Sunday, 18 September 2011

Ibu & Bayi: Air berkarbonat & Kopi

Soalan:
salam dietitian ku, ada 2 soalan yg sy nak tanya berkaitan dengan pemakanan ibu mengandung:) 1.Adakah boleh mengambil minuman bergas semasa mengandung? Jika ibu mengandung mengambil minuman bergas, adakah ia akan mengganggu tumbesaran bayi? 2. Boleh x seorang wanita hamil mengambil minuman kopi dalam menu sehari2? misalnya segelas sehari? Adakah ia akan mengganggu pengambilan /uptake nutrien lain yg di perlukan oleh bayi dalam kandungan? Adakah konsentrasi kafein mempunyai kesan langsung kepada minda bayi? Thanks ya:)~Pn. Sharifah Asma

Jawapan:
 Waalaikumsalam Puan Asma. Terima kasih kerana sudi mengutarakan persoalan diatas. Tahniah kerana bakal menjadi ibu dalam masa beberapa bulan lagi dan tahniah juga kerana menjadi wanita yang prihatin dengan kesihatan diri dan bayi yang bakal lahir..insyaAllah!
Saya ringkaskan soalan Puan, iaitu mengenai air berkarbonat dan kopi serta perkaitan pengambilan dengan kesihatan ibu dan bayi. Dan berapa banyak pengambilan yang dibolehkan untuk ibu hamil.
Kebanyakan minuman berkarbonat dan kopi mengandungi kafein, sejenis stimulan. Pada kadar yang rendah, kafein tidak akan membahayakan ibu mahupun bayi dalam kandungan. Tetapi, kandungan kafein yang berlebihan didalam darah mampu membahayakan ibu bahkan bayi dalam kandungan. Seperti yang telah saya nyatakan didalam post sebelum ini, ibu mengandung disarankan mengehadkan pengambilan kafein tidak lebih dari 200mg sehari. Kajian terbitan American Journal of Obstetric & Gynecology, Febuari 2008, pakar epidemiologi dari Kaiser Permanente Division of Research di California mengatakan bahawa wanita yang mengambil kafein lebih dari 200mg (bersamaan dengan 12 oz kopi atai 30 oz teh), berisiko dua kali ganda lebih tinggi untuk mengalami keguguran. Pakar percaya risiko individu mungkin perlu diambil kira. Jika anda mempunyai risiko keguguran atau kelahiran pramatang yang tinggi, atau jika anda terdedah kepada faktor penyebaba keguguran, adalah langkah bijak untuk mengelakkan pengambilan kafein atau sekurang-kurangnya mengehadkan pengambilan berdasarkan kajian terkini. Dalam masa yang sama, jika anda masih muda dan sihat serta tidak berisiko tinggi, anda mungkin selamat walaupun mengambil sedikit lebih dari saranan.
Kafein bertindak sebagai agen diuretik dan menyebabkan badan kita kehilangan air serta vitamin yang penting seperti kalsium. Sangat penting untuk badan kita sentiasa terhidrat bagi memastikan fungsi organ berjalan dengan lancar terutamanya semasa mengandung. Selain itu, pengambilan kafein yang berlebihan juga menghalang kita dari mendapat tidur yang berkualiti. Terdapat juga kajian yang mengatakan pengambilan kafein yang berlebihan akan meningkatkan risiko keguguran.
Selain memberi kesan dehidrasi terutama apabila ibu tidak meminum air secukupnya, kehilangan vitamin penting seperti kalsium juga memberi masalah kepada ibu dan bayi. Ini kerana, kalsium sangat diperlukan bagi memenuhi keperluan pembinaan tulang dan mengekalkan ketumpatan tulang untuk ibu. Kekurangan kalsium akan meningkatkan risiko osteoporosis untuk ibu hamil.
Kebanyakan air berkarbonat juga mengandungi perisa tiruan, pewarna makanan tiruan dan bahan tambahan seperti pengemulsi dan pengawet, yang mana tidak sesuai untuk diambil oleh ibu hamil.

Ramai orang yang menggemarkan air berkarbonat akan minum minuman ini dalam kuantiti yang banyak kerana ia selalu dihidang sejuk serta manis. Ini akan menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan tanpa nutrien yang sihat. Pengambilan yang berterusan akan mengakibatkan kenaikan berat badan secara berlebihan semasa hamil. Ini kerana, air berkarbonat mengandungi kandungan gula dan seterunya kalori yang tinggi. Lebihan berat badan semasa mengandung akan menyukarkan penurunan berat badan selepas bersalin.
Masalah lain untuk pengambilan air berkarbonat ialah angin atau kembung terutamanya dalam trimester pertama. Ini akan menggalakkan simptom loya dan pedih ulu hati.  Kafein dalam kopi dan air berkarbonat secara semulajadinya bersifat asid hasil dari reaksi bahan kimia yang digunakan, jadi ini juga menjadi faktor penggalak pedih ulu hati terutamanya dalam trimester kedua dan ketiga.
Terdapat bukti yang mengatakan pengambilan kafein akan memberi kesan terhadap tumbesaran bayi semasa hamil. Kafein secara semulajadi terkandung dalam teh, kopi dan coklat serta air berkarbonat. Jadi semasa hamil, hadkan pengambilan kafein dengan mengambil lebih dari 6 cawan kopi atau teh setiap hari.
Elakkan meminum teh bersama hidangan utama. Terdapat bahan bernama tannin didalam teh yang mampu menghalang proses penyerapan zat besi dari makanan. Hadkan air berkarbonat, minuman berperisa, kordial dan minuman diet kerana ia rendah nutrien tetapi tinggi kalori. Minuman tenaga juga tidak disarankan kerana mengandungi kafein yang sangat tinggi serta bahan-bahan lain yang tidak sesuai untuk ibu mengandung.
sebaik-baiknya, ibu hamil perlu memastikan pengambilan air sekurang-kurangnya 9 cawan air setiap hari. Pengambilan air mungkin meningkat jika cuaca panas, selepas beraktiviti, muntah atau sembelit. Jadikan rasa dahaga sebagai garis panduan. Pilih minuman berkalsium seperti susu rendah lemak dan susu soya yang diperkaya dengan kalsium.

1 comment:

  1. saya kalau preggy memang tinggalkan minuman bikarbonat ni.. nenag tak ambil sedikit pun ...

    ReplyDelete