Tuesday 29 November 2011

Terapi Tingkahlaku Masalah Obesiti Membantu Seisi keluarga

Antara cabang terapi yang penting bagi permasalahan obesiti ialah terapi tingkah laku kognitif. Kajian terbaru mengemukakan bahawa terapi ini bukan hanya membantu ahli keluarga yang bermasalah tetapi juga membantu penjagaan pemakanan bagi ahli keluarga yang lain.
Terapi ini memfokuskan kepada perubahan cara berfikir dan tingkah laku terhadap pemakanan dan gaya hidup serta memberi saranan praktikal bagi perubahan positif seperti mengenalpasti pengambilan kalori harian dan membina diari pemakanan.
Kajian soal selidik dijalankan terhadap 149 pesakit obes yang menjalani terapi ini di University of Bologna, di mana ia melibatkan 12-15 perjumpaan mingguan kumpulan. Secara puratanya, keluarga yang terlibat telah mengurangkan sekurang-kurangnya 200kcal dari pengambilan harian mereka, serta pengambilan makanan kurang lemak dan karbohidrat ringkas telah berkurang, di samping peningkatan pengambilan buah-buahan.
Dan seterusnya, pengurangan kalori ini membawa kepada penurunan melebihi 1 kilogram. kebanyakannya mengalami penurunan berat badan 3 kg. Di samping itu, terdapat sebahagian dari keluarga yang bertukar dari status obes ke berlebihan berat badan/overweight.
Saranan penurunan berat badan secara sihat untuk individu obes bukanlah hal yang remeh-temeh. Ia bukan hanya melibatkan individu sahaja tetapi juga melibatkan keluarga individu tersebut. Bagi ibu bapa yang mengalami obes, jalan penyelesaian terbaik ialah merubah gaya hidup dan pemakanan supaya anak-anak juga turut sama dalam perubahan.
Bertindak sebelum terlambat. Individu obes bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan metabolik bahkan menarik sama anak-anak atau keluarga dalam risiko menghidap pelbagai jenis penyakit.
Terapi diet dan gaya hidup adalah intipati perubahan jangka masa panjang serta menjamin kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti. Antara kita mungkin, memilih jalan singkat untuk menurunkan berat badan seperti pengambil pil, supplemen diet, teh pelansingan badan, terapi laser dan banyak lagi. Tetapi, adakah anda pasti pilihan anda mampu menjamin perubahan gaya hidup dan pemakanan jangkamasa panjang?
Jawapan di tangan anda. Pastikan terapi yang dipilih selamat untuk digunakan serta kenalpasti kesan sampingan jangka masa pendek dan panjang. Anda bukan hanya mahu berat badan ideal dalam sebulan atau 2 bulan tetapi untuk seumur hidup.
Jadi, dapatkan nasihat pegawai perubatan dan pakar pemakanan dalam menentukan kualiti penjagaan kesihatan anda.

Selamat Maju Jaya!

Tuesday 15 November 2011

Saranan Pemakanan Bayi (8-12 bulan)

Susu Ibu atau Formula perlu diberi 3-4 kali sehari untuk bayi berusia 8-10 bulan. Pada usia ini, bayi sudah bersedia untuk menerima daging yang dikisar halus. Bagi bayi yang menerima susu ibu, mulakan pemberian daging pada usia 8 bulan (susu ibu tidak mengandungi zat besi yang mencukupi, tetapi bayi mempunyai simpanan zat besi yang cukup hingga usia 8 bulan).
Cuba berikan hanya 1 jenis daging dalam semingggu, 3-4 sudu makan sehidangan. Gunakan daging yang dikisar halus. Manakala untuk pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula ditingkatkan ke 3-4 sudu makan, 4 kali sehari. Telur boleh diberikan 3-4 kali seminggu, tetapi hanya beri telur kuning sehingga bayi mencecah 1 tahun. Ini kerana bayi mungkin sensitif dengan telur putih.
Pada umur 1 tahun, kanak-kanak perlu belajar minum menggunakan cawan plastik atau 'sippy cup' dan berhenti menggunakan botol susu. Jika masih menggunakan botol, pastikan ia hanya mengandungi air kosong.

Saranan Pemakanan Bayi (6-8 Bulan)

Untuk bayi berusia 6-8 bulan, penerusan susu ibu adalah digalakkan atau susu formula 3-5 kali sehari. Susu lembu tidak disarankan untuk kanak-kanak berusia 1 tahun ke bawah (American Academy of Paediatrics).
Bayi akan mula minum sedikit susu apabila makanan pepejal mula diperkenalkan.
Setelah bayi sudah mula mencuba pelbagai jenis makanan bayi, cuba perkenalkan buah-buahan atau sayur-sayuran.

  • Untuk buah-buahan dan sayur-sayuran, perkenalkan 1 jenis pada satu masa dan tunggu dalam masa 2-3 hari untuk mengenalpasti reaksi alahan.
  • mulakan dengan sayur-sayuran seperti kacang pis, ubi kentang, lobak merah, ubi keledek, ubi bit, squash serta buah-buahan seperti pisang, epal, aprikot, pir, pic dan betik.
  • Pakar pemakanan ada menyarankan untuk memulakan dengan sayur-sayuran sebelum buah-buahan, kerana buah-buahan mempunyai rasa manis manakala sayur-sayuran sebaliknya.Jadi, bayi akan belajar makanan yang kurang manis terlebih dahulu.
  • Berikan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam 2-3 sudu makan (4 hidangan sehari).
Saiz hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah di antara 2 sudu makan hingga 2 cawan sehari bergantung kepada saiz badan dan penerimaan kanak-kanak. Konsistensi juga bergantung kepada penerimaan kanak-kanak dan seelok-eloknya dimulakan dari cair ke pepejal.
Makanan jejari boleh diberi dalam kuantiti yang sedikit, tetapi elakkan makanan seperti hirisan atau potongan epal, anggur, sosej, mentega kacang, popcorn, kekacang, bijian, gula-gula dan sayur keras. Makanan seperti ini mampu mengundang risiko tercekik.

Sayur-sayuran yang di masak sampai lembut, buah-buahan yang dibasuh dan dikupas, biskut rusk bayi, biskut beras bayi adalah contoh makanan jejari yang baik. Makanan bergaram atau bergula adalah tidak digalakkan.
Bayi pada usia ini juga gemar menggigit akibat kegatalan pada gusi semasa pertumbuhan gigi, jadi makanan jejari mampu melegakan kegatatalan gusi.

Saranan Pemakanan Bayi (0-6 bulan)

Dari kelahiran hingga usia 4 bulan

4-6 bulan pertama, bayi hanya memerlukan susu ibu atau susu formula yang bernutrisi lengkap. Bayi menyusu badan memerlukan penyusuan 8-12 kali sehari (setiap 2-4 jam) atau mengikut permintaan bayi. Pada usia 4 bulan, penyusuan mungkin akan berkurangan ke 4-6 kali sehari tetapi jumlah susu yang diterima akan bertambah di setiap sesi penyusuan.
Bayi yang menerima susu formula memerlukan penyusuan 6-8 kali sehari, 2-3 oz sekali untuk bayi baru lahir bagi mendapatkan 16-24 oz sehari. Seterusnya, jumlah susu perlu ditingkatkan ke 6-8 oz sehari.
Jangan beri madu kepada bayi kerana ia mungkin mengandungi spora pengakibat botulism. sistem pertahanan bayi masih belum matang untuk melawan penyakit ini.
walaupun bayi tidur sepanjang malam, bayi mungkin perlu dikejutkan untuk penyusuan jika bayi kekurangan berat badan dan tidak mendapat penyusuan maksima di waktu siang. 

Usia 4-6 bulan

Pada usia 4-6 bulan bayi memerlukan 28-45 oz susu formula, dan selalunya bayi pada usia ini sudah bersedia untuk menerima makanan pepejal. Tetapi pemberian makanan pepejal semasa bayi belum bersedia secara fizikal akan mendedahkan bayi kepada risiko tercekik. 
Terdapat beberapa tanda perkembangan yang menunjukkan bayi sudah bersedia untuk makan:
  •  Berat badan dua kali ganda berat lahir.
  • Bayi sudah mampu mengawal otot kepala dan leher.
  • Bayi boleh duduk tanpa bantuan.
  • Bayi sudah mula menunjukkan keengganan untuk makan seperti mengalihkan kepala atau menutup mulut.
  • Bayi menunjukkan minat terhadap makanan yang dimakan orang lain.
Mulakan pemberian makanan pepejal seperti bijirin nasi bayi diperkaya dengan zat besi yang dicampur dengan susu ibu atau formula. Makanan yang disediakan hendaklah cair dan semakin pekat bergantung kepada penerimaan bayi.
  •  Pada awalnya, berikan 1 atau 2 sudu makan bijirin (sukatan kering sebelum di campur dengan susu) 2 kali sehari.
  • Sukatan ditambah ke 3-4 sudu makan secara berperingkat-peringkat.
  • Bijirin tidak boleh diberi melalui botol kecuali atas nasihat doktor atau pakar pemakanan.
 Setelah bayi menerima bijirin nasi secara rutin, anda boleh cuba untuk memberi jenis bijirin diperkaya zat besi yang lain. Perkenalkan bijirin satu jenis seminggu bagi mengenalpasti reaksi alahan.