Kota Kinabalu: Empat Puluh empat dari seratus rakyat malaysia tidak aktif dan ini menyumbang kepada masalah kesihatan mereka.
"Mereka tidak bersenam ataupun melakukan sebarang aktiviti bagi mengekalkan kesihatan mereka" kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Dipetik dari Kajiselidik kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2006, beliau berkata, adalah mudah untuk bersenam dan ia boleh dilakukan dimana sahaja termasuklah di rumah, tempat kerja dan pasaraya.
Selain dari mempromosikan senaman, kempen tersebut juga bertujuan untuk mendidik rakyat malaysia mengenai penyakit tidak berjangkit seperti masalah jantung, obesiti dan kencing manis.
" Bilangan penghidap penyakit seperti ini semakin meningkat disebabkan amalan gaya hidup yang tidak sihat" tambah beliau semasa pelancaran Hari sambutan warga emas peringkat negeri di sini pada hari sabtu...........
Ulasan:
44% adalah jumlah yang sangat besar dan mencapai tahap yang membimbangkan. Yakni hampir separuh rakyat malaysia tidak aktif dan seterusnya berisiko tinggi menghidap penyakit obesiti, masalah jantung, kencing manis dan sebagainya. Meskipun seluruh rakyat malaysia sedar akan kepentingan penjagaan pemakanan tetapi jika amalan gaya hidup tidak aktif berterusan, ia tetap akan mewujudkan risiko penyakit. Ini kerana gaya hidup aktif adalah salah satu elemen penting dalam pengekalan berat badan ideal.
Cabaran dunia globalisasi bukan sahaja melibatkan peningkatan taraf hidup dan persaingan, tetapi juga kesan sampingan kepesatan teknologi yang memudahkan urusan harian, serta kesibukan dalam memuaskan taraf hidup.
Rakyat kini menikmati kemudahan yang menyenangkan kerja-kerja seharian, kita tidak perlu berjalan untuk ke tempat kerja, membasuh baju dengan mesin basuh auto mahupun manual, menyapu menggunakan pembersih vakum, sistem bekalan air yang tidak memerlukan kita mencedok telaga, bekalan makanan yang berdekatan (restoran, pasaraya dan sebagainya), dan banyak lagi. Belum lagi kita menyatakan tentang, penggunaan khidmat pembersihan rumah, khidmat pengasuh atau bibik, khidmat pesanan segera dan sebagainya. Benar, sangat memudahkan!!
Tetapi,kemudahan ini hanya sebagai cara kita meraikan teknologi dan inovasi perkhidmatan bukan sebagai alasan untuk menggoyang kaki, menyandar kepala dan bersiulan gembira. Hanya dengan gaya hidup aktif, hidup kita bebas dari penyakit yang tidak sepatutnya kita dapat... Terimalah fakta ini dengan berlapang dada.
Jadi macammana? Kita terlalu sibuk dengan urusan pejabat, kerja, komitmen jabatan/kelab/persatuan dan yang paling penting keluarga, sehinggakan tiada masa untuk bersenam mahupun menjaga pemakanan dengan teratur.
Bagi suri rumah, anda pasti sihat dengan kerja harian mengasuh anak, membasuh baju, pinggan mangkuk dan sebagainya. Lebih digalakkan untuk bermain dengan anak-anak, main lari-lari, tunggang belakang, jogging, badminton dan banyak lagi! Jadikan masa anda dengan anak, masa yang bernilai dan berbaloi. Itu adalah cara anda bersenam. Kecuali bagi suri rumah yang lebih senang menonton sinetron, membiarkan anak-anak bermain sendirian dan mengunyah makanan dikala kebosanan. Pilihan di tangan anda.
Bagi individu berkerjaya, anda boleh jadi lebih sihat dengan pertambahan komitmen samada di rumah mahupun tempat kerja. Lantaran kesibukan, anda mungkin tidak berkesempatan untuk bersenam akibat kekangan masa dan kepenatan. Di rumah anda boleh menguruskan kerja-kerja rumah secara berjadual, bagi yang berpasangan, anda boleh menyusun pembahagian kerja masing-masing. Ini adalah antara senaman anda dan pasangan, siapa mahu sihat sendiri-sendiri..betul? Pembahagian kerja membuatkan kita lebih berdisiplin, peruntukan masa aktif atau rehat secara sistematik jadi anda tidak perlu terlalu penat atau terlalu rehat dalam sehari.
Selain itu, di tempat kerja anda mungkin pekerja aktif yakni anda perlu bergerak atau berjalan di banyak tempat. Anda mungkin tiada masalah untuk "bersenam", tetapi bagaimana jika kerja anda hanya memerlukan anda duduk dan memerah otak? Anda mungkin berjaya melakukan senaman otak tetapi bukan aktif secara fizikal. Jadi, digalakkan anda untuk perbanyakkan pergerakkan sebagai contoh parking kereta jauh dari tempat kerja, berjalan ke tempat makan/rehat, melakukan regangan antara 30 minit ke sejam, naik turun tangga dan sebagainya. Itu adalah antara senaman anda, jadi pilihan di tangan anda!
Mungkin antara kita masih lagi merungut! Kepenatan komitmen harian membuatkan kita lupa tentang komitmen penjagaan kesihatan diri dan keluarga. Kualiti hidup bukan sahaja terletak kepada kebebasan kewangan tetapi juga kebebasan dari sebarang penyakit!!
Peribahasa 'alah bisa, tegal biasa' perlu dijadikan contoh. Mungkin diawal-awal kita merasakan penat melakukan senaman, tetapi jika diamalkan secara berdisiplin dan istiqamah, anda akan rasa biasa bahkan luar biasa jika tidak melakukannya.
Jadi, apa lagi? Yok!! bersenam!