Tuesday, 29 November 2011

Terapi Tingkahlaku Masalah Obesiti Membantu Seisi keluarga

Antara cabang terapi yang penting bagi permasalahan obesiti ialah terapi tingkah laku kognitif. Kajian terbaru mengemukakan bahawa terapi ini bukan hanya membantu ahli keluarga yang bermasalah tetapi juga membantu penjagaan pemakanan bagi ahli keluarga yang lain.
Terapi ini memfokuskan kepada perubahan cara berfikir dan tingkah laku terhadap pemakanan dan gaya hidup serta memberi saranan praktikal bagi perubahan positif seperti mengenalpasti pengambilan kalori harian dan membina diari pemakanan.
Kajian soal selidik dijalankan terhadap 149 pesakit obes yang menjalani terapi ini di University of Bologna, di mana ia melibatkan 12-15 perjumpaan mingguan kumpulan. Secara puratanya, keluarga yang terlibat telah mengurangkan sekurang-kurangnya 200kcal dari pengambilan harian mereka, serta pengambilan makanan kurang lemak dan karbohidrat ringkas telah berkurang, di samping peningkatan pengambilan buah-buahan.
Dan seterusnya, pengurangan kalori ini membawa kepada penurunan melebihi 1 kilogram. kebanyakannya mengalami penurunan berat badan 3 kg. Di samping itu, terdapat sebahagian dari keluarga yang bertukar dari status obes ke berlebihan berat badan/overweight.
Saranan penurunan berat badan secara sihat untuk individu obes bukanlah hal yang remeh-temeh. Ia bukan hanya melibatkan individu sahaja tetapi juga melibatkan keluarga individu tersebut. Bagi ibu bapa yang mengalami obes, jalan penyelesaian terbaik ialah merubah gaya hidup dan pemakanan supaya anak-anak juga turut sama dalam perubahan.
Bertindak sebelum terlambat. Individu obes bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan metabolik bahkan menarik sama anak-anak atau keluarga dalam risiko menghidap pelbagai jenis penyakit.
Terapi diet dan gaya hidup adalah intipati perubahan jangka masa panjang serta menjamin kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti. Antara kita mungkin, memilih jalan singkat untuk menurunkan berat badan seperti pengambil pil, supplemen diet, teh pelansingan badan, terapi laser dan banyak lagi. Tetapi, adakah anda pasti pilihan anda mampu menjamin perubahan gaya hidup dan pemakanan jangkamasa panjang?
Jawapan di tangan anda. Pastikan terapi yang dipilih selamat untuk digunakan serta kenalpasti kesan sampingan jangka masa pendek dan panjang. Anda bukan hanya mahu berat badan ideal dalam sebulan atau 2 bulan tetapi untuk seumur hidup.
Jadi, dapatkan nasihat pegawai perubatan dan pakar pemakanan dalam menentukan kualiti penjagaan kesihatan anda.

Selamat Maju Jaya!

No comments:

Post a Comment