakteria sihat di dalam usus dan membantu untuk melancarkan penghadaman. Selain itu, probiotik juga boleh menguatkan sistem imunisasi seseorang terhadap jangkitan kuman seperti demam selsema.

    ReplyDelete