Sunday 12 February 2012

Tip Pemakanan Sihat : Membantu Sistem Imun dan Lawan Penyakit!

Sistem Imun yang kuat adalah pelindung terbaik dalam pencegahan jangkitan virus dan bakteria. Sistem imun yang sihat juga akan melindungi tubuh kita dari masalah kesihatan seperti artritis dan beberapa jenis kanser.
Pemakanan yang baik sangat penting dalam mengekalkan kebolehan sistem imun kita untuk berfungsi pada tahap optima!

Pengambilan pelbagai jenis makanan kaya nutrien akan membekalkan badan kita dengan nutrisi yang penting dalam penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit kronik. Langkah demi langkah perlu diambil bagi melahirkan amalan pemakanan yang konsisten. Disini kita bincangkan tip pemakanan sihat :

Mulakan hari anda dengan sarapan pagi yang sihat.
Pengambilan total nutrien seharian selalunya tinggi bagi individu yang mengambil sarapan pagi. Bersarapan dengan bijirin penuh, susu dan jus oren 100% mampu membekalkan anda dengan 100% vitamin C, 33% kalsium serta bekalan asid folik serta nutrien penting yang lain.

Gantikan bijirin yang diproses/tertapis ke bijirin penuh.
Penggantian ini akan menambah pengambilan makanan tinggi nilai nutrien dalam pemakanan anda. Roti bijirin penuh, beras perang dan bijirin penuh akan meningkatkan pengambiln serat disamping membekalkan antioksidan pelindung! Pastikan anda memeriksa label makanan terlebih dahulu bagi memastikan makanan tersebut mengandungi bijirin penuh. Nikmati snek seperti biskut bijirin penuh dan 'pop corn' juga adalah cara pantas untuk mendapatkan khasiat bijirin penuh!

Makan lebih banyak sayuran yang senang untuk disediakan.
Ambil salad hijau dan pelbagai jenis sayur yang sedia dipotong, dibasuh dan dipek untuk mendapatkan khasiat sayur dengan pantas. Jangan lupa untuk meletakkan sayur yang di stim atau digoreng bersama hidangan berat seperti nasi, nasi goreng, mee sup, bihun, laksa, pasta dan sandwic. Jadikan pinggan anda berwarna-warni dengan pelbagai jenis sayur-sayuran, lebih warna lebih nilai! - merah, jingga, hijau dan kuning~ anda pasti mendapat nutrien utama seperti kalium.

Nikmati buah-buahan segar!
Pilih buah-buahan segar sebagai salah satu alternatif snek terutamanya bagi individu yang ber'diet'. Atau anda mungkin mahu nikmatinya bersama smooties, yogurt rendah lemak, salad dan puding. Minum jus buah-buahan dengan mengisar bersama-sama serat! Ia menyegarkan, senang tanpa anda mengurangkan kualiti nutriennya.

Kunyah-kunyah kekacang.
Usah risau dengan masalah kulit muka akibat mengunyah kekacang! Amalkan pengambilan kekacang seperti kacang dhal, kacang kuda, kacang hijau, pistacio, kacang merah dan banyak lagi! Kebanyakan kacang adalah sumber kaya dengan serat, asid folik dan flavonoid! Cuba masukkannya dalam salad, sup, bubur, kuah atau campurkan dengan nasi, pasta, mee, bihun dan roti. Atau, makan begitu saja!


Seterusnya, pastikan anda memilih makanan yang mengandungi nutrien dan antioksidan seperti berikut:

Vitamin C : Reaksi antioksidan akan meneutralkan radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel dan tisu badan. Dalam jangka masa yang lama, ia mungkin akan menyumbang kepada penyakit seperti kanser dan jantung. Jus oren, jambu batu dan buah-buahan sitrus adalah sumber Vitamin C terbaik. Selain itu, beri, tembikai, lada dan tomato juga sumber vitamin C yang baik!

Asid Folik: Ditemui dalam makanan seperti jus oren, bayam, kekacang dan produk bijirin diperkaya dengan asid folik. Asid folik mampu menurunkan kandungan homosistein yang merupakan penyebab keradangan berkaitan dengan peningkatan risiko penyakit jantung koronari. Disamping itu, pengambilan asid folik yang rendah dikalangan individu dewasa juga meningkatkan risiko beberapa jenis kanser. Pengambilan yang secukupnya amat penting bagi wanita muda bagi mencegah kelahiran bayi cacat tulang belakang atau saraf.

Vitamin B6 : Sistem imun memerlukan vitamin ini untuk berfungsi secara efektif. Ia mengekalkan kesihatan organ limfa yang menghasilkan sel darah putih pelawan jangkitan.

Flavonoid : Ia adalah komponen yang ditemui dalam tumbuhan seperti buah-buahan sitrus, beri dan beberapa jenis sayur-sayuran. Kebanyakannya berfungsi sebagai antioksidan. Saintis percaya bahawa flavonoid membantu dalam menurunkan risiko kanser, jantung dan lain-lain penyakit serius.


Bagi penjagaan kesihatan sepanjang hayat, amalkan :

  • Pemilihan makanan kaya nutrien seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta bijirin penuh.
  • Kekalkan berat badan ideal
  • Jadikan diri anda aktif secara fizikal
  • Minimumkan stres/tekanan
  • Dapatkan rehat dan tidur yang cukup.
Selamat mencuba!

1 comment: