Sunday 23 October 2011

44 dari 100 Rakyat Malaysia Tidak Aktif & Tidak SIHAT!!

Dipetik dari TheStar.com.my bertarikh 24 Oktober 2011.

Kota Kinabalu: Empat Puluh empat dari seratus rakyat malaysia tidak aktif dan ini menyumbang kepada masalah kesihatan mereka. 

"Mereka tidak bersenam ataupun melakukan sebarang aktiviti bagi mengekalkan kesihatan mereka" kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Dipetik dari Kajiselidik kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2006, beliau berkata, adalah mudah untuk bersenam dan ia boleh dilakukan dimana sahaja termasuklah di rumah, tempat kerja dan pasaraya.
Selain dari mempromosikan senaman, kempen tersebut juga bertujuan untuk mendidik rakyat malaysia mengenai penyakit tidak berjangkit seperti masalah jantung, obesiti dan kencing manis.
" Bilangan penghidap penyakit seperti ini semakin meningkat disebabkan amalan gaya hidup yang tidak sihat" tambah beliau semasa pelancaran Hari sambutan warga emas peringkat negeri di sini pada hari sabtu...........

Ulasan: 
44% adalah jumlah yang sangat besar dan mencapai tahap yang membimbangkan. Yakni hampir separuh rakyat malaysia tidak aktif dan seterusnya berisiko tinggi menghidap penyakit obesiti, masalah jantung, kencing manis dan sebagainya. Meskipun seluruh rakyat malaysia sedar akan kepentingan penjagaan pemakanan tetapi jika amalan gaya hidup tidak aktif berterusan, ia tetap akan mewujudkan risiko penyakit. Ini kerana gaya hidup aktif adalah salah satu elemen penting dalam pengekalan berat badan ideal.
Cabaran dunia globalisasi bukan sahaja melibatkan peningkatan taraf hidup dan persaingan, tetapi juga kesan sampingan kepesatan teknologi yang memudahkan urusan harian, serta kesibukan dalam memuaskan taraf hidup. 

Rakyat kini menikmati kemudahan yang menyenangkan kerja-kerja seharian, kita tidak perlu berjalan untuk ke tempat kerja, membasuh baju dengan mesin basuh auto mahupun manual, menyapu menggunakan pembersih vakum, sistem bekalan air yang tidak memerlukan kita mencedok telaga, bekalan makanan yang berdekatan (restoran, pasaraya dan sebagainya), dan banyak lagi. Belum lagi kita menyatakan tentang, penggunaan khidmat pembersihan rumah, khidmat pengasuh atau bibik, khidmat pesanan segera dan sebagainya. Benar, sangat memudahkan!!

Tetapi,kemudahan ini hanya sebagai cara kita meraikan teknologi dan inovasi perkhidmatan bukan sebagai alasan untuk menggoyang kaki, menyandar kepala dan bersiulan gembira. Hanya dengan gaya hidup aktif, hidup kita bebas dari penyakit yang tidak sepatutnya kita dapat... Terimalah fakta ini dengan berlapang dada.
Jadi macammana? Kita terlalu sibuk dengan urusan pejabat, kerja, komitmen jabatan/kelab/persatuan dan yang paling penting keluarga, sehinggakan tiada masa untuk bersenam mahupun menjaga pemakanan dengan teratur. 
Bagi suri rumah, anda pasti sihat dengan kerja harian mengasuh anak, membasuh baju, pinggan mangkuk dan sebagainya. Lebih digalakkan untuk bermain dengan anak-anak, main lari-lari, tunggang belakang, jogging, badminton dan banyak lagi! Jadikan masa anda dengan anak, masa yang bernilai dan berbaloi. Itu adalah cara anda bersenam. Kecuali bagi suri rumah yang lebih senang menonton sinetron, membiarkan anak-anak bermain sendirian dan mengunyah makanan dikala kebosanan. Pilihan di tangan anda.

Bagi individu berkerjaya, anda boleh jadi lebih sihat dengan pertambahan komitmen samada di rumah mahupun tempat kerja. Lantaran kesibukan, anda mungkin tidak berkesempatan untuk bersenam akibat kekangan masa dan kepenatan. Di rumah anda boleh menguruskan kerja-kerja rumah secara berjadual, bagi yang berpasangan, anda boleh menyusun pembahagian kerja masing-masing. Ini adalah antara senaman anda dan pasangan, siapa mahu sihat sendiri-sendiri..betul? Pembahagian kerja membuatkan kita lebih berdisiplin, peruntukan masa aktif atau rehat secara sistematik jadi anda tidak perlu terlalu penat atau terlalu rehat dalam sehari. 

Selain itu, di tempat kerja anda mungkin pekerja aktif yakni anda perlu bergerak atau berjalan di banyak tempat. Anda mungkin tiada masalah untuk "bersenam", tetapi bagaimana jika kerja anda hanya memerlukan anda duduk dan memerah otak? Anda mungkin berjaya melakukan senaman otak tetapi bukan aktif secara fizikal. Jadi, digalakkan anda untuk perbanyakkan pergerakkan sebagai contoh parking kereta jauh dari tempat kerja, berjalan ke tempat makan/rehat, melakukan regangan antara 30 minit ke sejam, naik turun tangga dan sebagainya. Itu adalah antara senaman anda, jadi pilihan di tangan anda! 

Mungkin antara kita masih lagi merungut! Kepenatan komitmen harian membuatkan kita lupa tentang komitmen penjagaan kesihatan diri dan keluarga. Kualiti hidup bukan sahaja terletak kepada kebebasan kewangan tetapi juga kebebasan dari sebarang penyakit!!
Peribahasa 'alah bisa, tegal biasa' perlu dijadikan contoh. Mungkin diawal-awal kita merasakan penat melakukan senaman, tetapi jika diamalkan secara berdisiplin dan istiqamah, anda akan rasa biasa bahkan luar biasa jika tidak melakukannya.
Jadi, apa lagi? Yok!! bersenam!

Friday 21 October 2011

Jom Diet! Katakan Tidak kepada Obesiti!

Kuala Lumpur, 3 Julai (Bernama)-- Empat daripada 10 orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di Malaysia mengalami kegemukan atau terlebih berat badan, kata Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.


Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 pula menunjukkan dua daripada setiap lima orang dewasa atau 43 peratus mengalami sama ada kegemukan atau obesiti.
Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini meningkat mendadak kepada 250 peratus pada tempoh 10 tahun lalu daripada 1996. 
Sementara itu, jumlah mereka yang mengalami kegemukan turut bertambah kepada 70 peratus.

Lebih membimbangkan jumlah dewasa obes bertambah lebih tiga kali ganda lebih sedekad lalu, daripada empat peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada 2006.


Selain itu, kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih beratKajian yang dilakukan baru-baru ini terhadap 10,000 orang pelajar menunjukkan 24 peratus yang berumur di antara enam tahun hingga 12 tahun terlebih gemuk atau obesiti.
Berdasarkan statistik obesiti Malaysia, 25.6% adalah dari kaum India, 22.4% Melayu, 19.5% Cina dan 32.5% lain-lain kaum.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata masalah obesiti di Malaysia berada pada tahap membimbangkan bagi semua peringkat umur.

Terdapat dua punca utama masalah obesiti, iaitu makan berlebihan dan kurang bersenam.

Semoga kita tidak menjadi sebahagian dari statistik individu obes. Katakan TIDAK kepada OBESITI!!!

Supplemen Vitamin E: Peningkatan Risiko Kanser Prostat

Jika kita taip info ubat mengenai vitamin E,kita mungkin akan dapat penyataan seperti dibawah:


"Vitamin E ialah salah satu antioksidan yang penting dalam pencegahan kanser dan penyakit kardiovaskular. Ia memperbaiki peredaran darah, yang mana perlu untuk memperbaiki tisu, dan sangat berguna dalam rawatan "premenstrual syndrome" dan penyakit fibrocystic buah dada. Ia memelihara pembekuan darah yang normal dan penyembuhan, mengurangkan parut yang diakibatkan oleh sesetengah kecederaan, mengurangkan tekanan darah, membantu dalam pencegahan penyakit katarak, meningkatkan prestasi atlit, dan mengendurkan otot kaki dari kekejangan. Vitamin E boleh meningkatkan pengeluaran air mani pada sesetengah lelaki. Ia juga mengekalkan kesihatan saraf dan otot dan di masa yang sama menguatkan dinding kapilari. Vitamin E menggalakkan kulit dan rambut menjadi sihat, dan membantu mencegah anemia dan "retrolental fibroplasia", sejenis gejala mata yang boleh menjangkiti bayi pramatang. Satu kajian yang dijalankan oleh National Cancer Institute pada tahun 1998 mendapati bahawa pengambilan vitamin E dalam jangka masa panjang dapat mengurangkan risiko kanser prostat di kalangan penghisap rokok. Lain-lain kajian megesyorkan bahawa vitamin ini dapat memperlahankan  perkembangan penyakit Alzheimer. Sepanjang ini diketahui bahawa vitamin E telah menunjukkan kesan pencegahan kepada lebih kurang 80 jenis penyakit."


Di atas adalah sedikit sebanyak mengenai vitamin E, dan antara klaim diatas belum tentu kesahihannya.


Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa persoalan mengenai risiko pengambilan Vitamin E samada di media massa atau di jurnal penyelidikan terbitan pelbagai pihak. Ini berpunca dari penerbitan jurnal sains perubatan mengenai potensi kesan sampingan supplemen vitamin E setelah sekian lama penduduk dunia mengambil supplemen ini.
Kenapa supplemen vitamin E popular?
Lebih 2 dekad lepas, beberapa saintis mengemukakan teori oksidan penyakit. Hipotesis yang dikemukan termasuk metabolisma oksidatif, dan radikal bebas yang merupakan mekanisma patofisiologi utama untuk penyakit degeneratif kronik seperti kanser dan penyakit kardiovaskular. Teori ini seterusnya menyentuh tentang pengambilan nutrien anti-oksidan seperti vitamin C, E, Karotenoid dan selenium yang mencukupi atau dos yang berlebihan mampu mencegah penyakit degeneratif. 
Pengambilan supplemen Vitamin E harian menjadi tabiat ramai individu meskipun dikalangan ahli perubatan. Kaji selidik yang dijalankan lima tahun lepas menunjukkan pengambilan kerap iaitu lebih dari 5 kali seminggu di kalangan populasi dewasa. Kebanyakannya, prevalens pengambilan meningkat dengan peningkatan umur dan juga dikalangan penghidap penyakit degeneratif kronik. Kebiasaannya, mereka mengambil dos 400mg atau lebih dalam sehari.

Kajian dalam tahun 1980-an dan awal 1990-an menunjukkan terdapat perkaitan di antara pengambilan kerap vitamin E dengan penurunan 30-60% penurunan risiko penyakit jantung koronari. Ia melibatkan pengambilan dos vitamin E yang tinggi, di mana pengambilan dos rendah hanya memberi kesan yang minima.
Walaubagaimanapun, apabila saintis cuba untuk melakukan kajian ini secara terkawal dengan menggunakan dua kumpulan iaitu kumpulan yang diberi supplemen vitamin E dan kumpulan yang diberi placebo. Kajian ini menunjukkan hal yang sebaliknya, yakni tiada kesan langsung (tidak memberi kebaikan mahupun keburukan). Disimpulkan, kajian demi kajian hanya membawa kepada kekeliruan tentang status keselamatan atau kebaikan pengambilan supplemen vitamin E.


Baru-baru ini saya menerima artikel terkini melalui Medscape yang menyentuh isu Vitamin E, iaitu perkaitan supplemen tersebut dengan risiko kanser prostat. Dikatakan, supplemen ini tidak menghalang kaum lelaki dari menghidap kanser prostat, bahkan mungkin meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit tersebut!
Laporan awal mengenai Pencegahan kanser dengan Selenium dan Vitamin E mendapati, selenium dan vitamin E tidak mampu mengurangkan risiko prostat kanser. Walaubagaimanapun, analisis terkini terbitan JAMA : The Journal of The American Medical Association menunjukkan bahawa pengambilan Vitamin E mampu meningkatkan risiko kanser prostat secara signifikan.
Lelaki yang menerima dos biasa dan formulasi Vitamin E(400 IU sehari) mengadapi 17% peningkatan risiko kanser prostat berbanding individu yang menerima placebo. Penemuan ini sangat mengejutkan, tambahan pula  penerangan secara biologikal tidak dapat dikenalpasti.
Seterusnya, dalam laporan ini juga penyelidik menyatakan vitamin E tidak mampu merawat mana-mana kanser sekalipun, begitu juga ia tidak mampu membantu dalam kesihatan kardiovaskular sepertimana yang digembar-gemburkan.
"Tiada bukti yang menyokong klaim yang dibuat, tetapi beribu bahkan berjuta lelaki mengambil vitamin E sebagai supplemen", Dr Baker, DO, Professor of Internal Medicine And Pharmacology di University of Michigan,Ann Arbor.
Meskipun begitu, kajian lanjut diperlukan bagi meneliti isu keselamatan pengambilan Vitamin E. Pada mulanya, supplemen ini bukanlah bertujuan untuk mencegah kanser prostat atau penyakit-penyakit lain secara khusus, tetapi untuk membantu individu dalam mendapatkan keperluan seharian vitamin E. Jadi, hal ini terjadi kerana terdapat klaim dari pihak-pihak tertentu yang belum tentu kesahihannya.




Jadi, perlu ke pengambilan vitamin E? ia perlu bagi individu yang berisiko mengalami masalah kekurangan vitamin E seperti individu yang mengalami malnutrisi, individu yang menghadapi penyakit hati, celiac dan cystic fibrosis, serta pesakit kegagalan buah pinggang yang menerima rawatan dialisis kronik. Untuk individu sihat, amalkan pemakanan seimbang untuk memastikan pengambilan nutrien yang mencukupi.
Makanan tinggi vitamin E?
Kebanyakan kekacang, minyak sayuran dan sayuran. Makanan yang kaya dengan vitamin E termasuklah minyak germa gandum, bijirin gandum, kacang, soya, minyak jagung, avokado dan minyak zaitun. Buah-buahan seperti anggur, pic, dan beri hitam serta sayuran seperti tomato, brokoli, dan taugeh. Telur juga mengandungi kandungan vitamin E yang tinggi. Makanan yang segar dan mentah mengandungi kandungan vitamin paling tinggi. Pendedahan makanan terhadap cahaya dan kepanasan akan mengurangkan kandungan vitamin dan mineral yang terkandung, jadi makanan yang terlalu masak dan makanan yang tidak disimpan dengan rapi perlu dielakkan. Begitu juga sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipotong akan meningkatkan pendedahan terhadap cahaya, jadi memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam bentuk asal lebih digalakkan.

Wednesday 19 October 2011

Ibu & Bayi: Kaitan Lemak trans dan saiz bayi


Lemak Trans ialah lemak yang dihasilkan dari proses penambahan hidrogen ke minyak tumbuhan yang dikenali sebagai proses hidrogenasi, yang menjadikan minyak tahan lebih lama. Penggunaan lemak trans dalam makanan terproses menjadikan makanan tahan lebih lama dan mengurangkan tekstur berminyak pada makanan.

Lemak trans menyebabkan peningkatan paras kolestrol darah yang lebih tinggi berbanding dengan lemak lain. Mungkin kerana penambahan hidrogen ke dalam minyak menjadikan minyak lebih sukar untuk dicerna dan membuatkan tubuh kita memproses lemak trans seperti mana lemak tepu.
Berbanding dengan lemak lain, lemak trans dianggap sebagai lemak yang paling teruk oleh pakar perubatan dan pemakanan. Tidak seperti lemak lain, lemak trans juga dikenali sebagai asid lemak trans meningkatkan paras kolestrol LDL (kolestrol Jahat) dan menurunkan paras kolestrol HDL(kolestrol Baik). Ini seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung, musuh utama lelaki mahupun wanita.
Dalam satu kajian yang melibatkan hampir 1400 wanita hamil, semakin banyak pengambilan lemak trans oleh wanita hamil semasa trimester kedua, semakin besar bayi yang dilahirkan. Maksud sebenar penemuan ini masih dikenalpasti dan ia tidak membuktikan lemak trans sebagai punca peningkatan saiz bayi, dan jika ia benar sekalipun, kita masih tidak dapat memastikan risiko bahaya yang berkaitan. Meskipun kesannya kurang jelas, yang pastinya ia masih dikaitkan dengan risiko penyakit.

Penyelidik merekodkan bahawa untuk setiap 1% kenaikan lemak trans bagi menggantikan karbohidrat dalam diet, menyebabkan sedikit peningkatan skor-Z bagi pertumbuhan bayi. Jadi seeloknya, ibu hamil perlu mengurangkan pengambilan lemak trans dalam diet seharian.
Produk terproses secara komersil seperti kraker, biskut dan kek serta makanan bergoreng seperti donut dan kentang goreng mempunyai kandungan lemak trans. Bahan mentega dan marjerin juga mempunyai lemak trans yang tinggi. Cara yang terbaik ialah untuk mengenalpasti kandungan lemak trans dalam label pemakanan. Pilih makanan yang tidak mempunyai lemak trans atau lemak trans kurang dari 0.5gram. Tetapi jika anda ambil makanan yang masih terdapat lemak trans yang rendah, anda mungkin mengambil lemak trans melebihi sepatutnya jika makan makanan tersebut dalam kuantiti yang banyak. Selain itu, pastikan tidak memilih makanan yang berlabel "partially hydrogenated" kerana ia adalah nama lain bagi lemak trans.

Ibu & Bayi : Asid Folik mencegah kelewatan pertuturan di kalangan kanak-kanak.

Bakal ibu yang dikasihi,
Sememangnya proses mengandung dan seterusnya bersalin bukan proses yang senang dan menyenangkan bagi sebahagian dari kita. Tetapi menjadi tanggungjawab kita dalam menjamin penerusan generasi akan datang, jadi kualiti penjagaan diri dan makhluk ciptaan Allah azzawajalla dalam perut kita perlu dititik beratkan sebagaimana sepatutnya. Berbanding dengan ibu-ibu generasi terdahulu, ibu-ibu generasi milenium mendapat akses maklumat yang lebih terperinci dan perkhidmatan perubatan dan pemakanan yang terkini. Salah satu elemen pemakanan sewaktu mengandung ialah pengambilan supplemen asid folik. Mungkin, sebahagian dari kita bersikap acuh tidak acuh dalam pengambilan supplemen. Tetapi, berdasarkan kajian terkini menyifatkan pengambilan asid folik dari diet harian sahaja tidak mencukupi. Asid folik bukan sahaja mencegah penyakit saraf seperti spina bifida tetapi juga memainkan peranan dalam perkembangan keupayaan bertutur kanak-kanak.

Supplemen Asid Folik yang diambil ibu mengandung dari 4 minggu sebelum kehamilan ke 8 minggu selepas kehamilan berkait secara signifikan dengan penurunan prevalens kelewatan pertuturan yang teruk dikalangan kanak-kanak. (Berdasarkan kajian yang diterbitkan pada isu Oktober 12, JAMA).


"Kelewatan pertuturan yang teruk berkait rapat dengan pelbagai gangguan neuropsychiatric kanak-kanak, seperti autisma, juga berkait dengan kesukaran membaca dan menulis", Ketua Pengarang Christine Roth, ClinPsyD, dari Norwegian Institute of Public Health di Oslo.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan asid folik sebelum kehamilan mengurangkan risiko kecacatan tiub neural, tetapi tiada kajian yang melaksanakan pemerhatian tentang perkaitan supplemen dengan kesan keatas perkembangan saraf yang hanya boleh diperhatikan selepas melahirkan bayi.
Analisis melibatkan 19,956 kanak-kanak lelaki dan 18,998 kanak-kanak perempuan. Penyelidik mendapati bahawa 0.5% (204 kanak-kanak) mengalami masalah kelewatan pertuturan (penggunaan bahasa yang terhad, hanya 1 patah perkataan atau perkataan yang tidak difahami). Dari 9052 kanak-kanak yang ibunya tidak mengambil supplemen asid folik, dilaporkan 81 kanak-kanak (0.9%) mengalami masalah pertuturan yang teruk. Tetapi dari 7127 kanak-kanak yang ibunya mengambil supplemen asid folik, hanya 28 kanak-kanak (0.4%) mengalami masalah pertuturan.


Saranan pengambilan 0.4mg supplemen asid folik setiap hari sebulan sebelum hamil dan diteruskan pengambilan pada bulan ke-2 dan ke-3 kehamilan perlulah dititikberatkan. Meskipun begitu, penyelidik tetap menyarankan kajian selanjutnya dilaksanakan bagi memastikan lebih banyak kajian yang akan membantu dalam membina polisi pemakanan semasa kehamilan.
Sementara Supplemen asid folik menjadi sumber pemakanan penting semasa mengandung, jangan dilupakan tentang kepentingan pemakanan yang seimbang dan lengkap dari diet seharian. Tingkatkan pengambilan asid folik dari diet seharian dengan pemilihan makanan yang kaya dengan asid folik seperti sayuran berdaun (bayam,brokoli dan kubis), okra, asparagus, buah-buahan (pisang, tembikai dan lemon), kekacang, yis, cendawan, daging, jus oren dan tomato. Terdapat juga makanan dipasaran yang diperkaya dengan asid folik seperti roti, susu, bijirin dan sebagainya.

Thursday 13 October 2011

Supplemen Vitamin meningkatkan risiko kematian.

Tentu ramai diantara kita yang tertanya-tanya tentang kebenaran tajuk di atas. Ini mungkin menjadi kontroversi, memandangkan banyak syarikat supplemen dan ubat-ubatan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Mungkin lebih kontroversi kerana pertambahan individu yang bergantung kepada supplemen sepertimana meraka bergantung kepada makanan. Nanti dulu! Kita lihat kajian yang akan dikupaskan.

Oktober 10, 2011 - Wanita berumur di antara 55 hingga 69 tahun antara populasi yang kerap menggunakan supplemen diet dan mineral terutamanya zat besi, di mana ia dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian, berdasarkan penemuan baru kajian Iowa Women's Health.
Meskipun tidak semua supplemen vitamin dikaitkan dengan risiko ini, tetapi masih terdapat beberapa yang perlu dikhuatirkan pengambilannya seperti multivitamin, vitamin B6 dan asid folik, seta supplemen mineral seperti zat besi, magnesium, zink dan copper.
Jaakko Mursu,PhD dari Department of Health Sciences, Institute of Public Health and Clinical Nutrition di University of Eastern Finland, Kuopio Findland dan rakan penyelidik melaporkan penemuan mereka di dalam Archives of Internal Medicine.


" Supplemen digunakan secara meluas, dan dengan ini kajian mengenai kesan terhadp kesihatan sangat diperlukan" Dr Mursu menulis dalam laporannya. " Tambahan lagi, sangat sedikit maklumat mengenai kesan jangka masa panjang pengambilan multivitamin apatah lagi supplemen yang jarang digunakan seperti zat besi dan mineral lain". Kajian melibatkan 38,772 orang wanita berusia di antara 55-69 tahun, dengan purata berumur 61.6 tahun pada tahun bermulanya kajian iaitu tahun 1986. Direkodkan penggunaan supplemen pada tahun 1986, 1997 dan 2004.

Total 15,594 kematian (40% dari peserta) direkodkan pada December 31, 2008. Pengambilan multivitamin dikaitkan dengan 2.4% peningkatan risiko kematian (hazard ratio 1.06, 95% confidence interval, 1.02-1.10). Kebanyakan wanita yang menggunakan supplemen mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, aktif secara fizikal dan juga menerima terapi penggantian hormon estrogen.

Vitamin B6, asid folik, zat besi, magnesium dan zink dikaitkan dengan 3-6% peningkatan risiko kematian, manakala copper atau kuprum pula 18% apabila dibandingkan dengan peserta yang tidak menggunakan supplemen.
Sebaliknya, wanita yang mengambil supplemen kalsium dikaitkan dengan 3.8% penurunan risiko kematian (hazard ratio, 0.91; 95% confidence interval, 0.88 - 0.94).

Walaupun terdapat kebaikan dalam penggunaan supplemen seperti menaikkan kualtiti hidup dan sebagainya, kajian ini menyatakan kebimbangan tentang kesan jangka masa panjang pengambilan supplemen ini.
Dalam kajian berkaitan, Goran Bjelakovic, MD, DMSc, and Christian Gluud, MD, DMSc, dari Centre for Clinical Intervention Research, Cochrane Hepato-Biliary Group, Rigshospitalet, Copenhagen University Hospital, Denmark, menegaskan tentang kebimbangan penyelidik tentang pertambahan bukti-bukti yang menunjukkan supplemen antioksida seperti vitamin E, vitamin A dan Beta-carotene adalah berbahaya".

Saranan pengambilan vitamin dan mineral adalah tidak digalakkan sebagai langkah pencegahan, sekurang-kurangnya untuk populasi yang cukup nutrisi. Supplemen tidak mampu menggantikan atau menambah kebaikan yang diperolehi dari pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran serta is juga mampu memberi kesan negatif terhadap kesihatan.

Nota: Ruginya apabila kita beli sebotol vitamin dengan harga RM50-100, sedangkan dengan nilai wang tersebut kita boleh beli pelbagai makanan sihat dan segar. Atau kita sudah malas atau tiada masa untuk makan secara sihat dan seterusnya mengambil jalan pintas dengan memakan pil supplemen?

Fikir-fikirkan~

Ibu Bapa kurus, anak-anak kurus.

Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa kurus tiga kali ganda kemungkinan untuk menjadi kurus berbanding kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang berlebih berat badan, berdasarkan kajian terbaru penyelidik UCL.


Kajian tersebut diterbitkan di Archives of Pediatrics & Adolescents Medicine, menunjukkan kaitan pengaruh keluarga yang kuat terhadap fizikal kanak-kanak. Ia berdasarkan keputusan Kaji selidik kesihatan di England, di mana data tahunan di kumpul dari penduduk. Dari tahun 2001 hingga 2006, penyelidik merekod tinggi dan berat ibu bapa serta kanak-kanak dalam 7000 keluarga, dan maklumat ini digunakan untuk mengukur Indeks Jisim Tubuh peserta. Kajian menunjukkan semakin kurus ibu bapa, semakin kurus anak-anak mereka dan begitu juga sebaliknya.

Kajian sebelum ini menunjukkan masalah obesiti dalam keluarga, sebahagiannya berpunca dari perpindahan genetik dari ibu bapa kepada anak-anak iaitu merujuk kepada peningkatan risiko adipositi atau kegemukan. Kajian menemukan hal yang sama berlaku kepada ibu bapa yang kurus terhadap anak-anak.
Ketua Pengarang, Dr Katrina Whitaker, UCL Epidemiology & Public Health mengatakan ' Kajian sebelum ini membuktikan terdapat perkaitan di antara berat badan ibu bapa dan anak-anak, tetapi ia terlalu fokus kepada masalah obesiti berbanding spektrum berat badan yang lain".
Professor Jane Wardle menambah, ' Ibu bapa sering khuatir jika anak-anak mereka kurus, tapi ia mungkin hanya kerana genetik kurus ibu bapa sendiri. Setiap gen mempunyai dua alelle. Ibu bapa yang kurus selalunya mempunyai allele yang kurus, dan seterusnya gen ini dipindahkan ke anak-anak mereka. Anak-anak yang mewarisi alelle kurus ini akan menjadi kurus secara semulajadi".
Meskipun kajian mengatakan konsep genetik atau keturunan sebagai risiko kegemukan dan sebaliknya, Ibu bapa masih bertanggungjawab menjaga pemakanan dan gaya hidup mereka serta anak-anak. Ini kerana, faktor keturunan hanyalah salah-satu faktor risiko malnutrisi (berat badan berlebihan/kekurangan berat badan). Masih terdapat banyak lagi faktor lain seperti pemakanan yang tidak seimbang, pengambilan makanan tinggi kalori, gaya hidup sedentari dan sebagainya.
Selalunya anak-anak akan makan sepertimana ibubapa mereka makan. Jika ibu masak ayam goreng, anak makan ayam goreng. Jika ayah suka tengok telivisyen di rumah atau kurang beraktiviti, anak juga mungkin akan membuat benda yang sama. Begitu juga, bagi ibu bapa yang kurang makan, anak pun akan turut sama terkena tempias kurang makan. Jadi, secara kesimpulannya, gaya hidup berkeluarga juga menjadi budaya kehidupan anak-anak, dan seterusnya menjadi punca anak menjadi kurus atau gemuk.

Wednesday 5 October 2011

DM & ANDA : Kerja syif Malam meningkatkan Risiko Diabetes Untuk Wanita

DM (Diabetes Mellitus) atau Kencing Manis adalah penyakit berprevalens tinggi di Malaysia. Jadi Slot ini akan membincangkan tentang penyakit DM, risiko, isu berkaitan dan perubahan gaya hidup. Moga mendapat manfaat dari perkongsian ini.

Antara cabaran Dunia Globalisasi ialah pertambahn jumlah wanita berkerjaya dan juga keperluan untuk meningkatkan taraf hidup. Akibat kekangan dan keperluan ini, wanita memainkan peranan dalam ekonomi keluarga bahkan memaksa mereka untuk bekerja syif malam.
Kajian mengatakan ia mengganggu ritma harian dan seterusnya mengganggu kandungan gula dalam darah.
Isnin, 27 Jun 2011 (Healthday News) -- Wanita yang bekerja syif malam mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis Jenis II (Type 2 Diabetes Mellitus), berdasarkan penemuan kajian terbaru. Kajian tersebut menumpukan pada kaum wanita, semakin bertambah tahun bekerja syif malam, semakin tinggi kesan mendapat kencing manis, serta obesiti.

" Keputusan menunjukkan peningkatan risiko kencing manis bagi kaum wanita setelah pertambahan kerja syif, dan perkaitan ini juga melibatkan IJT (Indeks Jisim tubuh) individu terlibat" An Pan, Pengkaji Pemakanan di Harvard School of Public Health di Boston.
Sebelum ini, kajian mencadangkan bahawa kerja syif malam mengganggu ritma circadian (siang/malam), dan hal sebegini sudah lama dikaitkan dengan obesiti, antara faktor risiko penyakit kardiovaskular dikenali sebagai 'Sindrom Metabolik", serta mengganggu aturan gula darah.
Dalam kajian terbaru, penelitian terhadap data lebih dari 69000 wanita US dari tahun 1988 ke 2007 iaitu sebahagian dari kajian Kesihatan Jururawat. Hampir 6200 wanita menghidap Diabetes Mellitus sepanjang tenpoh kajian. Kajian dimulakan dengan pengumpulan data tentang period kerja malam (sekurang-kurangnya tiga malam bekerja untuk sebulan).
Jadi, kajian menyimpulkan bahawa risiko DM meningkat selari dengan pertambahan period kerja syif malam. Wanita yang bekerja malam secara kerap selama 3-9 tahun mempunyai 6% peningkatan risiko, manakala wanita yang bekerja malam antara 10-19 tahun pula 9% peningkatan risiko dan seterusnya bagi yang bekerja malam lebih dari 20 tahun mengalami 20% peningkatan risiko!
Pertambahan berat badan berlaku kepada sebahagian peserta kajian, tetapi bukan semua peserta.

Jadi, saranan kesihatan yang perlu diambilkira untuk menurunkan risiko mendapat kencing manis ialah :
  • mencari pekerjaan lain yang bersesuaian/ meminimakan waktu syif malam dalam sebulan (dapatkan perhatian majikan untuk menitik-berat kebajikan pekerja)
  • mengurangkan faktor risiko lain yang mampu meningkatkan risiko kencing manis seperti merokok, gaya hidup sedentari, berlebihan berat badan atau obesiti, pengambilan makanan tinggi kalori dan gula dan sebagainya.
  • Penjagaan pemakanan sewaktu bekerja malam, elakkan makan terlalu berat dan pastikan mengambil hidangan makan malam yang seimbang sebelum mula bekerja malam.
  • Sediakan snek sihat di tempat kerja.
  • Dapatkan rehat yang cukup.
  • Dapatkan nasihat perubatan dan pemakanan secara teratur.