Tuesday, 6 September 2011

Turun berat badan Secara sihat dengan Diet rendah Karbohidrat?

Soalan:
Betul ke diet rendah karbohidrat mampu membantu penurunan berat badan yang sihat? Saya selalu dengar wanita yang menurunkan berat badan dengan mengurangkan atau menolak terus pengambilan nasi tetapi makan makanan berprotein tinggi seperti ayam, ikan, telur dan daging.

Jawapan:
Terdapat banyak cara untuk mengurangkan berat badan dan selalunya kaum wanita lebih gemar mengambil testimoni rakan-rakan mereka untuk mengurangkan berat badan. Adalah disarankan untuk mengambil langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah berat badan dan bertanyakan pakar supaya tidak tersalah langkah. Terlebih dahulu, kita hendaklah mengenali serba sedikit diet rendah karbohidrat. Diet rendah karbohidrat berkait rapat dengan diet tinggi protein, yakni pengurangan ambilan kalori dari sumber karbohidrat seperti nasi, mee, ubi-ubian dan sebagainya, diikuti dengan peningkatan ambilan kalori dari sumber protein seperti ikan, ayam, daging, telur dan sebagainya.
Kesan jangka masa panjang diet sebegini masih belum diketahui. Tetapi mengambil makanan tinggi protein sebagai sumber utama kalori harian adalah rancangan pemakanan yang tidak seimbang. Anda mungkin akan berkecenderungan mengambil makanan yang berlemak dan berkolestrol tinggi, yang akan meningkatkan risiko penyakit jantung. Selain itu, diet sebegini juga akan menyebabkan anda mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh dalam kuantiti yang sedikit, yang seterusnya akan menyebabkan sembelit akibat kekurangan serat.
Dengan mengikuti diet rendah karbohidrat/tinggi protein juga akan menyebabkan anda merasa loya, penat dan lemah. Pengambilan makanan berkarbohidrat kurang dari 130g sehari, akan membawa kepada penghasilan ketone (hasil sampingan penguraian lemak) di dalam darah. Penghasilan ketone dalam darah dipanggil Ketosis, yang akan menyebabkan badan kita menghasilkan paras asid urik yang tinggi. Asid urik adalah antara faktor risiko untuk penyakit gout dan masalah buah pinggang.

Pengamalan diet sebegini selalunya rendah kalori kerana kurang kepelbagaian makanan, jadi ia mungkin membenarkan penurunan berat badan dalam jangka masa pendek. Tetapi amalan diet rendah kalori yang seimbang dengan amaun karbohidrat, protein dan lemak yang disarankan juga membantu anda mengurangkan berat badan. Dengan diet rendah kalori yang seimbang, anda masih boleh menikmati kesemua kelas makanan terutamanya bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran. Ini juga akan memastikan anda mendapat nutrien utama yang diperlukan disamping menyenangkan pengurusan diet anda.

Nota: Sebarang cara berdiet secara ekstrem akan memberi kesan sampingan dan mungkin akan membawa kepada kematian. Saya menyarankan kepada individu yang ingin mengikuti sebarang diet untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu. Selain itu, individu yang menghidapi masalah kegagalan buah pinggang dinasihatkan supaya tidak mengamalkan diet rendah karbohidrat dan tinggi protein. Ini kerana pengambilan protein yang tinggi akan menambahkan beban kepada buah pinggang yang sedia ada gagal.

No comments:

Post a Comment