Tuesday, 27 December 2011

Makanan Organik VS Makanan Konvensional

Makanan organik semakin popular dikalangan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat cina. Pengeluaran produk makanan organik mendapat tempat di pasaran seluruh duni sejak separuh pertama abad ke-20. Di mana, isu makanan organik menaikkan industri pertanian organik dengan harapan ia mampu membantu pesakit kanser, penyediaan makanan lebih baik, sihat serta selamat.
Makanan organik dihasilkan menerusi kaedah yang tidak melibatkan penggunaan:

  • racun perosak
  • baja kimia
  • pelarut kimia
  • Perasa tambahan kimia
  • tidak mengandungi organisma yang dimodifikasi secara genetik
Sebagai alternatif, sistem pertanian organik menggunakan najis haiwan dan tumbuhan serta racun perosak biologikal.
Secara tidak langsung, ia meningkatkan keprihatinan pengguna terhadap kesihatan diri, persekitaran, nilai pemakanan, kualiti pemakanan dan keselamatan makanan yang dibeli.
Beberapa kajian ditebitkan untuk membandingkan makanan yang dihasilkan secara organik dengan makanan yang dihasilkan secara konvensional. Perbandingan melibatkan nilai pemakanan, kualiti sensori, keselamatan makanan dan kaitan dengan kesihatan.
Hasilnya, berdasarkan beberapa kajian mengenai perbandingan nilai karetenoid dalam makanan bayi, kajian kandungan phenolik dalam jus tomato, dan kajian pemakanan dan pencemaran sayur-sayuran :
  1. Makanan organik memberi nilai sensori yang jauh lebih tinggi, kandungan racun perosak dan pelarut kimia yang rendah, nilai nutrien dan kandungan phytokimia pelindung yang tinggi serta jumlah nitrat yang  lebih rendah berbanding makanan konvensional.
  2. Makanan organik mempunyai nilai zat besi, magnesium, fosforus dan vitamin C yang lebih tinggi berbanding makanan konvensional.
  3. Sayur-sayuran dan buah-buahan organik dijangkakan mempunyai kesan kesihatan yang lebih positif berbanding tanaman konvensional.
  4. Di samping itu, makanan bayi organik secara umumnya memiliki jumlah karetenoid yang lebih rendah berbanding makanan bayi konvensional.
Kesimpulannya, makanan organik menunjukkan ia lebih bermanfaat berbanding makanan konvensional dalam pelbagai aspek.

Ubat penurunan berat badan : Apa yang anda perlu tahu?

Langkah terbaik untuk penurunan berat badan sememangnya melalui senaman konsisten dan pemakanan atau diet sihat. Meskipun begitu, terdapat individu yang mengalami masalah berat badan dan komplikasi perubatan, ubat penurunan berat badan mungkin membantu.

300190_298593200165482_217213104970159_1171884_1566420243_n[1]Siapa yang boleh mengambil ubat penurunan berat badan?
Ubat sebegini tidak sesuai untuk semua individu berlebihan berat badan. Ia adalah sebagai alternatif untuk individu:

  • Indeks Jisim Tubuh (IJT) melebihi 30
  • IJT melebihi 27 dengan masalah perubatan berkaitan obesiti (seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan sebagainya).
Ubat ini perlu digunakan bersama dengan kombinasi diet rendah kalori dan senaman konsisten.

Apakah jenis-jenis ubat yang terdapat di pasaran?
FDA mengkelaskan ubat penurunan berat badan kepada dua kumpulan utama : Penahan selera makan dan Perencat Penyerapan lemak.
Ubat penahan selera termasuk Phentermine (Adipex-P, Suprenza), Diethylpropion (Tenuate, Tenuate Dospan) dan Benzphetamine (Didrex). Ia hanya dipreskripsi untuk penggunaan jangka masa pendek (beberapa minggu atau bulan). Ia menggalakkan penurunan berat badan secara pengurangan selera makan atau meningkatkan rasa kenyang.
Kesan sampingan : meningkatkan kadar denyutan jantung, tekanan darah, kesukaran untuk tidur, kurang rehat, gemuruh, pening kepala, sembelit, dan kering mulut.

Manakala untuk ubat perencat penyerapan lemak pula, boleh didapati dengan nama generik Orlistat dan dikenali dengan nama Xenical or Alli. Alli adalah versi Xenical yang dikurangkan dos kekuatan serta dijualkan sebagai over the counter (OTC). Hanya ubat Orlistat yang diluluskan untuk penggunaan jangka masa panjang. Orlistat akan menghalang penyerapan sebahagian lemak yang dimakan dan dibuang melalui najis.

Jadi, ia mengurangkan pengambilan kalori dan menyebabkan penurunan berat badan. Orlistat perlu di ambil bersama dengan diet rendah kalori, rendah lemak. Disamping itu, individu juga disarankan untuk mengambil multivitamin kerana ia mengurangkan penyerapan vitamin larut lemak (A,D,E dan K).
Kesan sampingan : kekejangan usus, najis berlemak/minyak, cirit-birit, lemah badan, kekuningan pada mata dan kulit, pergerakan usus yang lebih kerap dan kesukaran untuk mengawal pergerakan usus.
Buat masa ini, FDA sedang menganalisa Orlistat akibat laporan kemungkinan risiko kecederaan hati. Hingga sekarang, masih belum terdapat bukti kaitan yang boleh dikaitkan.
Baru-baru ini, FDA juga menarik balik ubat yang diluluskan seperti Sibutramine (Meridia, Reductil) dari pasaran di beberapa buah negara kerana ia dikaitkan dengan risiko penyakit jantung (strok dan serangan jantung non-fatal).

Berapa jumlah penurunan berat badan yang dianggarkan?
Pengambilan ubat ini bersama dengan diet rendah kalori serta amalan bersenam konsisten akan mengurangkan berat badan sebanyak 5-10% dalam masa setahun. Kebanyakan penurunan berat badan akan berlaku dalam masa enam bulan pertama. Meskipun begitu, kebanyakan individu yang terlibat akan mengalami kenaikan berat badan setelah berhenti mengambil ubat tersebut.

sebelum anda mengambil sebarang ubat menurunkan berat badan, adalah dinasihatkan supaya berbincang dengan pegawai perubatan terlebih dahulu. Pegawai perubatan akan mengambil kira sejarah kesihatan, kesan sampingan dan kemungkinan interaksi ubat dengan ubat-ubatan lain yang di ambil.

Tuesday, 20 December 2011

Kelebihan Menggoreng Menggunakan Minyak Zaitun

Kebanyakan dari kita gemar menikmati makanan bergoreng. French fries, nugget ayam, chicken chop, fish and chips, ikan goreng, ayam KFC dan sebagainya. Menggoreng adalah kaedah memasak tertua dan digunakan seantero dunia. Makan makanan bergoreng yang sihat bergantung kepada jenis minyak yang digunakan. Minyak zaitun adalah salah satu alternatif bijak untuk menggantikan minyak sayuran.
Apakah faktor yang membuatkan minyak zaitun lebih baik?


" Smoke Point" atau Titik Asap Minyak


Menggoreng merujuk kepada proses memasak makanan dalam minyak atau lemak menggunakan haba. 
Semasa memasak, adalah penting untuk memastikan minyak atau lemak yang digunakan tidak dipanaskan melepasi titik asap. Titik asap atau 'smoke point' merujuk kepada suhu dimana minyak atau lemak masakan mula berpecah. Minyak terbakar akan menghasilkan asap kebiruan dan bau busuk serta rasa yang kurang enak. Lemak dan minyak mempunyai titik asap yang berbeza. Sebahagian minyak mempunyai titik asap yang rendah dan selebihnya lebih tinggi. Jadi, "deep-frying" atau menggoreng dengan suhu tinggi memerlukan penggunaan minyak bertitik asap tinggi.



Titik asap bagi minyak tertentu berubah bergantung kepada proses 'refinement' atau penapisan. Proses ini membuang kekotoran dari minyak dan meningkatkan titik asap. Sebagai contoh, titik asap bagi minyak zaitun tertapis (246°C) lebih tinggi dari Minyak zaitun Extra-virgin (210°C). Menggunakan minyak lebih dari sekali akan menurunkan titik asap minyak tersebut.

Berdasarkan International Olive Oil council (IOOC) " Minyak zaitun adalah minyak paling stabil yang membawa maksud ia mampu menahan suhu menggoreng yang tinggi. Titik asapnya yang tinggi melebihi suhu ideal menggoreng (356°F or 180°C). Kebolehcernaan minyak zaitun tidak berubah setelah dipanaskan, bahkan setelah digunakan beberapa kali untuk proses menggoreng".


Terdapat minyak yang menghasilkan bahan berbahaya setelah dipanaskan

Proses menggoreng mempercepatkan perubahan kimia yang berlaku pada minyak atau lemak. Semasa memasak, beberapa lemak atau minyak yang kurang resistan terhadap haba akan pecah membentuk bahan toksik.
Lemak dan minyak terdiri dari molekul asid lemak yang diklasifikasikan dengan 3 kategori:
asid lemak tepu, mono tak tepu dan poli tak tepu.
Asid lemak terdiri dari rantai panjang karbon yang terikat antara satu sama lain. Setiap atom karbon terikat pada sepasang atom hidrogen. Lemak dikira tepu apabila ia terikat pada semual atom hidrogen, menjadi mono tak tepu apabila satu atom hidrogen hilang dan poli tak tepu apabila hilang dua atau lebih atom hidrogen.
Apabila atom hidrogen hilang, asid lemak menjadi semakin tidak stabil dan aktif secara kimia. Poli tak tepu adalah bentuk paling tidak stabil dan paling cenderung mengalami perubahan.
Apabila dipanaskan, minyak tinggi poli tak tepu membentuk bahan berbahaya seperti radikal bebas dan 4-hidroksi-trans-2-nonenal (juga dikenali HNE). Kajian menunjukkan HNE meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, parkinson's dan kanser.
Minyak poli tak tepu termasuk minyak kacang soya, jagung dan bunga matahari.
Minyak zaitun extra virgin dan minyak zaitun tertapis kedua-duanya tinggi dengan minyak mono tak tepu. Jadi, ia lebih resistan terhadap perubahan kimia.

Lain kelebihan minyak zaitun
Semasa proses menggoreng menggunakan minyak zaitun, ia membentuk lapisan pada permukaan makanan. Lapisan ini menghalang kemasukan minyak serta meningkatkan kualiti rasa. Jadi, makanan menjadi lebih ranggup dan bahagian dalam akan masak sepenuhnya. Makanan yang digoreng juga kurang berminyak, menjadikan ia sesuai bagi penjagaan kesihatan dan berat badan.

Minyak terbaik
Berdasarkan info yang diberikan, minyak terbaik untuk penyediaan makanan ialah:
Untuk pemanasan suhu tinggi (menggoreng, menumis) : Minyak zaitun tertapis kerana ia tinggi titik asap dan kurang kandungan lemak poli tak tepu.

Untuk pemanasan medium : Minyak zaitun tertapis atau extra virgin

untuk salad dressing : minyak zaitun extra virgin

Cadangan
Bagi golongan berkemampuan sememangnya tidak susah untuk mendapat dan menggunakan minyak zaitun bagi tujuan memasak tetapi mungkin tidak bagi golongan berpendapatan rendah. Jadi, mesejnya disini adalah untuk mengurangkan penggunaan minyak bagi memastikan penjagaan kesihatan optima tidak kira mana golongan sekalipun.
Meskipun minyak zaitun menjadi alternatif bijak bagi penggemar makanan bergoreng tetapi bukanlah menjadi alasan untuk makan dengan sewenang-wenangnya. 
Jumlah atau saiz hidangan masih perlu dijaga dan lebih banyak kaedah memasak yang lebih sihat seperti merebus, memanggang, stim dan sebagainya. Perbanyakkan kaedah memasak yang lebih sihat berbanding masakan bergoreng dan berminyak.

Lemak Trans Meningkatkan Risiko Kemurungan

Pengambilan Asid lemak tidak tepu trans (TFA atau lemak trans) dikaitkan dengan peningkatan risiko kemurungan. Sebaliknya, minyak zaitun, asid lemak mono tidak tepu dan poli tidak tepu memberi kesan perlindungan serta menurunkan risiko kemurungan, cadang kajian terbaru.
Penyelidik Spain dari University of Las Palmas de Gran Canaria menjalankan kajian perbandingan mengemukakan bahawa individu yang mempunyai paras lemak trans yang tinggi, mengalami 48% kenaikan risiko kemurungan.
Penemuan ini mencadangkan terdapat kaitan di antara penyakit kardiovaskular dan kemurungan dari aspek elemen pemakanan serta pengambilan lemak.
"keputusan sebegini tidaklah mengejutkan dan saya fikir mesej yang ingin dibawa sangat jelas :' cuba untuk makan secara sihat" pengarang kajian Almudena Sanchez-Villegas, PhD.

" Elakkan beberapa jenis lemak seperti lemak trans dan lemak tepu, dan meningkatkan pengambilan lemak poili dan mono tak tepu. Lebih baik kita mengambil minyak zaitun berbanding marjerin atau mentega, tenusu rendah lemak berbanding tinggi lemak, dan ikan berbanding daging atau produk daging. Elakkan makanan ringan dan terproses serta bakeri komersial dan cuba untuk tingkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang" tambah beliau lagi.
Dengan mengikuti saranan ini, tambah beliau, bukan sekadar melindungi diri dari penyakit kardiovaskular tetapi juga penyakit mental.

150 Juta terjejas

" Kemurungan menjejaskan lebih dari 150 juta individu seluruh dunia. walaubagaimanapun, secara relatif kajian longitudinal mengenai perkaitan dengan diet adalah sedikit" kata Dr Sanchez-Villegas.
Dr. Sanchez mengatakan kajian sebelum ini mencadangkan perkaitan dengan penyakit kardiovaskular dan kemurungan melalui keradangan, endotelial atau proses metabolik"
Kesan sampingan asid lemak trans terhadap penyakit kardiovaskular dikatakan berpunca dari peningkatan sitokin proinflamatori dan disfungsi endotelial. Kami memutuskan untuk menganalisa kemungkinan perkaitan antara lemak trans dan kemurungan kerana status inflamatori gred rendah dan disfungsi endotelial berlaku ke atas pesakit kemurungan.
Di samping itu, minyak zaitun mengandungi polifenol bioaktif bersama elemen penting anti-inflamatori/ keradangan yang mampu meningkatkan fungsi endotelium.

Kajian Dr.Jacka melaporkan diet "whole" atau penuh bercirikan sayur-sayuran,buah-buahan, bijirin penuh dan daging serta ikan berkualiti tinggi menurunkan masalah kemurungan dan kebimbangan. Ia juga mengemukan bahawa diet barat tinggi makanan terproses dan ringkas, di samping kuantiti lemak tepu yang tinggi boleh meningkatkan kemurungan.
Jadi, tidak rugi untuk makan dengan sihat. Benda baik jangan bertangguh~~

5 cara mengenalpasti Diet Fad

Kebanyakan jenis diet popular masa kini hanya mengambil kesempatan terhadap keinginan kita untuk turun berat badan dalam masa singkat. Malangnya, diet sebegini tidak berkesan.
Berikut adalah 5 klu atau cara mengenalpasti fad diet yang menjanjikan janji kosong tanpa keputusan yang memuaskan:
Diet yang berdasarkan pengambilan kalori rendah secara drastik.
Diet jenis kebuluran ini memerlukan badan kita untuk berpuasa dan selalunya dijanjikan dengan keputusan penurunan berat badan yang segera. Tetapi, tubuh badan kita tidak dijadikan dengan kemampuan untuk menurunkan berat badan dengan segera. Bahkan, doktor mengatakan ia hampir mustahil untuk individu sihat dan aktif untuk hilang berat lemak lebih dari 2-3 pound (1-1.5kg) seminggu meskipun melalui diet kebuluran.
"Keberkesanan" diet rendah kalori bergantung kepada reaksi semulajadi tubuh kita apabila kebuluran. Iaitu pengeluaran cecair badan. Jadi, kebanyakan diet yang menjanjikan kehilangan berat badan segera adalah bukan kehilangan lemak- tetapi cecair!. Dan badan akan menyerap semula air seperti span setelah individu kembali makan secara normal.
Diet yang berdasarkan pengambilan pil istimewa, serbuk atau herba.
Kebanyakan cara ini hanyalah gimik semata-mata- anda hanya akan kehilangan berat poket anda berbanding berat badan sendiri.
Banyak pil diet mengandungi agen laksatif atau diuretik yang memaksa badan kita mengeluarkan lebih banyak air. Sepertimana diet rendah kalori, kehilangan berat badan bukan disebabkan pembakaran lemak tetapi pengeluaran air dari badan.
Terdapat juga supplemen yang diklaim mampu meningkatkan kadar metabolisma, menyekat selera makan atau menyekat penyerapan lemak, gula atau karbohidrat. Kebanyakan supplemen diet tidak mempunyai bukti kukuh yang menyokong. Dan doktor menyatakan ia berisiko untuk diambil oleh remaja kerana tidak diketahui sejauh mana kesan penggunaannya ke atas tumbesaran.
Diet yang menyarankan pengambilan makanan spesifik atau kombinasi makanan tertentu.
Tiada bukti saintifik mengatakan saranan di atas berkesan. Dan mengehadkan pengambilan makanan tertentu menyebabkan anda tidak mendapat nutrien atau nilai pemakanan tertentu.

Diet yang memerlukan anda membuang terus lemak, gula atau karbohidrat dari pemakanan harian.
Menyekat pemakanan kita dari kumpulan makanan penting adalah idea yang tidak sesuai (terutamanya bagi individu masih membesar). Lebih elok jika kita makan dalam porsi atau hidangan kecil tetapi seimbang (hidangan yang sempurna dengan karbohidrat, protein, lemak, sayuran dan buahan). Bila badan kita memperolehi nutrien seimbang, kita telah mengurangkan kebarangkalian mengidam makanan!. Makanan dalam porsi kecil juga membantu kita mengamalkan cara pemakanan sihat serta membantu mengekalkan berat badan ideal.
Diet yang memerlukan anda untuk tidak mengambil hidangan dan menggantikan dengan minuman istimewa atau bar makanan.
Seperti diet yang menghalang kumpulan makanan tertentu, meninggalkan atau menggantikan hidangan membawa maksud anda tidak mendapat nilai pemakanan yang diperlukan untuk menyokong kesihatan badan. Tambahan pula, anda akan kehilangan nikmat menikmati makanan bersama rakan atau keluarga.

Monday, 19 December 2011

Apa sebenarnya Diet Fad?

Diet rendah karbohidrat adalah antara diet fad yang popular bagi pengamal diet penurunan berat badan. Samada Atkins, South Beach, The Zone atau regim tinggi protein yang lain. Pengamal mengalami penurunan berat badan apabila mengamalkan diet rendah karbohidrat seperti mentega, stik, dan sebagainya. Tren diet sentiasa berubah-ubah mengikut populariti masing-masing.
Apa yang ada pada diet fad? samada rendah karbohidrat, rendah kalori atau rendah lemak, selalunya terdapat gimik untuk meyakinkan keberkesanan diet tersebut.
Tapi tunggu! Adakah anda jumpa mana-mana individu yang mampu bertahan dengan diet tersebut dalam jangka masa yang lama? dan adakah mereka mengalami penurunan berat badan? jika ya, mampukah mereka bertahan dengan berat ideal setelah kembali kepada diet normal?
Cuba lihat diet fad di bawah, dan lihat berapa jenis diet yang telah anda cuba:

  • diet rendah karbohidrat
  • diet rendah lemak
  • diet cecair (menggunakan shakes rendah kalori tinggi serat)
  • diet grapefruit
  • diet detox
  • diet sup kubis
  • diet makrobiotik
  • diet jus
Jika anda pernah mengikut sekurang-kurangnya satu diet di atas, anda bukan berkeseorangan. Masalahnya ialah, jika diet tersebut berkesan kita akan amalkan dan kekalkannya. Tetapi realitinya, diet fad tidak berkesan untuk penurunan berat badan dan anda tidak akan bertahan dalam jangkamasa yang lama.
Jadi, apa yang berkesan? Ambil kalori sedikit yang anda mampu bakar. Itu sahaja, mudah dan ringkas. Setiap kalori akan diambil kira. Jika anda betul-betul mahu menurunkan berat badan, langkah terbaik ialah makan pelbagai jenis makanan sihat, bersenam 60 minit sehari dan berhenti menambahkan saiz makanan dan hidangan anda!
Definisi diet fad sangat objektif. Diet fad dianggap diet penurunan berat badan yang tidak sihat dan selalunya popular dalam masa yang singkat dan dilupakan dalam masa yang singkat juga.
Sebahagian pakar nutrisi mendefinisikan diet fad secara berikut:
  • saranan yang menjanjikan penyelesaian singkat 
  • amaran ringkas mengenai bahaya produk atau regim
  • klaim atau penyataan yang dirasakan "too good to be true".
  • kesimpulan ringkas yang diekstrak dari kajian kompleks.
  • saranan yang hanya berasaskan satu kajian
  • penyataan yang dikatakan dari organisasi saintifik
  • penyataan senarai makanan 'baik' dan 'buruk'
  • saranan atau testimoni yang dibuat bagi menjual produk 
  • saranan yang dibuat berdasarkan kajian yang diterbit tanpa diulas oleh penyelidik.
  • saranan yang dibuat berdasarkan kajian yang tidak mengambilkan perbezaan diantara individu atau kumpulan tertentu.
  • diet yang mengehadkan satu atau lebih jenis makanan dari lima kumpulan makanan.

Jom Diet Dan Jangan Tipu!

Bagi yang cuba untuk menurunkan berat badan secara sihat , terdapat dua elemen penting iaitu penjagaan pemakanan dan senaman yang konsisten. Elemen penjagaan pemakanan selalu menjadi topik hangat dan sebahagian individu yang dalam proses ber'diet' sering menipu kalori pemakanan yang di ambil seperti:

Semasa anda sedang menikmati sesuatu makanan, dan tiada orang melihat. Kalori makanan tersebut tidak perlu dikira.  --> jika anda makan dalam gelap tanpa sesiapa melihat dan anda pun tidak mampu melihat makanan tersebut, makanan tetap masuk dalam perut. Dalam erti kata lain, kalori tetap masuk dalam badan anda. 


Jika anda minum diet soda bersama gula-gula, kalori gula-gula akan ter'cancel' oleh diet soda. --> tiada istilah 'cancel--meng'cancel', istilah yang perlu digunapakai ialah ' all or none'. Selagi makanan masuk dalam perut kalori pasti dikira.

Jika anda makan bersama teman, kalori tidak akan dikira jika anda makan kurang dari teman anda.>boleh ke macam tu? anda tetap makan bukan?
  

Makanan yang digunakan bagi tujuan perubatan tidak akan dikira kalorinya seperti coklat panas, brandy, teh halia, oat dan sebagainya. --> ia tetap makanan dan berkalori.

Jika anda menggemukkan orang disekeliling anda, anda akan nampak kurus. --> dan realitinya anda tetap gemuk! dan lebih teruk anda ajak orang untuk jadi gemuk. 
Makanan semasa menonton filem atau wayang (Popcorn bermentega, gula-gula, coklat, potato chips, air berkarbonat etc) tidak mempunyai kalori tambahan kerana ia adalah sebahagian pakej hiburan bukan sebagai sumber tenaga. --> pakej hiburan? ia termasuk dalam pakej kalori (no doubt!). 
Biskut atau Cookie tidak mempunyai lemak--> proses pemecahan biskut menyebabkan lemak terkeluar. --> pecahnya biskut secara fizikal atau zahirnya, bukan pecah lemak. Lemak tetap dalam cebisan-cebisan biskut.

Makanan yang dijilat dari pisau, sudu atau senduk tidak mempunyai kalori jika anda sedang menyediakan makanan. Sebagai contoh mentega kacang di pisau sapuan semasa menyediakan sandwic dan ais krim pada sudu semasa menyediakan sundae. --> makin banyak jilat makanan, makin banyak kalori yang diambil.

Makanan yang mempunyai warna yang sama juga memiliki nilai kalori yang sama. Contoh: bayam dan ais krim pistacio, mushroom dan coklat susu, tembikai dan jeli merah. --> takde maknenye! 

Makanan sejukbeku tidak mempunyai kalori kerana kalori ialah unit haba. Contoh seperti ais krim, pai sejuk beku dan popsicles. --> realiti yang amat perit untuk diterima. kalori ialah unit haba hasil dari pembakaran sumber tenaga utama karbohidrat, protein dan lemak. Jika dalam ais krim sejuk terdapat gula(karbohidrat) ia tetap kalori! 
Bar tenaga dan pelbagai bar yang lain akan membuatkan anda kurus. Sepanjang pengalaman saya bersenam (sekurang-kurangnya 3 kali setahun), hanya orang kurus yang makan bar tenaga. Jadi, ia mesti membuatkan kita kurus. --> jadi, jika anda melihat orang kurus teguk botol minyak, anda akan menganggap ia membuatkan kita kurus. 

Snickers adalah sama dengan bar tenaga. --> tidak sama! Bar tenaga adalah bar supplemen tenaga yang mengandungi bijirin dan makanan lain yang tinggi kalori. Difokuskan untuk individu yang memerlukan tenaga segera tetapi tiada masa untuk menikmati hidangan.
Merasa makanan orang lain tidak termasuk dalam pengiraan kalori. --> kalau merasa sedikit tidak mengapa (walaupun kalori masih dikira), tetapi jika merasa sama banyak dengan makan terus? 
 Bekas atau bungkusan makanan yang menyenaraikan bilangan hidangan makanan melebihi satu adalah menipu. Setiap bekas atau bungkusan terdapat hanya satu hidangan.Sebekas ais krim, sekotak bijirin, sebotol soda, sebungkus potato chip adalah satu hidangan setiap satu. --> Mentaliti yang bahaya! kuantiti hidangan adalah berdasarkan pengiraan  peratus keperluan harian am individu. jadi jika makan melebihi satu hidangan, anda mungkin akan makan untuk 3-4 orang dalam sehari. 

      Individu Obes Ambil Lebih Banyak Ubat

      Kajian terbaru oleh Centers for Disease Control and Prevention mengemukakan bahawa individu dewasa obes di United States menggunakan ubat preskripsi lebih kerap berbanding individu dewasa yang memiliki berat badan normal.
      Ubat-ubatan bagi merawat tekanan darah tinggi dan kolestrol mencatat rekod tertinggi. Secara kasarnya, satu pertiga individu dewasa obes berusia lebih 20 tahun menggunakan sekurang-kurangnya satu ubat menurunkan tekanan darah tinggi dan satu perlima menggunakan ubat menurunkan kolestrol, manakala 17% individu dewasa berat badan normal menggunakan ubat tekanan darah tinggi serta 10% menggunakan ubat kolestrol.
      "Keputusan kajian ini sudah dijangkakan dan bukanlah satu isu yang mengejutkan, penyelidik hanya meletakkan nombor bagi keputusan yang sudah dijangkakan" kata Dr. G Caleb Alexander, internist am di University of Chicago.
      Sampel kajian melibatkan 10,000 rakyat Amerika. Apabila penyelidik mengenalpasti ubat-ubatan dari kelas yang berbeza diantara tahun 2005 hingga 2008, lebih ramai individu obes mengambil 8 dari 10 ubat yang dikenalpasti.
      Selain dari ubat darah tinggi dan kolestrol, ubatan lain ialah ubat kencing manis, asma dan masalah tiroid, disamping ubat anti-kemurungan dan tahan sakit juga diambil oleh sebilangan besar individu obes.
      Hanya Hormon seks yang kurang di ambil oleh individu obes, dan sedatif digunakan sama banyak dengan individu dari kelas berat badan yang lain.
      Selain itu, individu obes juga cenderung menggunakan pelbagai jenis ubat dalam satu masa, walaupun penyelidik mengenalpasti situasi yang sama berlaku dikalangan dewasa berusia lebih 65 tahun (dalam semua kelas berat badan).
      Dikalangan semua wanita berusia melebihi 65 tahun, lebih dari 90% mengambil lebih dari satu ubatan, 65% mengambil tiga atau lebih ubatan dan 39% mengambil 5 atau lebih ubatan. Individu lelaki pada usia yang sama juga, mempunyai pengambilan ubat-ubatan lebih kurang sama dengan wanita berusia melebihi 65 tahun.

      FAQ Vitamin D

      Bagaimana supplementasi Vitamin D diberikan bagi populasi yang spesifik?
      Vitamin D penting bagi membantu penyerapan kalsium yang baik di usus. Kekurangan vitamin D yang kronik akan menurunkan kalsium serum dan memberi kesan ke atas perembesan hormon paratiroid. Ini seterusnya akan membawa kepada Hiperparatiroidism sekunder, yang menyebabkan mobilasi atau pengeluaran kalsium dari tulang. Seterusnya, menurunkan kepadatan mineral tulang. Kekurangan vitamin D kronik juga membawa kepada masalah lemah otot dan peningkatan risiko patah osteoporotik, riket dan osteomalacia. Jadi, kebanyakan supplementasi diberi bagi populasi yang mengalami masalah kekurangan.
      Vitamin D dalam bentuk manakah disarankan untuk penyakit buah pinggang kronik?
      Vitamin D dihasilkan secara endogenous dalam kulit dan ditukarkan kepada metabolit aktif dalam hati dan buah pinggang. Pendedahan kepada radiasi ultraviolet menyebabkan pertukaran provitamin D3 (7-dihidrokolestrol) dalam kulit kepada previtamin D3 yang seterusnya terisomer ke vitamin D3 (kolekalsiferol). Vitamin D3, samada dihasilkan dalam kulit ataupun diperolehi melalui pemakanan, akan terhidroksi dalam hati menjadi 25-hidroksivitamin D (25-OH VD). Ini adalah bentuk major vitamin D bagi pengesanan masalah kekurangan vitamin D.
      Proses hidroksilasi 25-OH VD akan berlaku di buah pinggang bagi membentuk 1,25-dihidroksivitamin D, bentuk vitamin D yang aktif secara biologikal. Juga dikenali sebagai kalsitriol. Jadi, bagi penyakit buah pinggang kronik, pembentukan kalsitriol lebih difokuskan berbanding Vitamin D2 dan D3 bagi perawatan kekurangan. Ini kerana proses hidroksilasi terakhir berlaku di buah pinggang.
      Dalam kes penyakit buah pinggang kronik adalah penting untuk mengenalpasti kadar penapisan glomerular (GFR) dan menentukan serum 25-OH VD, kalsium, fosforus dan paras hormon paratiroid bagi pemilihan regim optimal.
      Supplementasi Vitamin D memainkan peranan penting dalam pencegahan hiperparatiroidism sekunder di kalangan pesakit buah pinggang kronik. Berdasarkan National Kidney Foundation, supplementasi mestilah didasari oleh paras serum 25-OH VD, Tahap kegagalan buah pinggang, serta kewujudan hiperparatiroidism sekunder. Sebelum dan selepas supplementasi, kajian serum kalsium dan fosforus hendaklah dijalankan setiap 3 bulan. Jika paras mineral meningkat, supplementasi vitamin D mungkin perlu di berhentikan atau lakukan modifikasi dos.
      Masalah hiperparatitoidism sekunder selalunya berlaku pada tahap 3 atau 4 penyakit buah pinggang kronik (GFR 30-59 mL/min dan 15-29 mL/min), agen supplementasi yang disarankan ialah vitamin D sterol aktif (cth: kalsitriol atau parikalsitol). Supplementasi dimulakan apabila paras 25-OH VD serum menurun bawah 30 ng/mL. Dos Vitamin D sterol bergantung kepada paras 25-OH VD serum, hormon paratiroid, kalsium dan fosforus. Manakala, bagi penyakit buah pinggang kronik tahap 5 (GFR < 15 mL/min dan pesakit dirawat dengan hemodialisis atau dialisis peritoneal), supplemen vitamin D sterol lebih digalakkan berbanding Vitamin D2 atau D3.
      Walaubagaimanapun, jika masalah hiperparatiroidism sekunder tiada (selalunya bagi pesakit mempunyai GFR >60 mL/min atau hanya mengalami gangguan renal yang ringan), samada vitamin D2 atau D3 boleh diberikan. Kajian menyatakan bahawa vitamin D2 (ergokalsiferol) adalah kurang poten dan mempunyai reaksi jangkasmasa pendek berbanding D3 serta Vitamin D3 lebih berkesan dalam meningkatkan paras 25-OH VD.
      Jadi, kolekalsiferol lebih digalakkan untuk pesakit yang mempunyai gangguan renal normal atau ringan (GFR > 60 mL/min) dengan paras hormon paratiroid yang normal.
      Berapakah dos kolekalsiferol yang disarankan bagi mencegah masalah kekurangan?
      Beberapa saranan telah dikemukan oleh organisasi kebangsaan yang melibatkan saranan pelbagai amaun vitamin D. Laporan konsensus oleh Institut Perubatan baru-baru ini telah dikemukakan. Saranan menyatakan bahawa kebanyakan pesakit disarankan mengambil 600-800 IU vitamin D sehari. Walaubagaimanapun, dos yang lebih tinggi diperlukan bagi merawat masalah kekurangan vitamin D seperti paras 25-OH VD kurang dari 20 ng/mL. Supplementasi vitamin D penting dalam situasi dimana risiko kekurangan wujud seperti tinggal di hujung latitud utara atau kurang pendedahan solar, masalah penyerapan usus, pengunaan kortikosteroid, masalah kekurangan pemakanan kronik serta semasa mengandung. Meskipun begitu, saranan masih tertakluk pada paras 25-OG VD.

      Berapakah had pengambilan vitamin D?
      Untuk supplemen pemakanan, pesakit tidak boleh mengambil lebih dari 4000 IU vitamin D sehari, meskipun dos yang lebih tinggi diperlukan bagi merawat masalah kekurangan. Kebanyakan kes toksisiti berkaitan dengan paras 25-hidroksivitamin D lebih dari 88 ng/mL, paras yang melibatkan pengambilan 40000 IU atau lebih Vitamin D sehari. Tiada perubahan signifikan dari paras kalsium serum atau pengeluaran kalsium melalui urin direkodkan bagi pesakit yang mengambil 4000 IU Vitamin D3 sehari selama 5 bulan. Tambahan lagi, 100000 IU kolekalsiferol diberi kepada pesakit setiap 4 bulan selama 5 tahun adalah selamat.
      Penyediaan vitamin D yang manakah terdapat dalam cecair oral?
      Vitamin D3 (kolekalsiferol) terdapat dalam cecair pekat dalam kadar 400 IU ke 4000 IU setiap titik. Vitamin D2 (ergokalsiferol) juga terdapat dalam pelbagai formulasi cecair tetapi terhad secara komersial akibat majoriti penggunaan kolekalsiferol. Kalsitriol, vitamin D strol aktif terdapat dalam 1-µg/mL cecair oral.

      Sunday, 18 December 2011

      Antioksidan

      Antioksidan ialah bahan semulajadi yang mampu melindungi sel tubuh anda dari kesan radikal bebas. Radikal bebas ialah molekul yang dihasilkan apabila badan kita mencerna makanan, atau persekitaran seperti asap rokok dan radiasi. Radikal bebas boleh memusnahkan sel, dan berkaitan dengan penyakit jantung, kanser dan penyakit lain.
      Bahan antioksidan termasuk:

      Beta karoten
      Salah satu pigmen dalam kumpulan merah, jingga dan kuning dipanggil karotenoid. Beta karoten dan karotenoid lain menyumbang kira-kira 50% Vitamin A yang diperlukan seharian. Beta karoten boleh ditemui dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Ia juga boleh dihasilkan dalam makmal.
      Ia digunakan untuk mengurangkan simptom asma akibat bersenam, pencegah kanser, penyakit jantung, katarak dan Makular degenerasi berkaitan umur, dan rawatan AIDS, alkoholism, penyakit alzheimer's, kemurungan, sawan, pening kepala, pedih ulu hati, tekanan darah tinggi, kemandulan, penyakit Parkinson, rheumatoid artritis, schizophrenia dan gangguan kulit termasuk psoriasis dan vitiligo.
      Lutein
      Dipanggil vitamin karotenoid, ia berkait rapat dengan beta-karoten dan vitamin A. Makanan tinggi lutein termasuklah brokoli, bayam, kale, jagung, lada jingga, kiwi, anggur, jus oren, zuchini, dan squash. Lutein dianggap sebagai vitamin untuk mata untuk mencegah penyakit mata termasuk Makular degenerasi berkaitan umur, katarak dan pigmentosa retinitis.

      Lycopene
      Pigmen yang memberi warna merah kepada buah-buahan atau sayur-sayuran seperti tomato, grapefruit dan tembikai. Terdapat kajian yang mengatakan pengambilan makanan tinggi lycopene mempunyai kaitan dengan penurunan risiko kanser prostat dan penyakit kardiovaskular.
      Lycopene tidak dihasilkan didalam badan, jadi ia hanya diperolehi melalui makanan. Tomato adalah sumber lycopene utama dalam makanan.


      Selenium
      Mineral yang ditemui dalam tanah. Wujud secara semulajadi dalam air dan beberapa makanan. Manusia hanya perlukan sedikit selenium bagi proses metabolism. Selenium dikatakan mempunyai elemen antioksidan yang mencegah kemusnahan sel.
      Vitamin A (Retinoid)
      Vitamin yang menjadi kunci kepada sistem imun serta pertumbuhan sel yang sihat. Terdapat dua jenis vitamin A. Kebanyakan perbincangan menfokuskan vitamin A aktif Retinoid dari produk haiwan. Beta karoten adalah jenis kedua vitamin A dari sumber tumbuhan.
      Kebanyakan individu mampu mencapai keperluan vitamin A yang cukup melalui pemakanan harian. Dos antioksidan yang tinggi (termasuk vitamin A) menyumbang kepada kemudaratan berbanding manfaat. Supplemen vitamin A sahaja atau kombinasi dengan antioksidan yang lain dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian dari pelbagai sebab.

      Vitamin C (Asid Askorbik)
      Vitamin yang membantu dalam membaiki tisu badan dan tulang. Kebiasaannya, ia digunakan dalam rawatan selsema meskipun bukti berkaitan masih kurang. Kebaikan antioksidan Vitamin C masih kurang jelas, kebanyakan kajian tiada bukti kukuh tentang kaitan vitamin C dengan kanser, strok, asma dan penyakit lain. Bahkan, ada bukti kukuh yang membuktikan ia tidak membantu dala perawatan katarak atau tinggi kolestrol.

      Vitamin E
      Vitamin yang berperanan untuk menguatkan sistem imun serta kesihatan kulit dan mata. Kebelakangan ini, Vitamin E popular sebagai antioksidan yang mencegah kemusnahan sel. Tetapi kajian demi kajian dijalankan dengan keputusan yang mengecewakan, yakni vitamin E tidak mampu mencegah penyakit kanser, jantung, diabetes, alzheimer, katarak dan lain-lain lagi.


      Antioksidan boleh ditemui dalam banyak makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin dan sebahagian daging, ayam dan ikan.

      Thursday, 15 December 2011

      Baik buruk antioksidan. Supplemen atau Diet?

      Antioksidan popular secara umum dalam tahun 1990-an, apabila saintis mula memahami bahawa kemusnahan radikal bebas terlibat di tahap awal penyumbatan salur darah dan menyumbang kepada kanser, hilang penglihatan, dan punca kepada penyakit kronik yang lain.
      Beberapa kajian menunjukkan individu yang mengambil sedikit antioksidan dari buah-buahan dan sayur-sayuran berisiko tinggi mendapat penyakit kronik. Percubaan klinikal dimulakan dengan mengkaji impak komponen seperti beta-karoten dan vitamin E sebagai senjata melawan penyakit jantung, kanser dan sebagainya. Bahkan sebelum keputusan kajian ini dikeluarkan, pusat membeli belah dan farmasi, serta media sudah dipenuhi dengan label kelebihan antioksidan. Beri sejuk beku, teh hijau dan makanan lain dilabelkan  sebagai makanan tinggi antioksidan. Pembuat supplemen mula menyatakan klaim bahwa produk mereka mampu mencegah penyakit.
      Kebanyakan kajian melaporkan vitamin E dan supplemen antioksidan tidak mampu melindungi pengguna dari penyakit jantung atau kanser. Bahkan, terdapat kajian menunjukkan pengambilan beta-karoten mampu meningkatkan risiko kanser peparu di kalangan perokok serta penurunan kadar kognitif.
      Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan kadar risiko penyakit kanser kulit lebih tinggi dikalangan wanita yang mengambil vitamin C, beta-karoten, selenium dan zink.
      Tetapi keputusan kajian sebegini tidak membantutkan syarikat dan penjual makanan serta supplemen dari menggembar-gemburkan kebaikan antioksidan.Keuntungan 500 million dollar direkodkan bagi penjualan supplemen antioksidan dan ia semakin bertambah dari tahun ke tahun.
      Selalunya klaim pasaran akan menokok-tambah data kajian.Tetapi, tidak dinafikan bahawa antioksidan, mineral, fiber dan komponen semulajadi dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh mampu melawan penyakit kronik. Tetapi, tidak semestinya dos antioksidan yang tinggi mampu bertindak sepertimana sepatutnya.

      Wanita yang mengamalkan diet tinggi antioksidan mampu menurunkan risiko strok, terutamanya bagi individu tanpa sejarah penyakit kardiovaskular (CVD).
      Kajian prospektif menemukan wanita tanpa sejarah CVD yang mengambil makanan tinggi antioksidan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, teh, bijirin penuh, dan coklat mempunyai 17% risiko mendapat CVD lebih rendah berbanding wanita yang makan makanan tersebut dalam jumlah yang sedikit. Antara wanita yang mempunyai sejarah CVD, wanita yang mengambil tinggi antioksidan mempunyai 45% risiko mendapat strok hemoragik lebih rendah.
      Radikal bebas menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Pengambilan antioksidan tidak semestinya mampu menyelesaikan masalah kesihatan terutamanya apabila kita mengambilnya luar dari bentuk semulajadinya. Kajian sekarang masih belum cukup kuat untuk membuktikan supplemen antioksidan mampu memberi impak positif pada kesihatan.
      "Kajian ini menyarankan pengambilan makanan kaya dengan antioksidan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran bagi pencegahan strok"- Stroke: Journal of the American Heart Association. 
      jadi, saranan terbaik ialah untuk kita menikmati kepelbagaian makanan semulajadi atau dalam bentuk asal bukan terproses kerana itu adalah bentuk terbaik. Keberkesanan makanan dalam membantu pencegahan penyakit tidak semestinya bergantung hanya kepada satu komponen tertentu dalam makanan, ia mungkin melibatkan beberapa komponen yang melengkapi satu sama lain. 

      Wednesday, 14 December 2011

      Kalsium : Kesihatan Tulang atau Sakit Jantung?

      Secara umumnya, pengambilan kalsium difokuskan pada kesihatan tulang. Pengambilan kalsium yang cukup adalah antara saranan pemakanan oleh kementerian kesihatan Malaysia (KKM), di mana kanak-kanak dan remaja 18 tahun ke bawah memerlukan 1300mg kalsium sehari, lelaki dan wanita dewasa (19-50 tahun) memerlukan 1000 mg sehari. Manakala, individu berumur lebih dari 50 tahun, institut perubatan menyarankan pengambilan kalsium yang lebih serta keperluan harian sekurang-kurangnya 1200 mg sehari. 
      Tetapi, satu kajian memberi perhatian tentang kaitan pengambilan supplemen kalsium dan kesan sampingan penyakit jantung.
      Kajian Dr. Mark Bolland dari Universiti Auckland, New zealand menemukan kaitan di antara supplemen kalsium (sekurang-kurangnya 500mg) meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak 30%. Antara mekanisma penyebab yang mungkin terlibat ialah peningkatan kelikatan darah dan penurunan fleksibiliti salur darah akibat pemendapan kalsium di dinding arteri. Kajian beliau yang lain melibatkan wanita menopos juga memberi bukti signifikan perkaitan risiko kardiovaskular.
      Memandangkan kajian menyeluruh diperlukan untuk meyakinkan pengguna dalam isu ini. Adalah lebih elok untuk kita kembali kepada asas. Kebanyakan kita mengambil supplemen kalsium kerana khuatir akan kecukupan pengambilan kalsium harian kita. Kajian membuktikan pengambilan kalsium secukupnya melalui diet mampu mengelakkan risiko penyakit jantung. Jadi, asasnya ialah pengambilan kalsium dari makanan atau minuman perlu mencukupi dan seterusnya kita tidak perlu mengambil supplemen.
      sebagai contoh, jika anda mahu mencapai keperluan kalsium 1000mg sehari dan anda ambil 3 hidangan susu atau soya, anda sudah hampir dengan sasaran keperluan. contohnya:
      Susu (1 cawan, 8 oz) :300 mg kalsium ---> pilih susu rendah lemak tinggi kalsium.
      Yogurt rendah lemak (1 cawan, 8 oz) : 400 mg kalsium
      Keju (1 oz cheddar atau mozarella) : 200 mg
      Susu soya diperkaya kalsium (1 cawan, 8 oz) : 400 mg

      contoh di atas ialah dari sumber susu dan tenusu. Anda digalakkan untuk mendapatkan sumber kalsium dari sumber lain:

      Sayur-sayuran  Jantung Pisang (1/4 biji) : 56 mg
      kubis (1 cawan) : 59 mg
      Brokoli (1 cawan): 180 mg
      Bayam dimasak (1 cup): 240 mg
      Buah-buahan Buah-buahan kering (1 cawan): 300 mg
      jus oren diperkaya kalsium (1 cup [8 oz]): 400 mg
      Jambu batu tanpa biji (1/2 biji): 50 mg
      Limau manis (1 biji): 58 mg
      Nangka(4 ulas tanpa biji) : 76 mg
      kekacang  Biji bijan (1 oz): 280 mg
      kacang almond (1 oz): 80 mg
      kacang dhal mentah (1/4 cawan) : 62 mg
      kacang panggang (3/4 cawan) : 67 mg
      ikan Kembung (3 oz): 250 mg
      Sardin (3 oz): 370 mg
      lain-lain  Tau fu fah tanpa gula (1 bekas) : 243 mg
      Tau hoo (2/3 silinder) : 131 mg
      Tau kua (1 keping) : 105 mg
      Kesimpulannya:
      1) untuk kesihatan tulang, pengambilan supplemen kalsium bersama vitamin D (1000 IU) digalakkan. Tetapi pastikan bersama vitamin D.
      2) Lebih digalakkan untuk mempertingkatkan pengambilan kalsium melalui pemakanan harian dan bukan dari supplemen.
      3) supplemen kalsium mestilah diambil untuk mencukupkan saranan pengambilan harian bukan dijadikan untuk menggantikan keperluan harian (kalsium sitrat lebih digalakkan).
      4) Kajian ini memfokuskan risiko penyakit jantung, tetapi jangan lupa risiko pembentukan batu karang. Tidak seperti supplemen, kasium dari makanan kurang menyebabkan pembentukan batu karang.

      jadi, manfaatkan makanan segar ciptaan Allah s.w.t berbanding supplemen kalsium buatan manusia. Kajian ini adalah peringatan bahawa benda baik yang berlebihan tidak semestinya baik untuk kita, termasuklah kalsium.

      Monday, 12 December 2011

      Isu Makanan : Jangan Guna Minyak Masak Lebih Dari Sekali

      Petikan dari The star 13 Disember 2011.
      Petaling Jaya : Pusat Racun Negara memberi amaran bahawa minyak masak yang digunakan berulang kali boleh menyebabkan hipertensi (tekanan darah tinggi), merosakkan hati dan meningkatkan risiko kanser.
      Pakar Runding Pusat Racun Negara, Dr T.Jayabalan berkata, minyak masak tidak sepatutnya digunakan lebih dari sekali'
      Apabila digunakan berulang kali, tahap kelikatan hidrokarbon di dalam minyak masak meningkat dan menyebabkan saluran arteri tersumbat, hipertensi dan merosakkan hati.
      kebanyakkan pengguna tidak membuang minyak yang telah digunakan. mereka menyimpannya didalam bekas untuk digunakan sekali lagi sebelum dibuang.


      Pertubuhan Kajian dan Pembangunan Kualiti Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Unipeq Sdn Bhd yang menjalankan ujian ke atas 19 jenama minyak masak mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menggunakan minyak masak dalam bungkusan 1 kilogram.
      "Berdasarkan piawaian yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, minyak masak itu tidak sihat," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Siti Noor Baiyah Abdul Malek.
      Minyak Masak yang dijual dalam bungkusan 1 kilogram(kg) di pasaran mungkin dikitar semula. Beberapa pengilang dipercayai membeli minyak masak terpakai di restoran menerusi orang tengah dan memprosesnya untuk dijual.
      Akta Makanan 1983 masih belum menyenaraikan piawaian untuk menguji bahan campuran yang terkandung dalam minyak masak.
      Kesatuan Eropah menetapkan bahawa bahan campuran sepatutnya berada pada tahap 25 peratus manakala Australia dan Switzerland menghadkan 27 peratus.
      Semua 13 sampel yang diuji menunjukkan bahan campuran berada di antara 28.4 hingga 70.8 peratus.
      "Ujian jelas membuktikan bahawa minyak tersebut bukan minyak baru diproses dan didedahkan kepada haba tinggi.
      "Perubahan bahan terjadi apabila minyak digunakan berulang kali untuk memasak," 
      17 kg18.88 liters tin cooking oil
      Professor A.Saari Csallany, pengkaji bidang kimia dan biokimia pemakanan dari Universiti Minnesota mengatakan bahawa minyak sayuran tidak tepu yang dipanaskan pada suhu menggoreng (365 F) pada jangka masa yang lama (atau lebih dari 30 minit) akan menghasilkan bahan toksik 4-hidroksi-trans-2-nonenal (HNE).

      Tuesday, 29 November 2011

      Terapi Tingkahlaku Masalah Obesiti Membantu Seisi keluarga

      Antara cabang terapi yang penting bagi permasalahan obesiti ialah terapi tingkah laku kognitif. Kajian terbaru mengemukakan bahawa terapi ini bukan hanya membantu ahli keluarga yang bermasalah tetapi juga membantu penjagaan pemakanan bagi ahli keluarga yang lain.
      Terapi ini memfokuskan kepada perubahan cara berfikir dan tingkah laku terhadap pemakanan dan gaya hidup serta memberi saranan praktikal bagi perubahan positif seperti mengenalpasti pengambilan kalori harian dan membina diari pemakanan.
      Kajian soal selidik dijalankan terhadap 149 pesakit obes yang menjalani terapi ini di University of Bologna, di mana ia melibatkan 12-15 perjumpaan mingguan kumpulan. Secara puratanya, keluarga yang terlibat telah mengurangkan sekurang-kurangnya 200kcal dari pengambilan harian mereka, serta pengambilan makanan kurang lemak dan karbohidrat ringkas telah berkurang, di samping peningkatan pengambilan buah-buahan.
      Dan seterusnya, pengurangan kalori ini membawa kepada penurunan melebihi 1 kilogram. kebanyakannya mengalami penurunan berat badan 3 kg. Di samping itu, terdapat sebahagian dari keluarga yang bertukar dari status obes ke berlebihan berat badan/overweight.
      Saranan penurunan berat badan secara sihat untuk individu obes bukanlah hal yang remeh-temeh. Ia bukan hanya melibatkan individu sahaja tetapi juga melibatkan keluarga individu tersebut. Bagi ibu bapa yang mengalami obes, jalan penyelesaian terbaik ialah merubah gaya hidup dan pemakanan supaya anak-anak juga turut sama dalam perubahan.
      Bertindak sebelum terlambat. Individu obes bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan metabolik bahkan menarik sama anak-anak atau keluarga dalam risiko menghidap pelbagai jenis penyakit.
      Terapi diet dan gaya hidup adalah intipati perubahan jangka masa panjang serta menjamin kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti. Antara kita mungkin, memilih jalan singkat untuk menurunkan berat badan seperti pengambil pil, supplemen diet, teh pelansingan badan, terapi laser dan banyak lagi. Tetapi, adakah anda pasti pilihan anda mampu menjamin perubahan gaya hidup dan pemakanan jangkamasa panjang?
      Jawapan di tangan anda. Pastikan terapi yang dipilih selamat untuk digunakan serta kenalpasti kesan sampingan jangka masa pendek dan panjang. Anda bukan hanya mahu berat badan ideal dalam sebulan atau 2 bulan tetapi untuk seumur hidup.
      Jadi, dapatkan nasihat pegawai perubatan dan pakar pemakanan dalam menentukan kualiti penjagaan kesihatan anda.

      Selamat Maju Jaya!