Apakah makanan yang menyebabkan risiko keguguran atau mungkin membawa kesan buruk ke atas ibu mengandung dan bayi? Ada orang mengatakan daging kambing bersifat panas, nenas bersifat tajam dan banyak lagi contoh lain yang membawa kepada keguguran bayi dalam kandungan.
Jawapan:
Soalan ini diperolehi berdasarkan pertemuan saya dengan beberapa orang pesakit wanita yang mengandung. Sememangnya terdapat banyak kepercayaan atau mitos diet berkaitan pemakanan semasa mengandung tidak kira dalam etnik mana sekalipun. Tetapi, memandangkan bukti kajian yang masih terhad maka secara rasionalnya, kita akan mengambilkira makanan yang telah terbukti boleh membawa kesan seperti yang telah dinyatakan.
Dibawah adalah contoh beberapa makanan yang boleh menyebabkan kesan negatif terhadap ibu dan kandungan :
- Daging mentah : Makanan laut yang tidak dimasak atau daging lembu/ayam yang tidak dimasak sepenuhnya perlu dielak bagi mengelakkan risiko pencemaran seperti bakteria Coliform, toxoplasmosis dan Salmonella. Tambahan pula, ibu mengandung berisiko tinggi mendapat keracunan makanan akibat penurunan daya tahan imun semasa hamil. Mungkin tidak menjadi kebiasaan rakyat Malaysia untuk mengambil makanan mentah tetapi risiko tetap ada memandangkan asimilasi budaya pemakanan seperti makanan barat atau mungkin Sushi dari Jepun.
- Daging Deli : Daging Deli seperti ham, ayam turki, salami dan bologna atau hotdog juga perlu dielakkan kecuali jika daging ini di masak sepenuhnya. Daging seperti ini mampu menyebabkan keracunan makanan dinamakan listeriosis. Listeriosis berpunca dari sejenis bakteria dipanggil Listeria monocytogenes. Pemanasan sewaktu memasak boleh membunuh bakteria ini. Kebanyakan orang tidak mengalami apa-apa masalah apabila termakan makanan yang tercemar dengan listeria. Tetapi, ia berbeza bagi ibu mengandung yang 20 kali lebih berisiko dan membawa kepada penyakit berbahaya. Dan bayi dalam kandungan mendapat kesan jangkitan yang lebih teruk berbanding ibu iaitu risiko keguguran, kelahiran pramatang atau kematian.
- Ikan bermerkuri tinggi : Ikan yang mempunyai kandungan merkuri yang tinggi berkait rapat dengan kelewatan perkembangan dan kerosakan otak. Contoh ikan bermerkuri tinggi ialah ikan yu, ikan todak, ikan kembung raja. Semakin tinggi kedudukan ikan dalam rantai makanan semakin banyak kandungan merkuri yang terdapat dalam ikan tersebut.
- Ikan yang terdedah dengan pencemaran industri : Elakkan ikan yang ditangkap dari tasik atau sungai tercemar dengan polychlorinated biphenyls yang tinggi.
- Kerang-kerangan mentah : Majoriti kes bawaan makanan laut adalah berpunca dari kerang-kerangan mentah seperti kerang, tiram, dan kepah. Proses memasak mungkin membantu dalam nyah-bakteria tetapi bukan jangkitan berkaitan alga.
- Telur Mentah : Telur mentah atau makanan yang mengandungi telur mentah mungkin mengandungi bakteria salmonella. Bakteria ini juga mampu menyebabkan keracunan makanan yang teruk.
- Keju Lembut : Keju lembut yang diimport mungkin mengandungi Listeria. Listeria mampu menyeberangi uri, menjangkiti bayi dalam kandungan dan seterusnya membawa kepada jangkitan atau keracunan makanan yang boleh membawa maut.Elakkan pengambilan keju seperti Brie, Camembert, Roquefort, Feta, Gorgonzola dan sebagainya.
- Susu yang tidak dipasteur : Susu sebegini juga mungkin mempunyai Listeria. Pastikan susu yang diminum ialah susu yang dipasteur.
- Kafein : Elakkan kafein terutamanya di awal trimester untuk mengelakkan kebarangkalian keguguran. Secara amnya, pengambilan kafein dihadkan ke 200mg sehari semasa mengandung. Terdapat kajian mengatakan pengambilan kafein berlebihan mampu menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir yang rendah dan sebagainya. Langkah terbaik ialah mengelakkan pengambilan kafein semasa mengandung.
- Alkohol : Tiada amaun alkohol yang selamat semasa mengandung, jadi pengambilannya seharusnya dielakkan semasa mengandung. Pendedahan alkohol prenatal boleh mengganggu perkembangan sihat bayi. Fetal Alcohol Syndrom atau gangguan tumbesaran yang lain boleh berlaku bergantung kepada amaun, masa dan cara pengambilan.
- Sayur yang tidak dibasuh : Pastikan ibu membasuh sayur yang hendak dimakan dengan sempurna bagi mengelakkan risiko toxoplasmosis. Toxoplasmosis mungkin mencemarkan tanah dimana sayur ditanam.
Memandangkan tiada lagi kajian yang membuktikan nenas dan daging kambing menyebabkan keguguran, ibu-ibu berhak untuk memilih samada untuk mengambil makanan yang dikhuatiri atau pun tidak. Daging kambing boleh membahayakan ibu mengandung jika tercemar dengan bakteria seperti Listeria ataupun Salmonella. Daging kambing seperti daging lain (ayam, lembu, kerbau dan sebagainya) akan mengalami proses pencernaan yang sama melibatkan penguraian protein, lemak dan lain-lain. Bagi nenas pula, buah-buahan disarankan untuk ibu mengandung kerana kandungan vitamin dan mineral yang tinggi. Jika ibu-ibu was-was untuk makan nenas, pilihlah buah-buahan yang lain. Tuhan menciptakan kita pelbagai jenis haiwan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, jadi jangan risau!. Jika takut untuk makan daging kambing dan nenas, makan daging ayam dan tembikai!.
Selamat meneroka kepelbagaian makanan!
Selamat meneroka kepelbagaian makanan!