Showing posts with label Ibu Dan Bayi. Show all posts
Showing posts with label Ibu Dan Bayi. Show all posts

Tuesday, 15 November 2011

Saranan Pemakanan Bayi (8-12 bulan)

Susu Ibu atau Formula perlu diberi 3-4 kali sehari untuk bayi berusia 8-10 bulan. Pada usia ini, bayi sudah bersedia untuk menerima daging yang dikisar halus. Bagi bayi yang menerima susu ibu, mulakan pemberian daging pada usia 8 bulan (susu ibu tidak mengandungi zat besi yang mencukupi, tetapi bayi mempunyai simpanan zat besi yang cukup hingga usia 8 bulan).
Cuba berikan hanya 1 jenis daging dalam semingggu, 3-4 sudu makan sehidangan. Gunakan daging yang dikisar halus. Manakala untuk pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula ditingkatkan ke 3-4 sudu makan, 4 kali sehari. Telur boleh diberikan 3-4 kali seminggu, tetapi hanya beri telur kuning sehingga bayi mencecah 1 tahun. Ini kerana bayi mungkin sensitif dengan telur putih.
Pada umur 1 tahun, kanak-kanak perlu belajar minum menggunakan cawan plastik atau 'sippy cup' dan berhenti menggunakan botol susu. Jika masih menggunakan botol, pastikan ia hanya mengandungi air kosong.

Saranan Pemakanan Bayi (6-8 Bulan)

Untuk bayi berusia 6-8 bulan, penerusan susu ibu adalah digalakkan atau susu formula 3-5 kali sehari. Susu lembu tidak disarankan untuk kanak-kanak berusia 1 tahun ke bawah (American Academy of Paediatrics).
Bayi akan mula minum sedikit susu apabila makanan pepejal mula diperkenalkan.
Setelah bayi sudah mula mencuba pelbagai jenis makanan bayi, cuba perkenalkan buah-buahan atau sayur-sayuran.

  • Untuk buah-buahan dan sayur-sayuran, perkenalkan 1 jenis pada satu masa dan tunggu dalam masa 2-3 hari untuk mengenalpasti reaksi alahan.
  • mulakan dengan sayur-sayuran seperti kacang pis, ubi kentang, lobak merah, ubi keledek, ubi bit, squash serta buah-buahan seperti pisang, epal, aprikot, pir, pic dan betik.
  • Pakar pemakanan ada menyarankan untuk memulakan dengan sayur-sayuran sebelum buah-buahan, kerana buah-buahan mempunyai rasa manis manakala sayur-sayuran sebaliknya.Jadi, bayi akan belajar makanan yang kurang manis terlebih dahulu.
  • Berikan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam 2-3 sudu makan (4 hidangan sehari).
Saiz hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah di antara 2 sudu makan hingga 2 cawan sehari bergantung kepada saiz badan dan penerimaan kanak-kanak. Konsistensi juga bergantung kepada penerimaan kanak-kanak dan seelok-eloknya dimulakan dari cair ke pepejal.
Makanan jejari boleh diberi dalam kuantiti yang sedikit, tetapi elakkan makanan seperti hirisan atau potongan epal, anggur, sosej, mentega kacang, popcorn, kekacang, bijian, gula-gula dan sayur keras. Makanan seperti ini mampu mengundang risiko tercekik.

Sayur-sayuran yang di masak sampai lembut, buah-buahan yang dibasuh dan dikupas, biskut rusk bayi, biskut beras bayi adalah contoh makanan jejari yang baik. Makanan bergaram atau bergula adalah tidak digalakkan.
Bayi pada usia ini juga gemar menggigit akibat kegatalan pada gusi semasa pertumbuhan gigi, jadi makanan jejari mampu melegakan kegatatalan gusi.

Saranan Pemakanan Bayi (0-6 bulan)

Dari kelahiran hingga usia 4 bulan

4-6 bulan pertama, bayi hanya memerlukan susu ibu atau susu formula yang bernutrisi lengkap. Bayi menyusu badan memerlukan penyusuan 8-12 kali sehari (setiap 2-4 jam) atau mengikut permintaan bayi. Pada usia 4 bulan, penyusuan mungkin akan berkurangan ke 4-6 kali sehari tetapi jumlah susu yang diterima akan bertambah di setiap sesi penyusuan.
Bayi yang menerima susu formula memerlukan penyusuan 6-8 kali sehari, 2-3 oz sekali untuk bayi baru lahir bagi mendapatkan 16-24 oz sehari. Seterusnya, jumlah susu perlu ditingkatkan ke 6-8 oz sehari.
Jangan beri madu kepada bayi kerana ia mungkin mengandungi spora pengakibat botulism. sistem pertahanan bayi masih belum matang untuk melawan penyakit ini.
walaupun bayi tidur sepanjang malam, bayi mungkin perlu dikejutkan untuk penyusuan jika bayi kekurangan berat badan dan tidak mendapat penyusuan maksima di waktu siang. 

Usia 4-6 bulan

Pada usia 4-6 bulan bayi memerlukan 28-45 oz susu formula, dan selalunya bayi pada usia ini sudah bersedia untuk menerima makanan pepejal. Tetapi pemberian makanan pepejal semasa bayi belum bersedia secara fizikal akan mendedahkan bayi kepada risiko tercekik. 
Terdapat beberapa tanda perkembangan yang menunjukkan bayi sudah bersedia untuk makan:
  •  Berat badan dua kali ganda berat lahir.
  • Bayi sudah mampu mengawal otot kepala dan leher.
  • Bayi boleh duduk tanpa bantuan.
  • Bayi sudah mula menunjukkan keengganan untuk makan seperti mengalihkan kepala atau menutup mulut.
  • Bayi menunjukkan minat terhadap makanan yang dimakan orang lain.
Mulakan pemberian makanan pepejal seperti bijirin nasi bayi diperkaya dengan zat besi yang dicampur dengan susu ibu atau formula. Makanan yang disediakan hendaklah cair dan semakin pekat bergantung kepada penerimaan bayi.
  •  Pada awalnya, berikan 1 atau 2 sudu makan bijirin (sukatan kering sebelum di campur dengan susu) 2 kali sehari.
  • Sukatan ditambah ke 3-4 sudu makan secara berperingkat-peringkat.
  • Bijirin tidak boleh diberi melalui botol kecuali atas nasihat doktor atau pakar pemakanan.
 Setelah bayi menerima bijirin nasi secara rutin, anda boleh cuba untuk memberi jenis bijirin diperkaya zat besi yang lain. Perkenalkan bijirin satu jenis seminggu bagi mengenalpasti reaksi alahan.

Wednesday, 19 October 2011

Ibu & Bayi: Kaitan Lemak trans dan saiz bayi


Lemak Trans ialah lemak yang dihasilkan dari proses penambahan hidrogen ke minyak tumbuhan yang dikenali sebagai proses hidrogenasi, yang menjadikan minyak tahan lebih lama. Penggunaan lemak trans dalam makanan terproses menjadikan makanan tahan lebih lama dan mengurangkan tekstur berminyak pada makanan.

Lemak trans menyebabkan peningkatan paras kolestrol darah yang lebih tinggi berbanding dengan lemak lain. Mungkin kerana penambahan hidrogen ke dalam minyak menjadikan minyak lebih sukar untuk dicerna dan membuatkan tubuh kita memproses lemak trans seperti mana lemak tepu.
Berbanding dengan lemak lain, lemak trans dianggap sebagai lemak yang paling teruk oleh pakar perubatan dan pemakanan. Tidak seperti lemak lain, lemak trans juga dikenali sebagai asid lemak trans meningkatkan paras kolestrol LDL (kolestrol Jahat) dan menurunkan paras kolestrol HDL(kolestrol Baik). Ini seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung, musuh utama lelaki mahupun wanita.
Dalam satu kajian yang melibatkan hampir 1400 wanita hamil, semakin banyak pengambilan lemak trans oleh wanita hamil semasa trimester kedua, semakin besar bayi yang dilahirkan. Maksud sebenar penemuan ini masih dikenalpasti dan ia tidak membuktikan lemak trans sebagai punca peningkatan saiz bayi, dan jika ia benar sekalipun, kita masih tidak dapat memastikan risiko bahaya yang berkaitan. Meskipun kesannya kurang jelas, yang pastinya ia masih dikaitkan dengan risiko penyakit.

Penyelidik merekodkan bahawa untuk setiap 1% kenaikan lemak trans bagi menggantikan karbohidrat dalam diet, menyebabkan sedikit peningkatan skor-Z bagi pertumbuhan bayi. Jadi seeloknya, ibu hamil perlu mengurangkan pengambilan lemak trans dalam diet seharian.
Produk terproses secara komersil seperti kraker, biskut dan kek serta makanan bergoreng seperti donut dan kentang goreng mempunyai kandungan lemak trans. Bahan mentega dan marjerin juga mempunyai lemak trans yang tinggi. Cara yang terbaik ialah untuk mengenalpasti kandungan lemak trans dalam label pemakanan. Pilih makanan yang tidak mempunyai lemak trans atau lemak trans kurang dari 0.5gram. Tetapi jika anda ambil makanan yang masih terdapat lemak trans yang rendah, anda mungkin mengambil lemak trans melebihi sepatutnya jika makan makanan tersebut dalam kuantiti yang banyak. Selain itu, pastikan tidak memilih makanan yang berlabel "partially hydrogenated" kerana ia adalah nama lain bagi lemak trans.

Ibu & Bayi : Asid Folik mencegah kelewatan pertuturan di kalangan kanak-kanak.

Bakal ibu yang dikasihi,
Sememangnya proses mengandung dan seterusnya bersalin bukan proses yang senang dan menyenangkan bagi sebahagian dari kita. Tetapi menjadi tanggungjawab kita dalam menjamin penerusan generasi akan datang, jadi kualiti penjagaan diri dan makhluk ciptaan Allah azzawajalla dalam perut kita perlu dititik beratkan sebagaimana sepatutnya. Berbanding dengan ibu-ibu generasi terdahulu, ibu-ibu generasi milenium mendapat akses maklumat yang lebih terperinci dan perkhidmatan perubatan dan pemakanan yang terkini. Salah satu elemen pemakanan sewaktu mengandung ialah pengambilan supplemen asid folik. Mungkin, sebahagian dari kita bersikap acuh tidak acuh dalam pengambilan supplemen. Tetapi, berdasarkan kajian terkini menyifatkan pengambilan asid folik dari diet harian sahaja tidak mencukupi. Asid folik bukan sahaja mencegah penyakit saraf seperti spina bifida tetapi juga memainkan peranan dalam perkembangan keupayaan bertutur kanak-kanak.

Supplemen Asid Folik yang diambil ibu mengandung dari 4 minggu sebelum kehamilan ke 8 minggu selepas kehamilan berkait secara signifikan dengan penurunan prevalens kelewatan pertuturan yang teruk dikalangan kanak-kanak. (Berdasarkan kajian yang diterbitkan pada isu Oktober 12, JAMA).


"Kelewatan pertuturan yang teruk berkait rapat dengan pelbagai gangguan neuropsychiatric kanak-kanak, seperti autisma, juga berkait dengan kesukaran membaca dan menulis", Ketua Pengarang Christine Roth, ClinPsyD, dari Norwegian Institute of Public Health di Oslo.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan asid folik sebelum kehamilan mengurangkan risiko kecacatan tiub neural, tetapi tiada kajian yang melaksanakan pemerhatian tentang perkaitan supplemen dengan kesan keatas perkembangan saraf yang hanya boleh diperhatikan selepas melahirkan bayi.
Analisis melibatkan 19,956 kanak-kanak lelaki dan 18,998 kanak-kanak perempuan. Penyelidik mendapati bahawa 0.5% (204 kanak-kanak) mengalami masalah kelewatan pertuturan (penggunaan bahasa yang terhad, hanya 1 patah perkataan atau perkataan yang tidak difahami). Dari 9052 kanak-kanak yang ibunya tidak mengambil supplemen asid folik, dilaporkan 81 kanak-kanak (0.9%) mengalami masalah pertuturan yang teruk. Tetapi dari 7127 kanak-kanak yang ibunya mengambil supplemen asid folik, hanya 28 kanak-kanak (0.4%) mengalami masalah pertuturan.


Saranan pengambilan 0.4mg supplemen asid folik setiap hari sebulan sebelum hamil dan diteruskan pengambilan pada bulan ke-2 dan ke-3 kehamilan perlulah dititikberatkan. Meskipun begitu, penyelidik tetap menyarankan kajian selanjutnya dilaksanakan bagi memastikan lebih banyak kajian yang akan membantu dalam membina polisi pemakanan semasa kehamilan.
Sementara Supplemen asid folik menjadi sumber pemakanan penting semasa mengandung, jangan dilupakan tentang kepentingan pemakanan yang seimbang dan lengkap dari diet seharian. Tingkatkan pengambilan asid folik dari diet seharian dengan pemilihan makanan yang kaya dengan asid folik seperti sayuran berdaun (bayam,brokoli dan kubis), okra, asparagus, buah-buahan (pisang, tembikai dan lemon), kekacang, yis, cendawan, daging, jus oren dan tomato. Terdapat juga makanan dipasaran yang diperkaya dengan asid folik seperti roti, susu, bijirin dan sebagainya.

Tuesday, 27 September 2011

Ibu & Bayi : Makanan yang perlu dielakkan semasa mengandung

Soalan:
Apakah makanan yang menyebabkan risiko keguguran atau mungkin membawa kesan buruk ke atas ibu mengandung dan bayi? Ada orang mengatakan daging kambing bersifat panas, nenas bersifat tajam dan banyak lagi contoh lain yang membawa kepada keguguran bayi dalam kandungan.

Jawapan:
Soalan ini diperolehi berdasarkan pertemuan saya dengan beberapa orang pesakit wanita yang mengandung. Sememangnya terdapat banyak kepercayaan atau mitos diet berkaitan pemakanan semasa mengandung tidak kira dalam etnik mana sekalipun. Tetapi, memandangkan bukti kajian yang masih terhad maka secara rasionalnya, kita akan mengambilkira makanan yang telah terbukti boleh membawa kesan seperti yang telah dinyatakan.
Dibawah adalah contoh beberapa makanan yang boleh menyebabkan kesan negatif terhadap ibu dan kandungan :

  • Daging mentah : Makanan laut yang tidak dimasak atau daging lembu/ayam yang tidak dimasak sepenuhnya perlu dielak bagi mengelakkan risiko pencemaran seperti bakteria Coliform, toxoplasmosis dan Salmonella. Tambahan pula, ibu mengandung berisiko tinggi mendapat keracunan makanan akibat penurunan daya tahan imun semasa hamil. Mungkin tidak menjadi kebiasaan rakyat Malaysia untuk mengambil makanan mentah tetapi risiko tetap ada memandangkan asimilasi budaya pemakanan seperti  makanan barat atau mungkin Sushi dari Jepun.
  • Daging Deli : Daging Deli seperti ham, ayam turki, salami dan bologna atau hotdog juga perlu dielakkan kecuali jika daging ini di masak sepenuhnya. Daging seperti ini mampu menyebabkan keracunan makanan dinamakan listeriosis. Listeriosis berpunca dari sejenis bakteria dipanggil Listeria monocytogenes. Pemanasan sewaktu memasak boleh membunuh bakteria ini. Kebanyakan orang tidak mengalami apa-apa masalah apabila termakan makanan yang tercemar dengan listeria. Tetapi, ia berbeza bagi ibu mengandung yang 20 kali lebih berisiko dan membawa kepada penyakit berbahaya. Dan bayi dalam kandungan mendapat kesan jangkitan yang lebih teruk berbanding ibu iaitu risiko keguguran, kelahiran pramatang atau kematian.

  • Ikan bermerkuri tinggi : Ikan yang mempunyai kandungan merkuri yang tinggi berkait rapat dengan kelewatan perkembangan dan kerosakan otak. Contoh ikan bermerkuri tinggi ialah ikan yu, ikan todak, ikan kembung raja. Semakin tinggi kedudukan ikan dalam rantai makanan semakin banyak kandungan merkuri yang terdapat dalam ikan tersebut. 
  • Ikan yang terdedah dengan pencemaran industri : Elakkan ikan yang ditangkap dari tasik atau sungai tercemar dengan polychlorinated biphenyls yang tinggi. 
  • Kerang-kerangan mentah : Majoriti kes bawaan makanan laut adalah berpunca dari kerang-kerangan mentah seperti kerang, tiram, dan kepah. Proses memasak mungkin membantu dalam nyah-bakteria tetapi bukan jangkitan berkaitan alga.

  • Telur Mentah : Telur mentah atau makanan yang mengandungi telur mentah mungkin mengandungi bakteria salmonella. Bakteria ini juga mampu menyebabkan keracunan makanan yang teruk. 
  • Keju Lembut : Keju lembut yang diimport mungkin mengandungi Listeria. Listeria mampu menyeberangi uri, menjangkiti bayi dalam kandungan dan seterusnya membawa kepada jangkitan atau keracunan makanan yang boleh membawa maut.Elakkan pengambilan keju seperti Brie, Camembert, Roquefort, Feta, Gorgonzola dan sebagainya.
  • Susu yang tidak dipasteur : Susu sebegini juga mungkin mempunyai Listeria. Pastikan susu yang diminum ialah susu yang dipasteur.
  • Kafein : Elakkan kafein terutamanya di awal trimester untuk mengelakkan kebarangkalian keguguran. Secara amnya, pengambilan kafein dihadkan ke 200mg sehari semasa mengandung. Terdapat kajian mengatakan pengambilan kafein berlebihan mampu menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir yang rendah dan sebagainya. Langkah terbaik ialah mengelakkan pengambilan kafein semasa mengandung.
  • Alkohol : Tiada amaun alkohol yang selamat semasa mengandung, jadi pengambilannya seharusnya dielakkan semasa mengandung. Pendedahan alkohol prenatal boleh mengganggu perkembangan sihat bayi. Fetal Alcohol Syndrom atau gangguan tumbesaran yang lain boleh berlaku bergantung kepada amaun, masa dan cara pengambilan. 

  • Sayur yang tidak dibasuh : Pastikan ibu membasuh sayur yang hendak dimakan dengan sempurna bagi mengelakkan risiko toxoplasmosis. Toxoplasmosis mungkin mencemarkan tanah dimana sayur ditanam.
Memandangkan tiada lagi kajian yang membuktikan nenas dan daging kambing menyebabkan keguguran, ibu-ibu berhak untuk memilih samada untuk mengambil makanan yang dikhuatiri atau pun tidak. Daging kambing boleh membahayakan ibu mengandung jika tercemar dengan bakteria seperti Listeria ataupun Salmonella. Daging kambing seperti daging lain (ayam, lembu, kerbau dan sebagainya) akan mengalami proses pencernaan yang sama melibatkan penguraian protein, lemak dan lain-lain. Bagi nenas pula, buah-buahan disarankan untuk ibu mengandung kerana kandungan vitamin dan mineral yang tinggi. Jika ibu-ibu was-was untuk makan nenas, pilihlah buah-buahan yang lain. Tuhan menciptakan kita pelbagai jenis haiwan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, jadi jangan risau!. Jika takut untuk makan daging kambing dan nenas, makan daging ayam dan tembikai!.

Selamat meneroka kepelbagaian makanan! 

Sunday, 18 September 2011

Ibu & Bayi: Kehamilan dan Berat badan

Ramai ibu dan bakal ibu prihatin tentang kenaikan berat badan semasa mengandung. Ia adalah lumrah ibu hamil untuk mengalami kenaikan berat badan, jadi usah risau kerana itu adalah petanda bayi dalam kandungan sedang membesar. Meskipun begitu, anda harus mengetahui kadar kenaikan yang dibenarkan supaya ibu dan bayi sihat. Semasa hamil, tidak kurang juga wanita yang menganggap diet semasa hamil adalah diet untuk dua individu iaitu ibu dan bayi (eat for two). Ia adalah benar, anda makan untuk dua individu tetapi bukan dua individu dewasa! Secara amnya, ibu hamil hanya memerlukan 100-300 kalori tambahan bagi memenuhi keperluan tumbesaran bayi.

Jadual dibawah adalah cadangan penambahan berat badan ibu sepanjang tempoh kehamilan :
 Kenaikan berat badan semasa hamil adalah hasil dari pertambahan berat bayi, plasenta atau uri, bendalir amnion, tisu payudara, isipadu darah, cecair insterstitial dan lemak simpanan ibu. Lemak simpanan diperlukan bagi persediaan ibu untuk penyusuan bayi selepas bersalin.

Dibawah ialah rumus berat badan ideal ibu hamil:
BBIH = BBI + (UH x ).35)
Dimana,
BBIH = Berat badan ideal ibu hamil yang akan di cari
BBI = Berat badan ideal sebelum hamil
UH = Usia kehamilan dalam minggu
0.35 = Tambahan berat badan Kg per minggu (0.35 Kg)

Adakah selamat untuk ibu hamil kehilangan berat badan?
Beberapa kes di mana ibu hamil mempunyai berat badan yang berlebihan, Anda mungkin tidak memerlukan tambahan kalori dalam diet, dan mungkin selamat untuk anda turun sedikit berat badan semasa mengandung. Ini mungkin berlaku apabila anda mula mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang serta mengurangkan pengambilan makanan ringan.
Terdapat kajian diterbitkan di Journal Obstetrics and Gynecology pada 2007 menunjukkan bahawa wanita overweight yang mengalami pertambahan berat badan kurang dari saranan 6kg semasa hamil, mempunyai hasil kehamilan yang lebih baik, penurunan risiko darah tinggi semasa hamil, pembedahan caeserean dan saiz bayi yang abnormal (besar atau kecil). Walaubagaimanapun, anda disarankan untuk meminta nasihat dari pakar perubatan sebelum mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan semasa hamil.

Macamana nak tambah berat semasa hamil?
Jika penasihat perubatan menyarankan anda untuk menaikkan lebih berat badan, disini saya cadangkan:
  • Makan lebih kerap!. Makan 5-6 hidangan kecil dan kerap setiap hari.
  • Sentiasa bawa snek yang cepat dan mudah seperti kekacang, kismis, keju dan biskut, buah-buahan kering atau segar, yogurt serta ais krim.
  • Sapukan marjerin lembut atau mentega kacang pada roti, biskut dan lain-lain. 1 sudu makan mentega kacang mampu membekalkan 100 kalori dan 7g protein.
  • Tambahkan susu tepung/segar rendah lemak ke dalam kentang putar, telur dan bijirin pagi.
  • Tambah kondimen ke dalam hidangan seperti mentega/marjerin, krim keju, krim masam dan keju.
Kalau terlebih kenaikan berat badan?
Jika anda telah mengalami kenaikan berat badan melebihi saranan, berbincanglah dengan penasihat kesihatan anda. Selalunya, anda tidak disarankan untuk menurunkan berat badan semasa hamil.
Pastikan anda mengambil makanan yang pelbagai supaya dapat memenuhi keperluan nutrien anda dan bayi anda. Di bawah adalah saranan untuk melambatkan kenaikan berat badan:
  • Pilih makanan rendah lemak ketika makan di luar atau restoran, Pilih makanan yang dipanggang, direbus, stim atau bersup (kurang menggunakan minyak). Elakkan makanan bergoreng seperti kentang goreng, ayam goreng dan sebagainya.
  • Elakkan susu penuh krim. Anda memerlukan sekurang-kurangnya 4 hidangan prosuk susu sehari. Walaubagaimanapun, pengambilan susu skim atau rendah lemak akan mengurangkan pengambilan kalori dan lemak. Pilih keju atau yogurt rendah lemak.
  • Hadkan pengambilan minuman manis dan bergula. Minuman manis seperti air berkarbonat, kordial, jus buah, lemonad, minuman 3 in 1, kuih-muih bergula dan banyak lagi membekalkan kalori yang banyak tetapi nutrien yang sedikit. Minumlah air kosong atau air mineral untuk mengelakkan lebihan kalori.
  • Jangan tambah garam dalam makanan semasa memasak. Garam menyebabkan badan kita menyimpan air.
  • Hadkan pengambilan gula-gula, coklat dan snek berkalori tinggi. Biskut, donat, kek. sirup, madu dan cip kentang mempunyai kalori tinggi tetapi nutrien yang sedikit. Sebaliknya, pilih buah-buahan segar, yogurt rendah lemak,
  • Penggunaan lemak secara sederhana. Lemak termasuk minyak masak, marjerin, mentega, sos, mayonis, salad dressing, minyak sapi, krim dan sebagainya.
  • Sediakan makanan dengan cara masakan yang menggunakan sedikit lemak seperti membakar, stim, rebus, panggang dan lain-lain.

Ibu & Bayi: Air berkarbonat & Kopi

Soalan:
salam dietitian ku, ada 2 soalan yg sy nak tanya berkaitan dengan pemakanan ibu mengandung:) 1.Adakah boleh mengambil minuman bergas semasa mengandung? Jika ibu mengandung mengambil minuman bergas, adakah ia akan mengganggu tumbesaran bayi? 2. Boleh x seorang wanita hamil mengambil minuman kopi dalam menu sehari2? misalnya segelas sehari? Adakah ia akan mengganggu pengambilan /uptake nutrien lain yg di perlukan oleh bayi dalam kandungan? Adakah konsentrasi kafein mempunyai kesan langsung kepada minda bayi? Thanks ya:)~Pn. Sharifah Asma

Jawapan:
 Waalaikumsalam Puan Asma. Terima kasih kerana sudi mengutarakan persoalan diatas. Tahniah kerana bakal menjadi ibu dalam masa beberapa bulan lagi dan tahniah juga kerana menjadi wanita yang prihatin dengan kesihatan diri dan bayi yang bakal lahir..insyaAllah!
Saya ringkaskan soalan Puan, iaitu mengenai air berkarbonat dan kopi serta perkaitan pengambilan dengan kesihatan ibu dan bayi. Dan berapa banyak pengambilan yang dibolehkan untuk ibu hamil.
Kebanyakan minuman berkarbonat dan kopi mengandungi kafein, sejenis stimulan. Pada kadar yang rendah, kafein tidak akan membahayakan ibu mahupun bayi dalam kandungan. Tetapi, kandungan kafein yang berlebihan didalam darah mampu membahayakan ibu bahkan bayi dalam kandungan. Seperti yang telah saya nyatakan didalam post sebelum ini, ibu mengandung disarankan mengehadkan pengambilan kafein tidak lebih dari 200mg sehari. Kajian terbitan American Journal of Obstetric & Gynecology, Febuari 2008, pakar epidemiologi dari Kaiser Permanente Division of Research di California mengatakan bahawa wanita yang mengambil kafein lebih dari 200mg (bersamaan dengan 12 oz kopi atai 30 oz teh), berisiko dua kali ganda lebih tinggi untuk mengalami keguguran. Pakar percaya risiko individu mungkin perlu diambil kira. Jika anda mempunyai risiko keguguran atau kelahiran pramatang yang tinggi, atau jika anda terdedah kepada faktor penyebaba keguguran, adalah langkah bijak untuk mengelakkan pengambilan kafein atau sekurang-kurangnya mengehadkan pengambilan berdasarkan kajian terkini. Dalam masa yang sama, jika anda masih muda dan sihat serta tidak berisiko tinggi, anda mungkin selamat walaupun mengambil sedikit lebih dari saranan.
Kafein bertindak sebagai agen diuretik dan menyebabkan badan kita kehilangan air serta vitamin yang penting seperti kalsium. Sangat penting untuk badan kita sentiasa terhidrat bagi memastikan fungsi organ berjalan dengan lancar terutamanya semasa mengandung. Selain itu, pengambilan kafein yang berlebihan juga menghalang kita dari mendapat tidur yang berkualiti. Terdapat juga kajian yang mengatakan pengambilan kafein yang berlebihan akan meningkatkan risiko keguguran.
Selain memberi kesan dehidrasi terutama apabila ibu tidak meminum air secukupnya, kehilangan vitamin penting seperti kalsium juga memberi masalah kepada ibu dan bayi. Ini kerana, kalsium sangat diperlukan bagi memenuhi keperluan pembinaan tulang dan mengekalkan ketumpatan tulang untuk ibu. Kekurangan kalsium akan meningkatkan risiko osteoporosis untuk ibu hamil.
Kebanyakan air berkarbonat juga mengandungi perisa tiruan, pewarna makanan tiruan dan bahan tambahan seperti pengemulsi dan pengawet, yang mana tidak sesuai untuk diambil oleh ibu hamil.

Ramai orang yang menggemarkan air berkarbonat akan minum minuman ini dalam kuantiti yang banyak kerana ia selalu dihidang sejuk serta manis. Ini akan menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan tanpa nutrien yang sihat. Pengambilan yang berterusan akan mengakibatkan kenaikan berat badan secara berlebihan semasa hamil. Ini kerana, air berkarbonat mengandungi kandungan gula dan seterunya kalori yang tinggi. Lebihan berat badan semasa mengandung akan menyukarkan penurunan berat badan selepas bersalin.
Masalah lain untuk pengambilan air berkarbonat ialah angin atau kembung terutamanya dalam trimester pertama. Ini akan menggalakkan simptom loya dan pedih ulu hati.  Kafein dalam kopi dan air berkarbonat secara semulajadinya bersifat asid hasil dari reaksi bahan kimia yang digunakan, jadi ini juga menjadi faktor penggalak pedih ulu hati terutamanya dalam trimester kedua dan ketiga.
Terdapat bukti yang mengatakan pengambilan kafein akan memberi kesan terhadap tumbesaran bayi semasa hamil. Kafein secara semulajadi terkandung dalam teh, kopi dan coklat serta air berkarbonat. Jadi semasa hamil, hadkan pengambilan kafein dengan mengambil lebih dari 6 cawan kopi atau teh setiap hari.
Elakkan meminum teh bersama hidangan utama. Terdapat bahan bernama tannin didalam teh yang mampu menghalang proses penyerapan zat besi dari makanan. Hadkan air berkarbonat, minuman berperisa, kordial dan minuman diet kerana ia rendah nutrien tetapi tinggi kalori. Minuman tenaga juga tidak disarankan kerana mengandungi kafein yang sangat tinggi serta bahan-bahan lain yang tidak sesuai untuk ibu mengandung.
sebaik-baiknya, ibu hamil perlu memastikan pengambilan air sekurang-kurangnya 9 cawan air setiap hari. Pengambilan air mungkin meningkat jika cuaca panas, selepas beraktiviti, muntah atau sembelit. Jadikan rasa dahaga sebagai garis panduan. Pilih minuman berkalsium seperti susu rendah lemak dan susu soya yang diperkaya dengan kalsium.

Wednesday, 14 September 2011

Ibu & Bayi : Diet Semasa mengandung

salam wrt. tahniah atas blog yg sgt bermanfaat. sy ingin bertanya, apakah diet terbaik utk ibu mengandung agar tumbesaran bayi baik dan ibu sihat. terima kasih. TFA 


Jawapan:
Waalaikumsalam wrt Puan,
Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog yang tidak seberapa ini..moga mendapat manfaat!
Ibu-ibu dan bakal ibu yang sedang mengandung saya ucapkan tahniah! Saat mengandung adalah saat yang paling dikenang-kenang oleh ibu-ibu termasuk saya sendiri. Saat mengandung ialah saat bermulanya fasa baru dalam hidup seorang wanita bukan sahaja kerana perubahan fizikal, fisiologi bahkan mental. Jadi pemakanan dan kesihatan tubuh badan sangat perlu dijaga bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.


Ibu hanya memerlukan tambahan 300 kalori sehari semasa mengandung berbanding sebelum mengandung. Ibu-ibu mungkin mengalami loya dan muntah (morning sickness) di awal bulan mengandung, tetapi cuba untuk pastikan makanan yang diambil seimbang dan juga vitamin prenatal. Di bawah adalah perkongsian serba sedikit untuk penjagaan pemakanan.

  • Amalkan kepelbagaian makanan untuk dapatkan semua nutrien yang diperlukan. Disarankan 6-11 hidangan roti, nasi atau bijirin lain, 2-4 hidangan buah-buahan, 4 atau lebih hidangan sayur-sayuran,4 hidangan produk tenusu dan 3 hidangan protein (daging, ayam, ikan,telur atau kekacang). Gunakan lemak dan gula secara berhemah!
  • Pilih makanan tinggi serat seperti roti mil penuh, bijirin penuh,pasta, nasi beras perang, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Pastikan pengambilan vitamin yang mencukupi. Anda boleh amalkan pengambilan vitamin prenatal seperti asid folik dan zat besi, supaya anda mendapat vitamin tersebut secara konsisten.
  • Makan dan minum sumber tenusu dan makanan tinggi kalsium sekurang-kurangnya 4 hidangan sehari. keperluan kalsium semasa mengandung ialah di antara 1000-1300mg sehari.
  • Makan sekurang-kurangnya 3 hidangan makanan tinggi zat besi seperti daging, kuning telur, sayur berdaun hijau gelap seperti bayam, buahan kering seperti kismis, prune, kekacang dan banyak lagi. Keperluan zat besi harian ialah 27mg sehari.
  • Pilih sekurang-kurangnya satu makanan tinggi vitamin C setiap hari seperti oren, jambu batu, anggur, strawberi, tembikai susu, betik, brokoli, kubis bunga, cili, tomato dan sawi. Ibu mengandung memerlukan sekurang-kurangnya 70mg vitamin C sehari.
  • Pilih sekurang-kurangnya satu makanan tinggi asid folik sehari, seperti sayuran berdaun hijau, legum, bijirin,kekacang dan daging. Sekurang-kurangnya 0.4mg diperlukan untuk menghalang kecacatan tiub neural seperti spina bifida.
  • Pilih sekurang-kurangnya satu sumber vitamin A sehari seperti lobak merah, labu, ubi keledek, bayam, aprikot dan banyak lagi. Tetapi, pengambilan vitamin A melebihi 10000 IU sehari dikaitkan dengan kecatatan bayi, jadi tidak usah mengambil supplemen yang mempunyai vitamin A.

Apa makanan yang perlu dielakkan semasa mengandung?
  • Alkohol atau arak. Alkohol mempunyai perkaitan rapat dengan kelahiran pramatang, kecacatan mental dan fizikal serta bayi rendah berat lahir.
  • Hadkan pengambilan kafein tidak lebih dari 200mg sehari. 8 oz cawan kopi mengandungi 150mg kafein manakala teh mengandungi 80mg kafein. Perlu di ingat, coklat juga mengandungi kafein iaitu untuk satu bar coklat bersamaan 1/4 cawan kopi.
  • Tidak digalakkan penggunaan saccharin kerana ia mampu meresap ke dalam uri dan kekal dalam tisu fetus. Tetapi, penggunaan pemanis tiruan seperti aspartme(Equal atau NutraSweet), acesulfame-K(Sunett) dan sucralose (Splenda) dibenarkan. pastikan anda berbincang dengan penasihat perubatan terlebih dahulu sebelum penggunaan.
  • Kurangkan jumlah lemak yang diambil ke 30% atau kurang dalam pengambilan kalori seharian. Untuk individu yang memerlukan 2000kalori sehari, ini bermakna 65gm lemak diperlukan.
  • Hadkan pengambilan kolestrol ke 300mg atau kurang dalam sehari.
  • Jangan makan ikan yu, ikan kakap atau mana-mana ikan yang tinggi merkuri.
  • Elakkan makan makanan mentah seperti kerang, tiram, kepah dan sebagainya.
Untuk memudahkan para ibu dan bakal ibu saya simpulkan:
  •  makan secara teratur 3kali hidangan utama sehari(sarapan, makan tengahari dan makan malam)
  •  disiplin dengan waktu makan
  •  makan snek sihat antara waktu makan utama contoh buah-buahan, yogurt rendah lemak, salad, susu rendah lemak, roti mil penuh dan sebagainya. Cuba untuk meminimikan porsi kepada 1 hidangan setiap kali makan..insyaAllah cukup!
  • pemilihan makanan bermula waktu membeli belah. Perancangan yang rapi terhadap menu harian. Penuhkan peti atau almari makanan dengan makanan berkhasiat bukan makanan ringan. (ibu mengandung cepat lapar~so make it healthier for you and your baby)
  • Kalau bekerja, bawa makanan dari rumah atau pilih tempat makan yang menyediakan pelbagai makanan sihat. pastikan bawa snek sihat supaya tidak terlalu lapar sewaktu bekerja.
  • Minum air secukupnya! Amalkan membawa botol air kosong kemana-mana anda pergi. Sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong sehari, jika haus tingkatkan pengambilan air.
  • Jatuh cinta dengan sayur dan buah meskipun anda benci! 
  • Ingat!anda bukan makan untuk dua orang. Hanya tambahan 300 kalori diperlukan semasa mengandung. Pastikan pertambahan berat badan yang tidak berlebihan(susah turun berat selepas bersalin nanti).
  • Sayangkan susu! Jika anda tidak mampu telan susu rendah lemak walaupun telah mencuba, anda boleh ambil susu penuh krim tetapi pastikan anda mengambil makanan yang kurang berlemak atau berminyak! Tidak boleh juga? Ambil makanan tinggi kalsium dengan lebih kerap seperti yang telah saya nyatakan.
  • Jangan lupa vitamin anda! Telan walaupun malas untuk telan. Pil zat besi mempunyai kesan sampingan seperti sembelit jadi pastikan anda minum air dan makan makanan tinggi serat secukupnya!
Usah "tension-tension"! Tidak susah pun... komitmen kita sebagai ibu bermula dari sebelum mengandung!!

p/s: Teruskan pembacaan..insyaAllah! akan di update isu pemakanan semasa mengandung dan selepas bersalin.:D

Monday, 5 September 2011

Minum air sejuk selepas bersalin?OK ke?

Soalan:
Betul ke meminum air sejuk selepas bersalin membahayakan? Sewaktu berpantang ibu melarang keras saya meminum air sejuk dengan alasan akan menghalang pengecutan rahim dan membuncitkan perut.

Jawapan:
Seringkali kita mendengar bebelan ibu-ibu, rakan-rakan dan saudara-mara tentang amalan meminum air sejuk selepas bersalin yakni waktu berpantang. Setakat ini, kurang kajian dilaksanakan dalam bidang ini dan tiada bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong penyataan bahawa amalan meminum air sejuk tidak selamat.
Mungkin disebabkan kebanyakan percaya bahawa 'kepanasan' akan membantu proses penyembuhan, jadi pengambilan makanan atau minuman yang sejuk dikatakan akan menghalang proses penyembuhan. Bahkan di kebanyakan negara, ramai ibu-ibu selepas bersalin yang meminum air sejuk tidak mengalami sebarang masalah.

Ibu yang menyusu disarankan meminum air yang mencukupi iaitu di antara 10-12 gelas sehari. Cuaca di Malaysia yang panas dan lembap menyebabkan kita cepat dahaga dan ramai yang memilih air sejuk untuk menghilangkan dahaga berbanding air panas. Kandungan air dalam badan sangat penting apatah lagi untuk ibu yang menyusu, kerana air diperlukan untuk proses penghasilan susu yang mencukupi. dan seterusnya, mengganggu penyusuan bayi. Dalam aspek ini, amalan meminum air sejuk tidak membahayakan berbanding risiko kekurangan air terhadap ibu dan bayi.

Jadi, jika anda terasa sangat dahaga dan menginginkan air sejuk, jangan rasa bersalah anda boleh meminumnya. jika anda risau dengan meminum air sejuk akan membawa masalah kesihatan, usah risau anda berhak memilih untuk tidak meminum air sejuk. Tetapi pastikan anda meminum air samada suam atau panas yang mencukupi.

Dan jika anda risau meminum air sejuk akan menjejaskan bayi anda, usah khuatir. Dengan meminum air sejuk, suhu air susu anda akan tetap pada suhu badan dan tidak akan mengubah kandungan antibodi dan nutrien yang terkandung.

Kegemukan atau kebuncitan berkait rapat dengan pengambilan kalori yang berlebihan dan meningkatkan penyimpanan lebihan kalori dalam bentuk lemak di bawah kulit. Kebiasaannya, individu akan cenderung meminum air sejuk dalam kuantiti yang banyak berbanding air suam atau panas. Jadi, jika air sejuk yang diminum berkalori tinggi seperti minuman bergas, bergula tinggi atau berkrimer (lemak), ini akan meningkatkan pengambilan kalori secara berlebihan. Individu yang ingin mengurangkan atau mengekalkan berat badan disarankan mengambil air kosong yang mencukupi bagi membantu metabolisma. Ingin dinyatakan disini, bahawa air kosong tidak mempunyai sebarang kalori.