Wednesday, 11 January 2012

Cara Mudah dan Praktikal untuk Gaya Hidup Sihat!

Seringkali didengari faktor kasibukan membataskan seseorang tidak berjaya untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Saranan pengambilan hidangan yang berkhasiat dan senaman secara rutin dianggap tidak praktikal kerana kondisi-kondisi tertentu bagi setiap individu.

Budaya instant kian popular di kalangan masyarakat kini disebabkan faktor kesibukan dan masa yang terbatas. Menu yang praktikal bagi golongan ini tentu sahaja junkfood, fast-food atau instant drink (eg: 3 in 1). Fenomena junkfood dan fast-food juga terkenal di kalangan individu yang berkunjung ke pusat membeli-belah. Inilah realiti kehidupan! Di sini, dikongsikan beberapa tips mudah untuk gaya hidup sihat:
  
Sebaiknya, anda mempunyai jadual makan yang teratur setiap hari. 3 hidangan utama : Sarapan (6am-9am), makan tengahari (12pm-2pm) dan makan malam (6pm-9pm). Pemilihan snek (makanan antara waktu hidangan utama) yang ringan dan berkhasiat (10am, 4pm).  

Anda dinasihatkan agar tidak meninggalkan sarapan yang mana disarankan pengambilannya antara 6am-8am kerana proses metabolisma berada pada tahap optima pada waktu ini. Pengambilan sarapan yang lewat ~10am - 11am akan menyebabkan tenaga yang diambil akan disimpan sebagai lemak dalam tubuh (proses metabolisma menurun).

Seeloknya, buah-buahan diambil 20-30 minit sebelum hidangan utama - Ini akan menyebabkan perut akan terasa kenyang terlebih dahulu. Oleh itu, pengambilan makanan utama tidaklah terlalu banyak atau berlebihan. Selain itu, pengambilan buah sebelum hidangan utama adalah berfungsi untuk membantu melancarkan proses pencernaan bagi makanan yang telah diambil sebelum itu.

Perhatikan pinggan hidangan utama (makan tengahari & makan malam) anda! Pastikan ia lengkap dengan sumber karbohidrat (eg: nasi, mee), protein (eg: ikan, daging, ayam), lemak dan vitamin/ serat (eg: buah, sayur-sayuran). Sayur-sayuran berdaun hijau digalakkan diambil separuh pinggan hidangan kerana manfaat seratnya dalam menurunkan kolesterol yang berlebihan dan membantu dalam pengawalan glukosa dalam darah.

Pengambilan hidangan berat amat tidak disarankan diambil waktu tengah atau lewat malam kerana ia boleh membantutkan proses detoksifikasi oleh organ hati (seperti yang diceritakan dalam post sebelum ini Jam Biologi Tubuh). Apabila proses detoksifikasi tidak berlaku, ini menyebabkan kesan buruk kepada sel hati seterusnya toksin atau racun dalam tubuh akan merosakkan sel-sel dalam tubuh.

Aktifkan diri anda setiap hari! Kekangan masa? Sibuk? Itu mungkin antara alasan yang biasa kita semua dengar untuk melakukan senaman. Sebenarnya, kalau anda tidak sempat untuk bersenam secara formal (eg: berjoging, berlari, berenang), anda masih boleh untuk aktif. Ya, amalkan berjalan pantas ke tempat kerja, membuat regangan otot ringan selepas bangun pagi atau naik turun tangga (jumlah masa aktiviti ~20-30 minit/hari). Ini secara tidak langsung mengaktifkan diri anda dan membantu anda menguatkan otot jantung. Apabila anda telah berjaya untuk konsisten ~30 minit/hari, tingkatkan lagi kepada ~45 minit/hari. Mudah, bukan?

Akhir kata, yang penting perlu KEAZAMAN dan DISIPLIN yang tinggi untuk berjaya. Selamat berusaha!

SIHAT itu murah, SAKIT itu mahal. Sekarang hanya sekadar memilih, untuk SIHAT atau SAKIT? Tahukah anda, Rasulullah SAW, junjungan umat Islam tidak pernah sakit! Baginda berpesan bahawa perut adalah tempat bersarangnya penyakit. Ya, perutlah asal bagi bermulanya pelbagai penyakit.





Monday, 2 January 2012

KENALI KITARAN BIOLOGI TUBUH ANDA

Pernahkah anda diserang rasa mengantuk pada setiap jam 10pm atau selalu terbangun pada jam 5am? Dan hal ini terjadi secara rutin setiap hari tanpa anda merancangnya? Satu kebiasaan yang selalu dilakukan akan terprogram di dalam otak menjadi kegiatan yang rutin. Hal ini membuktikan tubuh mempunyai jam biologi. Apabila anda mempunyai kebiasaan makan pada jam 2pm maka anda pun akan merasa lapar pada waktu itu juga. Bagaimana anda memperlakukan tubuh anda maka begitulah tubuh anda akan bereaksi dengan segala akibat yang ditumbulkan. Peliknya, jika tubuh diperlakukan dengan buruk, mula-mula tubuh akan memberi reaksi penolakan. Namun apabila intervensi tersebut dilakukan secara terus menerus maka tubuh akan mula menerimanya. 



Tubuh memiliki jam biologi semulajadi terhadap semua sistem tubuh badan. dengan adanya jam biologi atau lebih dikenali dengan irama sirkadian, menjadikan tubuh lebih memiliki jadual untuk mencerna, menyerap dan membuang sisa-sisa metabolismanya. Kebiasaan anggota badan mengikuti kebiasaan semulajadi sesuai sunnatullah. Begitu juga dengan jam biologi proses pencernaan dibahagikan kepada 3 peringkat:

Fasa pencernaan (Jam 12 tengahari-8malam)  
Fasa pencernaan adalah waktu ketika tubuh menerima makanan utama dengan menerapkan menu yang berkhasiat dan kombinasi makanan yang ideal. Pada waktu makan sebaiknya tidak diselangi dengan minum kerana akan mempengaruhi enzim-enzim pencernaan yang dapat menyebabkan terganggunya proses pencernaan.

Fasa penyerapan (Jam 8malam-4pagi)
Pada fasa ini, tubuh melakukan fungsinya menyerap makanan yang telah dimakan sebelumnya. Tubuh menyerap zat-zat bermanfaat untuk digunakan sebagai tenaga bagi pertumbuhan dan perkembangan tubuh, termasuklah menggantikan sel-sel yang mati. Supaya fasa ini berjalan denagn baik, maka organ pencernaan tidak boleh melakukan pekerjaan berat dengan mencerna makanan berat iaitu makanan utama. Mengapa?
Pada malam hari kadar melatonin akan meningkat. Hormon melatonin ini akan memberi rasa mengantuk pada sistem tubuh. Salah satu tujuan untuk dikeluarkan melatonin juga untuk melambatkan proses pencernaan. Apabila anda makan banyak di malam hari, maka tubuh tidak dapat mencerna secara cekap. Akibatnya tubuh menjadi kekurangan tenaga dan lemah kerana makanan yang masuk di dalam tubuh akan diubah menjadi lemak.
Selepas makan malam, tidak boleh terus tidur kerana tidak baik untuk pencernaan dan kesihatan. Pada waktu malam, organ hati menjalankan fungsi detoksifikasi. Hati bekerja secara maksima apabila tubuh dalam keaadan tenang dan berehat iaitu pada waktu tidur. Oleh kerana itu, disarankan tidur lebih awal dan tidak berjaga malam. Apabila tubuh tidak berehat maka proses detoksifikasi akan terganggu. Hal ini akan memberi kesan buruk kepada sel-sel hati kerana sisa dan metabolisma seharian yang mencemari tubuh akan meracuni sel hati sehingga proses detoksifikasi tidak dapat berjalan dengan sempurna.

Fasa pengeluaran (4pagi-12tengahari)
Pada fasa ini, tubuh akan mengeluarkan zat-zat beracun hasil metabolisma atau detoksifikasi. Setiap pagi setelah bangun tidur, dapat dipastikan rutin pergi ke tandas setiap pagi untuk membuang najis. Selain itu, aroma mulut anda akan terasa terbau sebab tubuh membuang sisa beracun melalui ventilasi mulut. Jangan sekali-kali menahan rangsangan pembuangan najis kerana akan menimbulkan kesan yang tidak baik pada kesihatan. Selain itu, sisa metabolisma juga keluar melalui liang-liang rongga. Agar sistem pernafasan dan kulit berfungsi dengan baik, sebaiknya dilakukan dengan senaman. Senaman membuatkan pertukaran gas O2 dan CO2 secara optima, liang roma kulit akan melebar dan peluh pun akan keluar dengan banyak,. Ini bermakna racun-racun dalam tubuh akan terbuang.

Tuesday, 27 December 2011

Makanan Organik VS Makanan Konvensional

Makanan organik semakin popular dikalangan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat cina. Pengeluaran produk makanan organik mendapat tempat di pasaran seluruh duni sejak separuh pertama abad ke-20. Di mana, isu makanan organik menaikkan industri pertanian organik dengan harapan ia mampu membantu pesakit kanser, penyediaan makanan lebih baik, sihat serta selamat.
Makanan organik dihasilkan menerusi kaedah yang tidak melibatkan penggunaan:

  • racun perosak
  • baja kimia
  • pelarut kimia
  • Perasa tambahan kimia
  • tidak mengandungi organisma yang dimodifikasi secara genetik
Sebagai alternatif, sistem pertanian organik menggunakan najis haiwan dan tumbuhan serta racun perosak biologikal.
Secara tidak langsung, ia meningkatkan keprihatinan pengguna terhadap kesihatan diri, persekitaran, nilai pemakanan, kualiti pemakanan dan keselamatan makanan yang dibeli.
Beberapa kajian ditebitkan untuk membandingkan makanan yang dihasilkan secara organik dengan makanan yang dihasilkan secara konvensional. Perbandingan melibatkan nilai pemakanan, kualiti sensori, keselamatan makanan dan kaitan dengan kesihatan.
Hasilnya, berdasarkan beberapa kajian mengenai perbandingan nilai karetenoid dalam makanan bayi, kajian kandungan phenolik dalam jus tomato, dan kajian pemakanan dan pencemaran sayur-sayuran :
  1. Makanan organik memberi nilai sensori yang jauh lebih tinggi, kandungan racun perosak dan pelarut kimia yang rendah, nilai nutrien dan kandungan phytokimia pelindung yang tinggi serta jumlah nitrat yang  lebih rendah berbanding makanan konvensional.
  2. Makanan organik mempunyai nilai zat besi, magnesium, fosforus dan vitamin C yang lebih tinggi berbanding makanan konvensional.
  3. Sayur-sayuran dan buah-buahan organik dijangkakan mempunyai kesan kesihatan yang lebih positif berbanding tanaman konvensional.
  4. Di samping itu, makanan bayi organik secara umumnya memiliki jumlah karetenoid yang lebih rendah berbanding makanan bayi konvensional.
Kesimpulannya, makanan organik menunjukkan ia lebih bermanfaat berbanding makanan konvensional dalam pelbagai aspek.

Ubat penurunan berat badan : Apa yang anda perlu tahu?

Langkah terbaik untuk penurunan berat badan sememangnya melalui senaman konsisten dan pemakanan atau diet sihat. Meskipun begitu, terdapat individu yang mengalami masalah berat badan dan komplikasi perubatan, ubat penurunan berat badan mungkin membantu.

300190_298593200165482_217213104970159_1171884_1566420243_n[1]Siapa yang boleh mengambil ubat penurunan berat badan?
Ubat sebegini tidak sesuai untuk semua individu berlebihan berat badan. Ia adalah sebagai alternatif untuk individu:

  • Indeks Jisim Tubuh (IJT) melebihi 30
  • IJT melebihi 27 dengan masalah perubatan berkaitan obesiti (seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan sebagainya).
Ubat ini perlu digunakan bersama dengan kombinasi diet rendah kalori dan senaman konsisten.

Apakah jenis-jenis ubat yang terdapat di pasaran?
FDA mengkelaskan ubat penurunan berat badan kepada dua kumpulan utama : Penahan selera makan dan Perencat Penyerapan lemak.
Ubat penahan selera termasuk Phentermine (Adipex-P, Suprenza), Diethylpropion (Tenuate, Tenuate Dospan) dan Benzphetamine (Didrex). Ia hanya dipreskripsi untuk penggunaan jangka masa pendek (beberapa minggu atau bulan). Ia menggalakkan penurunan berat badan secara pengurangan selera makan atau meningkatkan rasa kenyang.
Kesan sampingan : meningkatkan kadar denyutan jantung, tekanan darah, kesukaran untuk tidur, kurang rehat, gemuruh, pening kepala, sembelit, dan kering mulut.

Manakala untuk ubat perencat penyerapan lemak pula, boleh didapati dengan nama generik Orlistat dan dikenali dengan nama Xenical or Alli. Alli adalah versi Xenical yang dikurangkan dos kekuatan serta dijualkan sebagai over the counter (OTC). Hanya ubat Orlistat yang diluluskan untuk penggunaan jangka masa panjang. Orlistat akan menghalang penyerapan sebahagian lemak yang dimakan dan dibuang melalui najis.

Jadi, ia mengurangkan pengambilan kalori dan menyebabkan penurunan berat badan. Orlistat perlu di ambil bersama dengan diet rendah kalori, rendah lemak. Disamping itu, individu juga disarankan untuk mengambil multivitamin kerana ia mengurangkan penyerapan vitamin larut lemak (A,D,E dan K).
Kesan sampingan : kekejangan usus, najis berlemak/minyak, cirit-birit, lemah badan, kekuningan pada mata dan kulit, pergerakan usus yang lebih kerap dan kesukaran untuk mengawal pergerakan usus.
Buat masa ini, FDA sedang menganalisa Orlistat akibat laporan kemungkinan risiko kecederaan hati. Hingga sekarang, masih belum terdapat bukti kaitan yang boleh dikaitkan.
Baru-baru ini, FDA juga menarik balik ubat yang diluluskan seperti Sibutramine (Meridia, Reductil) dari pasaran di beberapa buah negara kerana ia dikaitkan dengan risiko penyakit jantung (strok dan serangan jantung non-fatal).

Berapa jumlah penurunan berat badan yang dianggarkan?
Pengambilan ubat ini bersama dengan diet rendah kalori serta amalan bersenam konsisten akan mengurangkan berat badan sebanyak 5-10% dalam masa setahun. Kebanyakan penurunan berat badan akan berlaku dalam masa enam bulan pertama. Meskipun begitu, kebanyakan individu yang terlibat akan mengalami kenaikan berat badan setelah berhenti mengambil ubat tersebut.

sebelum anda mengambil sebarang ubat menurunkan berat badan, adalah dinasihatkan supaya berbincang dengan pegawai perubatan terlebih dahulu. Pegawai perubatan akan mengambil kira sejarah kesihatan, kesan sampingan dan kemungkinan interaksi ubat dengan ubat-ubatan lain yang di ambil.

Tuesday, 20 December 2011

Kelebihan Menggoreng Menggunakan Minyak Zaitun

Kebanyakan dari kita gemar menikmati makanan bergoreng. French fries, nugget ayam, chicken chop, fish and chips, ikan goreng, ayam KFC dan sebagainya. Menggoreng adalah kaedah memasak tertua dan digunakan seantero dunia. Makan makanan bergoreng yang sihat bergantung kepada jenis minyak yang digunakan. Minyak zaitun adalah salah satu alternatif bijak untuk menggantikan minyak sayuran.
Apakah faktor yang membuatkan minyak zaitun lebih baik?


" Smoke Point" atau Titik Asap Minyak


Menggoreng merujuk kepada proses memasak makanan dalam minyak atau lemak menggunakan haba. 
Semasa memasak, adalah penting untuk memastikan minyak atau lemak yang digunakan tidak dipanaskan melepasi titik asap. Titik asap atau 'smoke point' merujuk kepada suhu dimana minyak atau lemak masakan mula berpecah. Minyak terbakar akan menghasilkan asap kebiruan dan bau busuk serta rasa yang kurang enak. Lemak dan minyak mempunyai titik asap yang berbeza. Sebahagian minyak mempunyai titik asap yang rendah dan selebihnya lebih tinggi. Jadi, "deep-frying" atau menggoreng dengan suhu tinggi memerlukan penggunaan minyak bertitik asap tinggi.



Titik asap bagi minyak tertentu berubah bergantung kepada proses 'refinement' atau penapisan. Proses ini membuang kekotoran dari minyak dan meningkatkan titik asap. Sebagai contoh, titik asap bagi minyak zaitun tertapis (246°C) lebih tinggi dari Minyak zaitun Extra-virgin (210°C). Menggunakan minyak lebih dari sekali akan menurunkan titik asap minyak tersebut.

Berdasarkan International Olive Oil council (IOOC) " Minyak zaitun adalah minyak paling stabil yang membawa maksud ia mampu menahan suhu menggoreng yang tinggi. Titik asapnya yang tinggi melebihi suhu ideal menggoreng (356°F or 180°C). Kebolehcernaan minyak zaitun tidak berubah setelah dipanaskan, bahkan setelah digunakan beberapa kali untuk proses menggoreng".


Terdapat minyak yang menghasilkan bahan berbahaya setelah dipanaskan

Proses menggoreng mempercepatkan perubahan kimia yang berlaku pada minyak atau lemak. Semasa memasak, beberapa lemak atau minyak yang kurang resistan terhadap haba akan pecah membentuk bahan toksik.
Lemak dan minyak terdiri dari molekul asid lemak yang diklasifikasikan dengan 3 kategori:
asid lemak tepu, mono tak tepu dan poli tak tepu.
Asid lemak terdiri dari rantai panjang karbon yang terikat antara satu sama lain. Setiap atom karbon terikat pada sepasang atom hidrogen. Lemak dikira tepu apabila ia terikat pada semual atom hidrogen, menjadi mono tak tepu apabila satu atom hidrogen hilang dan poli tak tepu apabila hilang dua atau lebih atom hidrogen.
Apabila atom hidrogen hilang, asid lemak menjadi semakin tidak stabil dan aktif secara kimia. Poli tak tepu adalah bentuk paling tidak stabil dan paling cenderung mengalami perubahan.
Apabila dipanaskan, minyak tinggi poli tak tepu membentuk bahan berbahaya seperti radikal bebas dan 4-hidroksi-trans-2-nonenal (juga dikenali HNE). Kajian menunjukkan HNE meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, parkinson's dan kanser.
Minyak poli tak tepu termasuk minyak kacang soya, jagung dan bunga matahari.
Minyak zaitun extra virgin dan minyak zaitun tertapis kedua-duanya tinggi dengan minyak mono tak tepu. Jadi, ia lebih resistan terhadap perubahan kimia.

Lain kelebihan minyak zaitun
Semasa proses menggoreng menggunakan minyak zaitun, ia membentuk lapisan pada permukaan makanan. Lapisan ini menghalang kemasukan minyak serta meningkatkan kualiti rasa. Jadi, makanan menjadi lebih ranggup dan bahagian dalam akan masak sepenuhnya. Makanan yang digoreng juga kurang berminyak, menjadikan ia sesuai bagi penjagaan kesihatan dan berat badan.

Minyak terbaik
Berdasarkan info yang diberikan, minyak terbaik untuk penyediaan makanan ialah:
Untuk pemanasan suhu tinggi (menggoreng, menumis) : Minyak zaitun tertapis kerana ia tinggi titik asap dan kurang kandungan lemak poli tak tepu.

Untuk pemanasan medium : Minyak zaitun tertapis atau extra virgin

untuk salad dressing : minyak zaitun extra virgin

Cadangan
Bagi golongan berkemampuan sememangnya tidak susah untuk mendapat dan menggunakan minyak zaitun bagi tujuan memasak tetapi mungkin tidak bagi golongan berpendapatan rendah. Jadi, mesejnya disini adalah untuk mengurangkan penggunaan minyak bagi memastikan penjagaan kesihatan optima tidak kira mana golongan sekalipun.
Meskipun minyak zaitun menjadi alternatif bijak bagi penggemar makanan bergoreng tetapi bukanlah menjadi alasan untuk makan dengan sewenang-wenangnya. 
Jumlah atau saiz hidangan masih perlu dijaga dan lebih banyak kaedah memasak yang lebih sihat seperti merebus, memanggang, stim dan sebagainya. Perbanyakkan kaedah memasak yang lebih sihat berbanding masakan bergoreng dan berminyak.

Lemak Trans Meningkatkan Risiko Kemurungan

Pengambilan Asid lemak tidak tepu trans (TFA atau lemak trans) dikaitkan dengan peningkatan risiko kemurungan. Sebaliknya, minyak zaitun, asid lemak mono tidak tepu dan poli tidak tepu memberi kesan perlindungan serta menurunkan risiko kemurungan, cadang kajian terbaru.
Penyelidik Spain dari University of Las Palmas de Gran Canaria menjalankan kajian perbandingan mengemukakan bahawa individu yang mempunyai paras lemak trans yang tinggi, mengalami 48% kenaikan risiko kemurungan.
Penemuan ini mencadangkan terdapat kaitan di antara penyakit kardiovaskular dan kemurungan dari aspek elemen pemakanan serta pengambilan lemak.
"keputusan sebegini tidaklah mengejutkan dan saya fikir mesej yang ingin dibawa sangat jelas :' cuba untuk makan secara sihat" pengarang kajian Almudena Sanchez-Villegas, PhD.

" Elakkan beberapa jenis lemak seperti lemak trans dan lemak tepu, dan meningkatkan pengambilan lemak poili dan mono tak tepu. Lebih baik kita mengambil minyak zaitun berbanding marjerin atau mentega, tenusu rendah lemak berbanding tinggi lemak, dan ikan berbanding daging atau produk daging. Elakkan makanan ringan dan terproses serta bakeri komersial dan cuba untuk tingkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang" tambah beliau lagi.
Dengan mengikuti saranan ini, tambah beliau, bukan sekadar melindungi diri dari penyakit kardiovaskular tetapi juga penyakit mental.

150 Juta terjejas

" Kemurungan menjejaskan lebih dari 150 juta individu seluruh dunia. walaubagaimanapun, secara relatif kajian longitudinal mengenai perkaitan dengan diet adalah sedikit" kata Dr Sanchez-Villegas.
Dr. Sanchez mengatakan kajian sebelum ini mencadangkan perkaitan dengan penyakit kardiovaskular dan kemurungan melalui keradangan, endotelial atau proses metabolik"
Kesan sampingan asid lemak trans terhadap penyakit kardiovaskular dikatakan berpunca dari peningkatan sitokin proinflamatori dan disfungsi endotelial. Kami memutuskan untuk menganalisa kemungkinan perkaitan antara lemak trans dan kemurungan kerana status inflamatori gred rendah dan disfungsi endotelial berlaku ke atas pesakit kemurungan.
Di samping itu, minyak zaitun mengandungi polifenol bioaktif bersama elemen penting anti-inflamatori/ keradangan yang mampu meningkatkan fungsi endotelium.

Kajian Dr.Jacka melaporkan diet "whole" atau penuh bercirikan sayur-sayuran,buah-buahan, bijirin penuh dan daging serta ikan berkualiti tinggi menurunkan masalah kemurungan dan kebimbangan. Ia juga mengemukan bahawa diet barat tinggi makanan terproses dan ringkas, di samping kuantiti lemak tepu yang tinggi boleh meningkatkan kemurungan.
Jadi, tidak rugi untuk makan dengan sihat. Benda baik jangan bertangguh~~

5 cara mengenalpasti Diet Fad

Kebanyakan jenis diet popular masa kini hanya mengambil kesempatan terhadap keinginan kita untuk turun berat badan dalam masa singkat. Malangnya, diet sebegini tidak berkesan.
Berikut adalah 5 klu atau cara mengenalpasti fad diet yang menjanjikan janji kosong tanpa keputusan yang memuaskan:
Diet yang berdasarkan pengambilan kalori rendah secara drastik.
Diet jenis kebuluran ini memerlukan badan kita untuk berpuasa dan selalunya dijanjikan dengan keputusan penurunan berat badan yang segera. Tetapi, tubuh badan kita tidak dijadikan dengan kemampuan untuk menurunkan berat badan dengan segera. Bahkan, doktor mengatakan ia hampir mustahil untuk individu sihat dan aktif untuk hilang berat lemak lebih dari 2-3 pound (1-1.5kg) seminggu meskipun melalui diet kebuluran.
"Keberkesanan" diet rendah kalori bergantung kepada reaksi semulajadi tubuh kita apabila kebuluran. Iaitu pengeluaran cecair badan. Jadi, kebanyakan diet yang menjanjikan kehilangan berat badan segera adalah bukan kehilangan lemak- tetapi cecair!. Dan badan akan menyerap semula air seperti span setelah individu kembali makan secara normal.
Diet yang berdasarkan pengambilan pil istimewa, serbuk atau herba.
Kebanyakan cara ini hanyalah gimik semata-mata- anda hanya akan kehilangan berat poket anda berbanding berat badan sendiri.
Banyak pil diet mengandungi agen laksatif atau diuretik yang memaksa badan kita mengeluarkan lebih banyak air. Sepertimana diet rendah kalori, kehilangan berat badan bukan disebabkan pembakaran lemak tetapi pengeluaran air dari badan.
Terdapat juga supplemen yang diklaim mampu meningkatkan kadar metabolisma, menyekat selera makan atau menyekat penyerapan lemak, gula atau karbohidrat. Kebanyakan supplemen diet tidak mempunyai bukti kukuh yang menyokong. Dan doktor menyatakan ia berisiko untuk diambil oleh remaja kerana tidak diketahui sejauh mana kesan penggunaannya ke atas tumbesaran.
Diet yang menyarankan pengambilan makanan spesifik atau kombinasi makanan tertentu.
Tiada bukti saintifik mengatakan saranan di atas berkesan. Dan mengehadkan pengambilan makanan tertentu menyebabkan anda tidak mendapat nutrien atau nilai pemakanan tertentu.

Diet yang memerlukan anda membuang terus lemak, gula atau karbohidrat dari pemakanan harian.
Menyekat pemakanan kita dari kumpulan makanan penting adalah idea yang tidak sesuai (terutamanya bagi individu masih membesar). Lebih elok jika kita makan dalam porsi atau hidangan kecil tetapi seimbang (hidangan yang sempurna dengan karbohidrat, protein, lemak, sayuran dan buahan). Bila badan kita memperolehi nutrien seimbang, kita telah mengurangkan kebarangkalian mengidam makanan!. Makanan dalam porsi kecil juga membantu kita mengamalkan cara pemakanan sihat serta membantu mengekalkan berat badan ideal.
Diet yang memerlukan anda untuk tidak mengambil hidangan dan menggantikan dengan minuman istimewa atau bar makanan.
Seperti diet yang menghalang kumpulan makanan tertentu, meninggalkan atau menggantikan hidangan membawa maksud anda tidak mendapat nilai pemakanan yang diperlukan untuk menyokong kesihatan badan. Tambahan pula, anda akan kehilangan nikmat menikmati makanan bersama rakan atau keluarga.