Wednesday 19 October 2011

Ibu & Bayi : Asid Folik mencegah kelewatan pertuturan di kalangan kanak-kanak.

Bakal ibu yang dikasihi,
Sememangnya proses mengandung dan seterusnya bersalin bukan proses yang senang dan menyenangkan bagi sebahagian dari kita. Tetapi menjadi tanggungjawab kita dalam menjamin penerusan generasi akan datang, jadi kualiti penjagaan diri dan makhluk ciptaan Allah azzawajalla dalam perut kita perlu dititik beratkan sebagaimana sepatutnya. Berbanding dengan ibu-ibu generasi terdahulu, ibu-ibu generasi milenium mendapat akses maklumat yang lebih terperinci dan perkhidmatan perubatan dan pemakanan yang terkini. Salah satu elemen pemakanan sewaktu mengandung ialah pengambilan supplemen asid folik. Mungkin, sebahagian dari kita bersikap acuh tidak acuh dalam pengambilan supplemen. Tetapi, berdasarkan kajian terkini menyifatkan pengambilan asid folik dari diet harian sahaja tidak mencukupi. Asid folik bukan sahaja mencegah penyakit saraf seperti spina bifida tetapi juga memainkan peranan dalam perkembangan keupayaan bertutur kanak-kanak.

Supplemen Asid Folik yang diambil ibu mengandung dari 4 minggu sebelum kehamilan ke 8 minggu selepas kehamilan berkait secara signifikan dengan penurunan prevalens kelewatan pertuturan yang teruk dikalangan kanak-kanak. (Berdasarkan kajian yang diterbitkan pada isu Oktober 12, JAMA).


"Kelewatan pertuturan yang teruk berkait rapat dengan pelbagai gangguan neuropsychiatric kanak-kanak, seperti autisma, juga berkait dengan kesukaran membaca dan menulis", Ketua Pengarang Christine Roth, ClinPsyD, dari Norwegian Institute of Public Health di Oslo.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan asid folik sebelum kehamilan mengurangkan risiko kecacatan tiub neural, tetapi tiada kajian yang melaksanakan pemerhatian tentang perkaitan supplemen dengan kesan keatas perkembangan saraf yang hanya boleh diperhatikan selepas melahirkan bayi.
Analisis melibatkan 19,956 kanak-kanak lelaki dan 18,998 kanak-kanak perempuan. Penyelidik mendapati bahawa 0.5% (204 kanak-kanak) mengalami masalah kelewatan pertuturan (penggunaan bahasa yang terhad, hanya 1 patah perkataan atau perkataan yang tidak difahami). Dari 9052 kanak-kanak yang ibunya tidak mengambil supplemen asid folik, dilaporkan 81 kanak-kanak (0.9%) mengalami masalah pertuturan yang teruk. Tetapi dari 7127 kanak-kanak yang ibunya mengambil supplemen asid folik, hanya 28 kanak-kanak (0.4%) mengalami masalah pertuturan.


Saranan pengambilan 0.4mg supplemen asid folik setiap hari sebulan sebelum hamil dan diteruskan pengambilan pada bulan ke-2 dan ke-3 kehamilan perlulah dititikberatkan. Meskipun begitu, penyelidik tetap menyarankan kajian selanjutnya dilaksanakan bagi memastikan lebih banyak kajian yang akan membantu dalam membina polisi pemakanan semasa kehamilan.
Sementara Supplemen asid folik menjadi sumber pemakanan penting semasa mengandung, jangan dilupakan tentang kepentingan pemakanan yang seimbang dan lengkap dari diet seharian. Tingkatkan pengambilan asid folik dari diet seharian dengan pemilihan makanan yang kaya dengan asid folik seperti sayuran berdaun (bayam,brokoli dan kubis), okra, asparagus, buah-buahan (pisang, tembikai dan lemon), kekacang, yis, cendawan, daging, jus oren dan tomato. Terdapat juga makanan dipasaran yang diperkaya dengan asid folik seperti roti, susu, bijirin dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment