Friday, 21 October 2011

Supplemen Vitamin E: Peningkatan Risiko Kanser Prostat

Jika kita taip info ubat mengenai vitamin E,kita mungkin akan dapat penyataan seperti dibawah:


"Vitamin E ialah salah satu antioksidan yang penting dalam pencegahan kanser dan penyakit kardiovaskular. Ia memperbaiki peredaran darah, yang mana perlu untuk memperbaiki tisu, dan sangat berguna dalam rawatan "premenstrual syndrome" dan penyakit fibrocystic buah dada. Ia memelihara pembekuan darah yang normal dan penyembuhan, mengurangkan parut yang diakibatkan oleh sesetengah kecederaan, mengurangkan tekanan darah, membantu dalam pencegahan penyakit katarak, meningkatkan prestasi atlit, dan mengendurkan otot kaki dari kekejangan. Vitamin E boleh meningkatkan pengeluaran air mani pada sesetengah lelaki. Ia juga mengekalkan kesihatan saraf dan otot dan di masa yang sama menguatkan dinding kapilari. Vitamin E menggalakkan kulit dan rambut menjadi sihat, dan membantu mencegah anemia dan "retrolental fibroplasia", sejenis gejala mata yang boleh menjangkiti bayi pramatang. Satu kajian yang dijalankan oleh National Cancer Institute pada tahun 1998 mendapati bahawa pengambilan vitamin E dalam jangka masa panjang dapat mengurangkan risiko kanser prostat di kalangan penghisap rokok. Lain-lain kajian megesyorkan bahawa vitamin ini dapat memperlahankan  perkembangan penyakit Alzheimer. Sepanjang ini diketahui bahawa vitamin E telah menunjukkan kesan pencegahan kepada lebih kurang 80 jenis penyakit."


Di atas adalah sedikit sebanyak mengenai vitamin E, dan antara klaim diatas belum tentu kesahihannya.


Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa persoalan mengenai risiko pengambilan Vitamin E samada di media massa atau di jurnal penyelidikan terbitan pelbagai pihak. Ini berpunca dari penerbitan jurnal sains perubatan mengenai potensi kesan sampingan supplemen vitamin E setelah sekian lama penduduk dunia mengambil supplemen ini.
Kenapa supplemen vitamin E popular?
Lebih 2 dekad lepas, beberapa saintis mengemukakan teori oksidan penyakit. Hipotesis yang dikemukan termasuk metabolisma oksidatif, dan radikal bebas yang merupakan mekanisma patofisiologi utama untuk penyakit degeneratif kronik seperti kanser dan penyakit kardiovaskular. Teori ini seterusnya menyentuh tentang pengambilan nutrien anti-oksidan seperti vitamin C, E, Karotenoid dan selenium yang mencukupi atau dos yang berlebihan mampu mencegah penyakit degeneratif. 
Pengambilan supplemen Vitamin E harian menjadi tabiat ramai individu meskipun dikalangan ahli perubatan. Kaji selidik yang dijalankan lima tahun lepas menunjukkan pengambilan kerap iaitu lebih dari 5 kali seminggu di kalangan populasi dewasa. Kebanyakannya, prevalens pengambilan meningkat dengan peningkatan umur dan juga dikalangan penghidap penyakit degeneratif kronik. Kebiasaannya, mereka mengambil dos 400mg atau lebih dalam sehari.

Kajian dalam tahun 1980-an dan awal 1990-an menunjukkan terdapat perkaitan di antara pengambilan kerap vitamin E dengan penurunan 30-60% penurunan risiko penyakit jantung koronari. Ia melibatkan pengambilan dos vitamin E yang tinggi, di mana pengambilan dos rendah hanya memberi kesan yang minima.
Walaubagaimanapun, apabila saintis cuba untuk melakukan kajian ini secara terkawal dengan menggunakan dua kumpulan iaitu kumpulan yang diberi supplemen vitamin E dan kumpulan yang diberi placebo. Kajian ini menunjukkan hal yang sebaliknya, yakni tiada kesan langsung (tidak memberi kebaikan mahupun keburukan). Disimpulkan, kajian demi kajian hanya membawa kepada kekeliruan tentang status keselamatan atau kebaikan pengambilan supplemen vitamin E.


Baru-baru ini saya menerima artikel terkini melalui Medscape yang menyentuh isu Vitamin E, iaitu perkaitan supplemen tersebut dengan risiko kanser prostat. Dikatakan, supplemen ini tidak menghalang kaum lelaki dari menghidap kanser prostat, bahkan mungkin meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit tersebut!
Laporan awal mengenai Pencegahan kanser dengan Selenium dan Vitamin E mendapati, selenium dan vitamin E tidak mampu mengurangkan risiko prostat kanser. Walaubagaimanapun, analisis terkini terbitan JAMA : The Journal of The American Medical Association menunjukkan bahawa pengambilan Vitamin E mampu meningkatkan risiko kanser prostat secara signifikan.
Lelaki yang menerima dos biasa dan formulasi Vitamin E(400 IU sehari) mengadapi 17% peningkatan risiko kanser prostat berbanding individu yang menerima placebo. Penemuan ini sangat mengejutkan, tambahan pula  penerangan secara biologikal tidak dapat dikenalpasti.
Seterusnya, dalam laporan ini juga penyelidik menyatakan vitamin E tidak mampu merawat mana-mana kanser sekalipun, begitu juga ia tidak mampu membantu dalam kesihatan kardiovaskular sepertimana yang digembar-gemburkan.
"Tiada bukti yang menyokong klaim yang dibuat, tetapi beribu bahkan berjuta lelaki mengambil vitamin E sebagai supplemen", Dr Baker, DO, Professor of Internal Medicine And Pharmacology di University of Michigan,Ann Arbor.
Meskipun begitu, kajian lanjut diperlukan bagi meneliti isu keselamatan pengambilan Vitamin E. Pada mulanya, supplemen ini bukanlah bertujuan untuk mencegah kanser prostat atau penyakit-penyakit lain secara khusus, tetapi untuk membantu individu dalam mendapatkan keperluan seharian vitamin E. Jadi, hal ini terjadi kerana terdapat klaim dari pihak-pihak tertentu yang belum tentu kesahihannya.




Jadi, perlu ke pengambilan vitamin E? ia perlu bagi individu yang berisiko mengalami masalah kekurangan vitamin E seperti individu yang mengalami malnutrisi, individu yang menghadapi penyakit hati, celiac dan cystic fibrosis, serta pesakit kegagalan buah pinggang yang menerima rawatan dialisis kronik. Untuk individu sihat, amalkan pemakanan seimbang untuk memastikan pengambilan nutrien yang mencukupi.
Makanan tinggi vitamin E?
Kebanyakan kekacang, minyak sayuran dan sayuran. Makanan yang kaya dengan vitamin E termasuklah minyak germa gandum, bijirin gandum, kacang, soya, minyak jagung, avokado dan minyak zaitun. Buah-buahan seperti anggur, pic, dan beri hitam serta sayuran seperti tomato, brokoli, dan taugeh. Telur juga mengandungi kandungan vitamin E yang tinggi. Makanan yang segar dan mentah mengandungi kandungan vitamin paling tinggi. Pendedahan makanan terhadap cahaya dan kepanasan akan mengurangkan kandungan vitamin dan mineral yang terkandung, jadi makanan yang terlalu masak dan makanan yang tidak disimpan dengan rapi perlu dielakkan. Begitu juga sayur-sayuran dan buah-buahan yang dipotong akan meningkatkan pendedahan terhadap cahaya, jadi memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam bentuk asal lebih digalakkan.

No comments:

Post a Comment