Sunday, 9 September 2012

Pemakanan menurut perspektif islam: Bayi 0-6 bulan

Penjagaan pemakanan bayi merupakan salah satu tanggungjawab penting ibu bapa atau penjaga. Kesihatan atau penyakit, kecantikan atau keburukan, bahkan perangai buruk atau baik, serta kebijaksanaan anak-anak, kesemuanya berkait-rapat dengan pemakanan harian mereka.
Pemakanan bukan hanya terletak pada fizikal makanan (jenis, rupa bentuk, kuantiti dan sebagainya) tetapi juga pada ‘roh’ makanan tersebut. Roh disini merujuk kepada halal atau haram makanan tersebut, cara penyediaan, akhlak semasa makan makanan tersebut serta aspek kerohanian yang lain.
Bayi mempunyai corak pemakanan yang berbeza jika hendak dibandingkan dengan individu yang lebih dewasa. Bermula dari aspek keperluan, cara penyediaan serta langkah pemberian makanan tersebut, justeru ibu bapa dan penjaga perlu mengambil tahu keperluan bayi mereka.

Amalan bertahnik

Sejurus selepas kelahiran dan seeloknya sebelum penyusuan pertama, adalah sunat untuk kita menyapukan cebisan kecil kurma yang dilembutkan ke lelangit bayi. Selalunya, ibu bapa atau orang-orang soleh akan melaksanakan amalan ini. Tahnik atau belah mulut afdal dilaksanakan dengan buah kurma. Jika tiada, boleh menggunakan kurma muda atau makanan yang manis seperti madu.

Amalan tahnik dipraktikkan berdasarkan amalan Rasulullah yang mentahnikkan Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan dengan cara mengunyah dan mengeluarkan semula kurma tersebut untuk diletakkan ke mulut bayi (HR Muslim).



Tujuan bertahnik selain dari mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w adalah untuk melatih bayi untuk makan dan menguatkannya (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390). Secara fitrahnya, bayi dilahirkan dengan deria rasa yang sensitif terhadap rasa masam dan manis, jadi pemberian manisan akan merangsang deria rasa bayi serta penghasilan air liur bagi membantu penghadaman sebelum bermulanya penyusuan pertama.

Selain itu, terdapat kajian yang menunjukkan pemberian manisan akan memberi kesan analgesik atau tahan sakit kepada bayi yang mengalami masalah sebagai contoh semasa kesakitan akibat prosedur pemeriksaan darah, suntikan vaksinasi dan sebagainya. Jadi, yang penting adalah rasa manis makanan tersebut bukanlah untuk mengenyangkan bayi.

Amalan penyusuan susu ibu

Penyusuan susu ibu mempunyai asas yang kukuh dalam islam. Kitab suci al-Quran menyarankan para ibu untuk menyusukan bayi sehingga umur 2 tahun jika mampu, dan juga menegaskan bahawa setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk disusui (ayat 2: 233). Juga diterangkan kepentingan untuk meneruskan persekitaran dalam rahim (iaitu nutrisi diperoleh melalui saluran darah ibu ke plasenta) dan persekitaran luar rahim (iaitu nutrisi melalui susu ibu) (ayat 46:15). Ini juga sejajar dengan saranan World Health Organization’s (WHO). Galakan penyusuan secara ekslusif sepanjang enam bulan pertama juga tidak boleh dipandang remeh. Penyusuan ekslusif bermaksud bayi menerima susu ibu semata-mata tanpa makanan tambahan, air kosong dan susu formula.

Penyusuan susu ibu mengandungi banyak kelebihan tersurat dan juga tersirat. Tidak dapat disangkalkan lagi, penyusuan susu ibu disertai dengan jalinan pengikat kasih sayang dan kerohanian diantara ibu dan bayi. Usah dibicarakan kelebihan susu ibu berbanding dengan susu formula, kebanyakan dari kita sedia tahu. Tetapi, tahukah para ibu, penyusuan susu ibu merupakan salah satu komponen utama dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Sirah membuktikan kepentingan susu ibu dari kisah Nabi Isa a.s, Nabi Musa a.s dan Rasulullah s.a.w.  Adalah penting untuk ibu untuk menjaga pemakanan bagi menjamin kesihatan bayi serta diri sendiri. Dan bapa selaku ketua keluarga, wajar menyediakan segala keperluan untuk si ibu (Ayat 2:233 dan 65:6). Ibu bapa tidak sekadar perlu melengkapkan persiapan fizikal seperti makanan, tempat tinggal dan alatan, tetapi juga persiapan mental dan rohani. Makanan yang dimakan si ibu perlulah dari sumber yang halal lagi baik, kerana setiap makanan akan menjadi darah daging dan juga menjadi sumber penghasilan susu.

Banyak amalan yang digalakkan seperti membaca bismillah dan doa sebelum penyusuan dan mengawal emosi semasa penyusuan. Jika diperhatikan, bayi sangat sensitif dengan perubahan emosi ibu semasa penyusuan. Jadi, seeloknya untuk si ibu sentiasa bersikap positif, mengawal tekanan, memanfaat masa bersama bayi untuk mengurangkan tekanan, sentiasa tersenyum dan berzikir sambil menatap wajah bayi. Tiada yang lebih bernilai bagi seorang anak, melainkan perhatian seorang ibu.

Selain itu, ibu yang menyusu secara terus perlulah menjaga adab dan kehormatan semasa menyusu. Penyusuan tidak boleh dijadikan alasan untuk mendedahkan bahagian tubuh yang haram untuk didedahkan, jadi ibu perlu bersiap sedia terutamanya dalam situasi yang tidak mesra menyusu seperti di hospital, unit rawatan rapi dan lain-lain. Sediakan tirai, selendang ataupun selimut yang mampu menutup aurat ibu semasa sesi penyusuan.

Terdapat ibu bapa yang hanya mengamalkan amalan baik semasa penyusuan tetapi kurang menjaga akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan seharian. Unsur kerohanian bukan sahaja semasa penyusuan, tetapi bayi juga memerlukan persekitaran yang membelai fitrah islam yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Jadi, bagi membentuk anak soleh wa musleh perlulah bermula dari amalan harian ibu bapa bukan sekadar waktu menyusu atau makan.

Bagaimana jika ibu tidak mampu menyusukan bayi atas sebab-sebab tertentu? Islam membolehkan bayi disusui oleh ibu susuan dengan syarat ibu dan bapa bersetuju (Ayat 2:233). Ini menunjukkan, islam menggalakkan susu manusia berbanding susu haiwan. Tetapi hendaklah dipastikan, ibu susuan adalah waras serta tidak terlibat dengan amalan tidak bermoral. Isu lain ialah anak kepada ibu susuan adalah haram untuk dinikahi oleh bayi yang disusui (Ayat 4:23).

No comments:

Post a Comment