Anda tahu kenapa kita perlu bersenam?
Setiap individu perlu sihat mental dan fizikal untuk mencapai kehidupan yang berkualiti dan bahagia. Parameter kualiti hidup bukan terletak kepada berapa banyak duit di bank tetapi berapa banyak yang kita boleh menyumbang kepada diri,keluarga dan orang lain. Untuk terus menyumbang, kesihatan fizikal dan mental harus diutamakan!
Aspek penjagaan kesihatan bukan hanya terletak kepada penjagaan makanan semata-mata, tatpi juga aktiviti fizikal. Dalam artikel kali ini, kita akan bincangkan alasan tersirat kenapa kita perlu bersenam. Semoga menjadi titik-tolak perubahan gaya hidup kita!
1) Menguatkan jantung kita.
Jantung adalah organ penting dalam tubuh kita. Fungsi utama jantung ialah untuk mengepam darah ke seluruh sistem kardiovaskular kita. Senaman kardiovaskular membantu dalam melancarkan aliran darah ke seluruh sistem. Ia merangsang jantung kita untuk mengepam lebih kuat dan lebih banyak darah, seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung. Kelancaran perjalanan darah juga mengurangkan risiko penyakit darah tinggi. Darah yang mengalir membawa oksigen yang diperlukan dari paru-paru dan juga nutrien ke seluruh badan. Ini adalah alasan kukuh kenapa kita rasa segar dan bertenaga selepas bersenam. Selain itu, bersenam juga meningkatkan HDL kolestrol yakni kolestrol baik dan menurunkan LDL kolestrol yakni musuh ketat bagi penyakit jantung.
2) Membantu pengawalan berat badan
Setiap orang memerlukan badan yang sihat, betul? Badan yang sihat bukan hanya berdasarkan penampilan luaran tetapi juga kita dapat rasa badan kita sihat dan kuat! Setiap individu mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk bertambah berat badan jika tidak aktif secara fizikal dan apabila semakin berumur. Tubuh kita hanya perlukan kalori tertentu sahaja untuk berfungsi dengan baik. Lemak akan berkumpul jika kita mengambil lebih banyak kalori dari yang diperlukan. Jadi, rutin senaman diperlukan untuk membakar lebihan kalori supaya ia tidak disimpan sebagai lemak dan seterusnya menambah berat badan. Kehilangan lebihan lemak dari badan akan menjadikan kita lebih sihat dan kelihatan bertenaga.
3) Menguatkan tulang dan otot
Semakin bertambah usia, semakin tinggi kebarangkalian jisim dan ketumpatan tulang kita berkurang. Ini mengakibatkan penyakit lemah tulang seperti osteoporosis. Senaman seperti angkat berat dan senaman resistan lain yang menggunakan otot dikatakan mampu menguatkan otot, mengekalkan meskipun tidak meningkatkan ketumpatan tulang. Jadi, penting untuk bersenam bagi membantu menguatkan tulang dan otot.
4) Meningkatkan kualiti tidur pada waktu malam
Siapa yang mahu membazir masa tidur dengan melihat empat penjuru bilik tidur atau mengira kambing-kambing sehingga pagi? Kesukaran untuk tidur akan menyebabkan stress dan kecelaruan pada siang hari. Kajian menunjukkan, senaman yang sederhana sekurang-kurangnya 3 jam sebelum tidur membantu kita untuk tidur dengan lebih nyenyak dan berkualiti bagi individu yang mengalami kesukaran untuk tidur. Siapa yang tidak suka tidur? Jadi mula bersenam sekarang dan nikmati 8 jam waktu tidur!
5) Membina mood yang lebih baik.
Siapa yang tidak mahukan mood yang lebih baik? Dengan mood yang baik kita mampu membuat apa sahaja kita mahu dengan hati yang senang. Senaman yang teratur mampu mengaktifkan neurotransmitter (bahan kimia yang digunakan oleh sel saraf untuk berhubung antara satu sama lain) yang mengelakkan kemurungan. Keseimbangan bahan ini membantu mengelakkan kemurungan dan respon secara aktif terhadap aktiviti harian. Dengan kata lain, senaman bersifat seperti ubat anti-kemurungan.
6) Mengurangkan risiko kencing manis.
Otot yang aktif akan lebih mudah untuk menerima insulin. Lebihan lemak dalam badan mengurangkan sensitiviti insulin (hormon yang diperlukan untuk metabolisma glukosa darah). Jadi, individu yang gemar bersenam mempunyai kebarangkalian yang rendah untuk menghidapi penyakit kencing manis.
7) Memerangi kanser
kanser payudara, kolon, endometrial dan ovari mungkin antara yang terkesan dengan senaman. Ada kajian mencadangkan, 4-7 jam senaman sederhana ke senaman yang lebih agresif mampu mengurangkan risiko kanser. Tiga kajian menyatakan jika anda menghidap kanser payudara atau kolon, senaman akan mengurangkan risiko penyakit untuk kembali.
No comments:
Post a Comment